MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG FASA 2 (PDL-P2)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG FASA 2 (PDL-P2)

16 MAC 2018 (JUMAAT)

 

Terima kasih kepada semua yang hadir Majlis Pecah Tanah Projek Perpustakaan Digital Pulau Pinang Fasa 2.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang menuju ke arah menghadapi revolusi industri 4.0. yang berasaskan kepada pengumpulan dan analisa data menerusi penggunaan komputer. Ia merangkumi Analisa Data Besar (Big Data Analytics), Bidang Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence (AI)) , Robotik (Robotics), Internet of Things (IoT) dan E-Commerce.

Penubuhan Perpustakaan Digital yang pertama di Malaysia atau Penang Digital Library Phase 2 (PDL) ialah tanda aras bagi perkembangan revolusi industri 4.0 supaya kita tidak ketinggalan dalam industri “kilang pintar” yang akan menjadi teras teknologi masa depan.

PDL Fasa 1 (PDL-P1) adalah salah satu projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama CSR daripada pihak Keysight Technologis Malaysia dan E&O Berhad. PDL-P1 dirasmikan pada 08 Oktober 2016. Ia juga beroperasi 24/7 sejak 01 Mei 2017 iaitu juga yang pertama di Malaysia.

Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan PDL-P1 telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk Pulau Pinang dan negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perak dan Selangor serta respon yang positif daripada Luar Negara – Thailand dan Indonesia. 
Setakat kini, PDL-P1 telah mencecah pendaftaran keahlian sebanyak 3,157 akaun, 2,857 pengguna aplikasi ReadCasa, dengan ranking Google 4.2/5.00 dan ranking media sosia facebook adalah 4.2/5.00. Sebanyak 3,000 e-books telah disediakan kepada pengguna sejak PDL dibuka pada Oktober 2016 yang lalu.

Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.8 juta bagi menubuhkan PDL-P2 ini yang bertemakan Library in the Park iaitu idea bagi mengekalkan serta menambah beberapa unsur pembinaan yang berteraskan alam semula jadi serta berlandskapkan kehijauan. PDL-P2 lebih berperanaan seperti berikut:
1. Sebagai pemangkin utama kepada pembangunan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics)
2. Sebagai ruang perkembangan kreativiti dan inovasi melalui peralatan elektronik dan akses WiFi yang disediakan di dalam perpustakaan tersebut
3. Sebagai penghubung kepada masyarakat dengan dunia digital masa kini. 
4. Sebagai platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli keluarga di perpustakaan. 
5. Sebagai ruang pendedahan perkembangan terkini dunia digital bagi warga emas.

PDL-P2 ini direkabentuk khas untuk memuatkan seramai 540 orang/pengguna dalam satu-satu masa secara keseluruhannya. Bangunan sedia ada yang berkeluasan 4,000 kaki persegi yang berkapasiti menampung 105 orang akan dibaikpulih dan diubahsuai dengan dikekalkan struktur asal bangunan sebagai tanda bangunan warisan selaras dengan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara.

Selain itu, sebuah struktur tambahan (new annexe) akan dibina dengan keluasan 10,000 kaki persegi yang berkapasiti dan menampung 355 orang. PDL-P2 ini juga akan disediakan dengan sebuah kafe/restoran dengan keluasan 1770 kaki persegi yang mampu memuatkan 80 orang pengguna pada satu-satu masa. Pengusaha restoran ini akan dipelawa secara umum oleh Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di KOMTAR.

PDL-P2 berkonsepkan ‘Perpustakaan dalam Taman’ (“Library in the Park”) di mana ia mengambil inspirasi dari tapak Fasa 2 yang tenang dan redup dengan pepohon besar untuk menyediakan ruang yang bersuasana tenang dan kondusif dalam pembelajaran digital serta interaksi dalam komuniti. Perpustakaan Digital Penang Fasa 2 ini mengutamakan keperluan setiap lapisan komuniti, baik dari yang muda, remaja, dewasa, berkeluarga hinggalah warga emas.

Penambahbaikan kali ini akan mewujudkan 4 komponen ruangan iaitu:

i) Kemudahan ruang membaca seluas 4,000 kaki persegi di “Mansion Library”

ii) Ruang Pembelajaran, Pengajaran dan Perbincangan seluas 10,000 kaki persegi di ruang tambahan “new annexe”

iii) Ruang Makan/kafe seluas 2,000 kaki persegi di “Library Café”

iv) Ruang Rekreasi Landskap terbuka “Wisdom Street”

Sebagai makluman semua, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebahagian jumlah kos pembangunan untuk menyediakan 20,000 bahan bacaan elektronik (e-books & e-magazines) yang berteraskan ESTEAM (English, Science, Technology, Engineering, Arts & Mathematics) di PDL-P2. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta bagi mendorong dalam pembangunan ini dari segi sumber kewangan atau sistem/teknologi yang diperlukan.

Dengan penubuhan PDL-P2 ini diharapkan satu lagi kemudahan ke arah industri 4.0 dapat disediakan selaras permintaan rakyat dan akan memanfaatkan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang