MAJLIS HIGH TEA PERAYAAN THAIPUSAM 2018
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI MAJLIS HIGH TEA PERAYAAN THAIPUSAM 2018
31 Januari 2018 (5.00 pm)
Perkarangan Kuil Ganeshar, Waterfall
Selamat petang dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas jemputan untuk bersama-sama meraikan program “High Tea” sempena Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Ganeshar, Waterfall ini. Dan tahniah kepada Jawatankuasa Kuil Arulmigu Balathandayuthapani kerana melaksanakan pelbagai usaha untuk mengindahkan Kuil Dewa Murugan yang terbesar di luar India ini.
Semasa memasuki kawasan kuil ini, saya terpegun melihat keindahan gerbang kuil yang baru siap dibina dengan ketinggiam 13.71meter. Saya difahamkan pekerja telah mengambil masa 3 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja pengecatan dan pengindahan gerbang ini dan ia sempat dibuka pada ahad (28 Januari) lalu untuk digunakan pada Thaipusam tahun ini. Saya difahamkan yang Jawatankuasa Kuil sedang membina 6 gerbang baru yang akan menceritakan lagenda "Arupadai Veedu", atau pun rumah berhala Murugan (Abodes of Murugan). Sebuah water fountain dan Kuil Sri Ayappan berhampiran dengan Kuil Dewa Murugan. Saya melihat populariti Kuil Arulmigu Balathandayuthapani sebagai pusat keagamaan dan juga sebagai satu tarikan pelancongon telah meningkat saban tahun.
Imej Pulau Pinang sebagai satu destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa juga meningkat saban tahun. Dalam 6 bulan pertama tahun 2017, kadar penghunian hotel telah meningkat sebanyak 6% dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah mencatatkan kenaikan penumpang sekitar 8% pada 9 bulan pertama tahun 2017, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2016.
CNN telah memilih Pulau Pinang di antara 17 tempat terbaik untuk dilawat pada tahun 2017. Tahun ini, Pulau Pinang telah berjaya dipilih sebagai tuan rumah untuk penganjuran World Seafood Congress pada September, 2019 dengan mengenepikan pesaing hebat yang lain seperti negara Thailand, China and Jepun. Saya amat bangga kerana Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah pertama di benua Asia yang akan menganjurkan kongres ini.
Laporan terbaru yang dikeluarkan oleh MIDA telah menyatakan bahawa Pulau Pinang berada di tahap no. 1 dalam kemasukan pelaburan langsung asing bagi sektor pembuatan untuk tempoh Januari hingga September 2017. Jumlah pelaburan asing adalah RM8.0 bilion manakala pelaburan domestik adalah berjumlah RM1.9 bilion dan keseluruhan pelaburan berjumlah RM9.9 bilion. Dalam 6 bulan pertama tahun 2017, sebanyak 8,162 pekerjaan baru telah diwujudkan.
Pulau Pinang juga berada di tahap no. 1 dalam pembinaan rumah mampu milik. Sekitar 24,000 unit rumah mampu milik telah dibina di Pulau Pinang sejak 2008. Pada masa kini, hampir 17,000 unit rumah mampu milik sedang dalam pembinaan dan Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan untuk pembinaan 32,000 unit lagi. Kami mengamalkan pentadbiran "people-centric" dan mahu mencapai tahap demokrasi perumahan yang membolehkan setiap keluarga yang berkerja memiliki rumah sendiri.
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membawa kemakmuran kepada semua dan prihatin kepada kepercayaan dan agama setiap masyarakat. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah menyediakan tanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Ampang Jajar bagi penempatan semula rumah-rumah ibadat bukan Islam termasuk kuil dan turut menyediakan Tabung Amanah RIBI di mana Kuil-Kuil boleh memohon peruntukan sehingga RM50,000 untuk kerja-kerja pembaikian dan penyelengaraan Kuil.
Sehingga kini, 32 plot RIBI telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di Ampang Jajar, Seberang Perai Utara dengan jumlah keluasan 21.82 ekar dan dijangka akan siap pada bulan Mac tahun ini. Kos projek untuk tapak RIBI Ampang Jajar adalah sebanyak RM7.9 juta (RM7,949,677.23) dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang kerana menganjurkan perarakan Golden "Vel" Chariot dengan berjayanya tahun ini.
Di kesempatan ini juga saya ingin mengumumkan sekali lagi bahawa mulai tahun 2018, peruntukan tahunan Kerajaan Negeri kepada Lembaga Wakaf Hindu telah dinaikkan dari RM 1.1 juta sebelum ini ke RM1.5 juta setahun. Saya juga dengan bangganya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menghulurkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada Kuil Arulmigu Balathandayuthapani untuk perayaan Thaipusam tahun ini.
Semoga segala hajat, nazar dan doa untuk perayaan Thaipusam anda adalah tercapai dengan sempurna.
Sekian, terima kasih. Nandri. Vanakam.
Lim Guan Eng
31 Januari 2018