PERARAKAN PERAYAAN CHINGAY 2017
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PERARAKAN PERAYAAN CHINGAY 2017
17/12/2017(Ahad)
Padang Perbandaran MPSP Butterworth
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Danny Law Ahli EXCO Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang bersama Persatuan Sukan Dan Kebudayaan Tiong Hua Kepala Batas kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan Perarakan Pesta Chingay Tahun 2017 Kali Ke-9.
Chingay adalah salah satu seni budaya masyarakat Cina tempatan Pulau Pinang yang sangat unik di dunia. Aksi para peserta mengangkat dan mengimbang tiang bendera cukup menggambarkan kebudayaan ini sangat mencabar dan mempunyai tarikannya yang tersendiri.
Kebiasaannya perarakan chingay ini akan diadakan di bahagian Pulau sahaja tetapi sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri turut mengadakan program seperti ini di bahagian Seberang Perai bagi membolehkan masyarakat di sini mempunyai peluang yang sama untuk menyertai dan menyaksikan perarakan ini dengan lebih dekat.
Pengerusi Pengelola Program ini iaitu Saudara Lay Hock Peng telah mengambil peluang ini dengan mempamerkan maskot anjing (snoopy) sebagai mengalu-alukan kehadiran Tahun Baru Cina yang menyambut tahun anjing.
Setiap tahun, Persatuan Sukan dan Kebudayaan Tiong Hua akan cuba memperkenalkan kebudayaan yang wujud di Malaysia ini terutama di Pulau Pinang untuk dipertontonkan pada masyarakat setempat.
Perarakan Chingay pada hari ini melibatkan 32 pasukan dari pelbagai persatuan kebudayaan dengan anggaran kehadiran pengunjung seramai 10,000 orang yang datang dari dalam dan luar pulau pinang malah dihadiri oleh pelancong dari luar negara. Kerajaan Negeri telah menaja RM75,000.00 untuk menjayakan program ini.
Terima kasih juga kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberikan kerjasama yang begitu baik dalam memastikan keselamatan peserta dan pengunjung berjalan dengan lancar dan teratur.
Sekian, terima kasih.