MAJLIS PENYERAHAN BIASISWA KECIL NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017 (BAGI DAERAH SPU, SPT DAN SPS)
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN BIASISWA KECIL NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2017
(BAGI DAERAH SPU, SPT DAN SPS)
PADA 21 NOVEMBER 2017 (SELASA)
DI DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS
Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua.
Selamat Datang ke Majlis Penyerahan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang Tahun 2017.
Tahniah diucapkan kepada 428 orang pelajar, bakal penerima Biasiswa Kecil Negeri pada hari ini. Pemberian biasiswa ini diberikan tanpa mengira kaum, agama dan yang penting sekali latar belakang politik. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri, seperti yang telah dinyatakan semasa pembentangan Bajet Tahun 2018 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang lalu berteraskan Pembangunan Kemahiran Modal Insan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian biasiswa kepada 607 orang pelajar baru yang melibatkan peruntukan sebanyak RM427,320.00 secara keseluruhannya. Untuk Daerah Seberang Perai Utara (SPU) sahaja, pemberian biasiswa ini melibatkan seramai 176 orang pelajar dari 29 buah sekolah, manakala bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) adalah melibatkan seramai 146 orang pelajar dari 29 buah sekolah. Bagi Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula melibatkan seramai 106 orang dari 16 buah sekolah.
Selain itu, pada tahun ini juga Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.64 juta kepada 2,357 orang pelajar tertanggung dari 124 buah sekolah menengah di seluruh negeri. Penyerahan biasiswa ini telah pun disempurnakan kepada sekolah masing-masing.
Secara keseluruhannya, pemberian biasiswa ini diberikan kepada semua sekolah di Pulau Pinang. Bilangan penerima Biasiswa Kecil Negeri
Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2017 adalah seramai 27,266 orang pelajar melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM17,252,160.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Belas Juta Dua Ratus Lima Puluh Dua Ribu Satu Ratus Enam Puluh Sahaja).
Untuk makluman semua, kadar bayaran Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang telah dinaikkan oleh Kerajaan Negeri sebanyak dua (2) kali mengikut keperluan semasa pelajar. Berikut adalah kadar bayaran bagi Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang bagi tempoh sebelum 2007 dan sehingga 2017.
TAHUN |
TINGKATAN |
|
1 HINGGA 3 |
4 HINGGA 5 |
|
Sebelum 2007 |
RM240 |
RM360 |
2008 – 2012 |
RM480 |
RM720 |
2013 – 2017 |
RM600 |
RM840 |
Kenaikan bayaran biasiswa hampir dua (2) kali ganda ini dapat dilaksanakan atas tata kelola dan urus tadbir Kerajaan berteraskan prinsip Urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan kepimpinan yang bersih, membolehkan Kerajaan Negeri menikmati lebihan bajet tahunan sejak tahun 2008 yang berjumlah RM578 juta dari tahun 2008 hingga 2015, iaitu lebih daripada jumlah RM373 juta yang dikumpulkan selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab tunai pula meningkat lebih daripada RM1 bilion kepada RM1.8 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90%. Ini merupakan rekod yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Inilah dividen anti-rasuah yang dapat dinikmati oleh semua.
Dari tahun 2015 sehingga separuh tahun pertama 2017, Pulau Pinang berjaya menarik sebanyak RM13.8 bilion dalam bentuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan, iaitu kedua tertinggi di negara selepas Johor. Pulau Pinang juga telah menongkah arus apabila jumlah pelaburan yang diluluskan telah meningkat daripada RM2.67 bilion pada tahun 2016 kepada RM7.7 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 188%.
Sektor pelancongan juga telah berkembang dengan pembukaan hotel-hotel baru dan kadar penginapan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat dengan pertambahan kapasiti penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) kepada 6.7 juta orang penumpang pada tahun 2016, melebihi kapasiti sepatutnya iaitu 6.5 juta orang penumpang. Ianya telah dicapai empat (4) tahun lebih awal daripada 6.5 juta orang penumpang yang dijangka pada 2020.
Sidang hadirin yang saya hormati,
Dalam pada itu, untuk membuktikan penekanan kita terhadap modal insan sebagai sumber ekonomi utama, Kerajaan Negeri akan terus memberi bayaran sebanyak RM1,000 secara “one-off” kepada pelajar-pelajar Pulau Pinang yang menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan di Semenanjung Malaysia termasuk AIMST; Wawasan Open University; TAR College; dan TAR University College, dan RM1,200 kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di Sabah dan Sarawak. Setakat ini 21,675 pelajar Pulau Pinang telah menikmatinya bersamaan dengan kos melebihi RM20 juta sejak 2008.
Sebagai lanjutan kepada komitmen kita terhadap peningkatan sumber manusia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengumumkan bayaran “one-off” sebanyak RM300 kepada pelajar Pulau Pinang tahun pertama yang diterima masuk ke sekolah vokasional tempatan di Malaysia bermula tahun 2018. Sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Semua sumbangan ini merupakan tanda keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan rakyatnya. Inilah sebabnya Kerajaan Negeri adalah harapan bagi rakyat marhaen, iaitu orang kebanyakan dan keluarga-keluarga bekerja. Kita berkongsi semua ketakutan, impian dan harapan. Kita mempertahankan anda kerana kita adalah anda.
Sekalung penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berusaha keras dalam membantu Kerajaan Negeri melicinkan proses penyerahan Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang ini dan memastikan wang tersebut dapat diagihkan kepada semua pelajar yang layak.
Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah di atas pemilihan Saudara / Saudari untuk menerima Biasiswa Kecil Negeri Pulau Pinang bagi Tahun 2017 dan berharap ianya menjadi penyuntik semangat kepada Saudara / Saudari dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, selain dapat meringankan beban keluarga dan membantu mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar.
Sekian, terima kasih.