PESTA PERAYAAN PONGGAL KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PESTA PERAYAAN PONGGAL KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

21 Januari 2018 (Ahad)
Kuil Arulmigu Devi Sree Veerapathra, Maha Kaliamman,Jalan Pantai Bersih,

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Ponggal, “Ponggal Nal Valthukal”, Ponggolo Ponggol! Ponggolo Ponggal!

Tahun ini kita merayakan Pesta Ponggal Peringkat Kerajaan Negeri di Kuil Arulmigu Devi Sree Veerapathra Maha Kaliamman yang serba indah ini. Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kerana ini adalah merupakan kuil baru Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang. Jawatankuasa Kuil dengan rela hati telah menyerahkannya kepada Lembaga Wakaf Hindu kerana kagum dengan rekod cemerlang dalam pentadbiran dan pengurusannya sejak dari tahun 2008.

Kecemerlangan ini adalah adalah sejajar dengan prinsip CAT Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diamalkan sejak 10 tahun yang lalu. Prinsip CAT ini telah membantu Negeri Pulau Pinang untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dan meningkatkan aset di samping memangkinkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pembuatan dan juga sektor perkhidmatan.

Seperti yang dinyatakan oleh YB Prof. Dr. P. Ramasamy tadi, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan projek-projek perumahan untuk penempatan semula kepada penduduk-penduduk Ladang Byram, Ladang Kaledonia dan Ladang Victoria di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang majoritinya adalah masyarakat India.

Kerajaan Negeri akan turut menempatkan semula Sekolah Tamil Ladang Byram kerana kami tidak mahu kehilangan sebarang Sekolah Tamil di Pulau Pinang. Kami juga mahu membina Sekolah Menengah Tamil di Pulau Pinang tetapi malangnya ditolak oleh Kerajaan Persekutuan yang melarang kami daripada melaksanakannya.

Akan tetapi Kerajaan Negeri tetap melaksanakan apa yang berada di bawah kuasa dan kemampuan Kerajaan Negeri. Mulai tahun 2018, peruntukan tahunan Lembaga Wakaf Hindu akan dinaikkan dari RM1.1 juta sebelum ini kepada RM1.5 juta setahun. Tambahan sebanyak RM400,000 ini diharapkan akan membolehkan Lembaga Wakaf Hindu memartabatkan kedudukannya dengan menguruskan hal ehwalnya dengan lebih lancar lagi.

Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang baru diumumkan, Pulau Pinang mengekalkan rekod cemerlang dengan mencatat lebihan/keuntungan setiap tahun dengan keuntungan sebanyak RM89.2 juta.

Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008. Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama tahun dari 1957 hingga 2007.

Ini Rizab asset pula meningkat hamper RM1 bilion kepada RM1.83 bilion dan hutang negeri telah Berjaya dikurangkan sebanyak 90% kepada RM68 juta pada akhir 2016, iaitu jumlah hutang paling rendah di Malaysia. Jelas 9 tahun pentadbiran Pakatan Harapan telah memperlihatkan betapa banyak boleh dilakukan berbanding 50 tahun terdahulu sebelum 2008.

Di samping itu, Kerajaan Negeri telah buat kali pertamanya dalam sejarah Malaysia membenarkan sebuah bangunan Kerajaan Negeri di Jalan Macalister digunakan oleh Lembaga Wakaf Hindu. Sebelum ini, Lembaga Wakaf Hindu hanya diberikan sebuah meja tetapi sekarang ada sebuah bangunan yang bernilai RM50 juta.

Akhir kata saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Prof. Dr. P. Ramasamy selaku Pengerusi dan kakitangan-kakitangan Lembaga Wakaf Hindu Negeri di atas segala usaha dalam menjayakan Pesta Ponggal Kerajaan Negeri tahun ini. Semoga tahun ini turut menjadi tahun yang sungguh sejahtera dan makmur bagi rakyat Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih. Nandri, Vanakkam.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang