MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2018

LEBUH PANTAI, PULAU PINANG
18 FEBRUARI 2018

 

Salam malam dan salam sejahtera,

Saya tahu sedikit luarbiasa untuk saya raikan seorang warga Malaysia yang bukan bangsa Cina dalam sambutan Tahun Baru Cina, tetapi inilah maknanya harmoni, toleransi dan saling hormat-menghormati yang wujud di Malaysia sehingga George Town dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajjah Majimor Binti Shariff kerana sudi hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2018 pada malam ini. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan pada malam ini menjadikan sambutan pada tahun ini sungguh meriah dan sebagai lambang kekuatan perpaduan rakyat di Negeri Pulau Pinang.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Xian Nian Kuai Le, Nian Nian You Yu, kepada semua penduduk di Negeri Pulau Pinang khususnya yang berbangsa Cina.

Pada tahun ini kita adakan rumah terbuka Tahun Baru Cina secara terbuka dan bukannya tertutup di dalam dewan seperti tahun-tahun yang lalu, untuk memberikan suatu kelainan dan menambah kemeriahan sambutan ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Negeri Pulau Pinang menawarkan satu rangka kerja untuk menjadi suatu kuasa ekonomi berjaya yang boleh dimiliki oleh semua. Dalam usaha kami untuk muncul sebagai sebuah bandar antarabangsa dan pintar, Pulau Pinang memilih untuk menjadi sebuah negeri berkeusahawanan dan berkebajikan berdasarkan lima tunggak strategik berikut.

Pertamanya, membina dan mencungkil bakat-bakat terutamanya dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk terlibat lebih aktif dalam Revolusi Industri 4.0.

Kedua, membina infrastuktur fizikal dan komunikasi, khususnya dalam konektiviti fizikal.

Ketiga, berusaha ke arah “livable city” yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

Keempat, menggunapakai urus tadbir cekap dan kepimpinan bersih berlandaskan prinsip ‘Cekap, Akauntabel dan Telus’

Dan yang terakhir, memelihara pembangunan mampan untuk membentuk satu habitat yang melindungi bukan sahaja alam sekitar tetapi juga kepada mereka yang memerlukan.

Inspirasi ini bukanlah hanya angan-angan semata-mata. Pulau Pinang telah terbukti berjaya dengan mencatatkan pelbagai kejayaan dan muncul sebagai destinasi pilihan untuk para pelabur termasuklah para pelancong di mana Pulau Pinang pada 2017 akan mengecapi pertumbuhan GDP melebihi 6%, menjadi di antara bandaraya terbersih di Asean, mendapat pelaburan luar negeri yang terbesar dan pertumbuhan pelancong yang memberangsangkan. Bukan itu sahaja, Pulau Pinang juga memperolehi lebihan Belanjawan setiap tahun, menggandakan nilai rizab aset dan mencatatkan penurunan hutang negeri sebanyak 90%, satu angka yang terbesar di negara.

Wanita di Pulau Pinang juga menunjukkan kebolehannya. Sekiranya Indonesia ada Menteri Kewangan terbaik di dunia, Pulau Pinang ada rakyat benua Asia pertama (Datuk Maimunah Mohd Sharif) menjawat Pengarah Eksekutif UN Habitat, jawatan tertinggi dalam sejarah yang dipegang oleh rakyat Malaysia di Bangsa-bangsa Bersatu (UN). Saya tahu sedikit luarbiasa untuk saya raikan seorang warga Malaysia yang bukan bangsa Cina dalam sambutan Tahun Baru Cina, tetapi inilah maknanya harmoni, toleransi dan saling hormat-menghormati yang wujud di Malaysia sehingga George Town dinobatkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Saya percaya lebih banyak lagi yang boleh kita kecapi selagi kita semua berpakat dan bersatu, berkongsi nilai-nilai murni yang adil dan saksama. Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang majmuk, tanpa mengira bangsa dan agama.

Mari kita mengatasi segala rintangan bersama dan Pulau Pinang akan bangkit bersama, lebih baik dan hebat untuk masa akan datang.

Saya berharap tahun ini akan menjadi tahun yang lebih baik untuk kita dan negeri Pulau Pinang. Selamat Tahun Baru Cina. Xin Nian Kuai Le.

Lim Guan Eng

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang