MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA) KE-17
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERSATUAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MALAYSIA (MALA) KE-17
31 MAC 2018 (SABTU)HOTEL CITITEL, GEORGE TOWN
Selamat petang dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan saya kepada Presiden dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pengelola kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) ke-17 yang diadakan di Pulau Pinang.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua ahli MALA kerana sudi menjadikan Pulau Pinang sebagai tuan rumah untuk Mesyuarat Agung pada kali ini.
Tahniah dan syabas kepada Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang atas pelantikan beliau sebagai Presiden MALA yang bermula dari Januari 2018 bagi menggantikan Yang Berbahagia Dato' Maimunah Mohd Sharif yang telahpun memegang jawatan sebagai Executive Director of United Nation - Habitat di Nairobi, Kenya. Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato' Maimunah Mohd Sharif atas perkhidmatan cemerlang beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Presiden MALA.
Saya yakin dengan pengalaman yang luas, Yang Berusaha Ar. Yew Tung Seang mampu memimpin MALA untuk terus mencapai kecemerlangan di masa akan datang. Saya yakin beliau akan berusaha untuk menyempurnakan hasrat Pulau Pinang untuk menjadi negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar yang hijau, bersih, sihat dan selamat.
Hadirin yang dihormati sekalian,
PBT Negeri Pulau Pinang mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). CAT bukan sahaja berdasarkan tender terbuka, malah ia juga merangkumi pengurusan yang efisen dan menjimatkan wang. Ini bermakna segala hasil yang dikutip daripada rakyat akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai.
MBPP telah mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan sebanyak RM146.04 juta untuk 2015 tetapi telah mencatatkan 'defisit' sebanyak RM1.41 juta untuk tahun 2016 dan 'defisit' sebanyak RM98.61 juta untuk tahun 2017. MPSP pula telah mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan sebanyak RM0.20 juta untuk 2015 tetapi telah mencatatkan 'defisit' sebanyak RM24.19 juta untuk tahun 2016 dan 'defisit' sebanyak RM17.03 juta untuk tahun 2017. Defisit ini disebabkan oleh pengecualian pembayaran cukai pintu untuk semua pemilik rumah kos rendah, kos sederhana rendah serta potongan diskaun sebanyak 10% yang telah diberikan kepada semua pemilik hartanah untuk meringankan beban cukai GST yang menyebabkan MBPP dan MPSP kekurangan pendapatan. Sekiranya tiada diskaun atau pengecualian cukai pintu ini sudah pasti kedua-dua pihak PBT negeri ini akan memperoleh 'keuntungan'.
Dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat, Kerajaan Negeri merancang untuk melengkapkan laluan basikal sepanjang 350km (bahagian Pulau - 179km, bahagian Seberang Perai - 171km). Di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang yang melibatkan kos RM34.8 juta, sebahagiannya adalah dibiayai oleh sektor swasta. Projek membina dan menaiktaraf laluan basikal dari Tanjung Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sedang rancak dilaksanakan termasuk pembinaan "spiral bicycle and pedestrian bridge" berdekatan Queensbay Mall.
Dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan dan perniagaan, Kerajaan Negeri melaksanakan projek-projek Inisiatif program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, NKRA Bandar Selamat 2018, Pemutihan Kawasan Black Spot dan juga menambah lagi pemasangan CCTV di kawasan Pulau, Pulau Pinang. MBPP telah memasang 550 buah Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di mana MBPP telah memasang 518 buah CCTV dengan kos sebanyak RM36 juta dan 32 buah lagi dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). MBPP kini dalam proses penambahan 200 buah CCTV dengan kos sebanyak RM11 juta dan kerja-kerja pemasangan akan siap pada bulan Mac 2018. Seterusnya sebanyak 150 buah CCTV dengan anggaran kos RM8.2 juta akan dipasang menjelang akhir tahun 2018. Ini menjadikan jumlah keseluruhan CCTV sedia ada, sedang dan akan dipasang di kawasan MBPP adalah sebanyak 900 buah (868 buah oleh MBPP, 32 oleh KPKT) dengan kos sebanyak RM60.9 juta termasuk 5 tahun penyelenggaraan komprehensif.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia mengumumkan Pulau Pinang berjaya mematuhi kriteria-kriteria asas ditetapkan di bawah ASEAN Clean Tourist Standard 2017 (ACTC). Ini membuktikan bahawa Pulau Pinang yang dulunya dianggap sebagai (negeri) paling kotor di Malaysia sehingga digelar "Pulau Pinang Darul Sampah" oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu kini telah memperoleh pengiktirafan sebaliknya.
Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama, Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi mengurangkan sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Saya dengan bangganya ingin memaklumkan bahawa negeri Pulau Pinang telah mencatatkan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia, purata sebanyak 36% berbanding kadar kitar semula peringkat kebangsaan, iaitu hanya 22%.
Setiap hari, setiap penduduk negeri Pulau Pinang membuang secara purata 1.2 kg sampah dan oleh itu sejumlah 1,800 tan sampah dikutip dari seluruh negeri untuk dilupuskan di tapak Pelupusan Pulau Burung. Pihak Berkuasa Tempatan kita iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukan RM103.5 juta dan RM102.17 juta masing-masing dalam bajet tahun ini bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam.
MBPP sedang membaikpulih sebanyak 6 unit bangunan warisan di Lebuh Kimberley, Pulau Pinang dengan kos sebanyak RM3.2 juta. Unit-unit ini akan dibuka untuk sewaan kepada artisan dan pengusaha dari segi warisan dan kebudayaan untuk menjalankan aktiviti tradisional serta untuk mempromosi dan mengajar untuk memproses barang-barang tersebut.
Selain itu, untuk merealisasikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah Hijau, projek ini juga telah bekerjasama dengan Green Building Index Sdn. Bhd. untuk mewujudkan GBI Tools yang baru khusus untuk bangunan warisan, iaitu GBI Heritage Tools. Projek ini akan menjadi teladan dan pengalaman yang baru untuk kerja-kerja konservasi bangunan warisan, khususnya di George Town dan secara amnya di Pulau Pinang.
Akhirnya demi memastikan semua program rakyat dapat dijalankan dengan jayanya, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan kaedah rakan perkongsian 4P – Public (Awam), Private (Swasta), People (Rakyat) & Profesional. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri telah menjalankan konsep 4P ini dalam pelaksanaan Perpustakaan Digital (Penang Digital Library) yang pertama di Malaysia yang kini dalam pembinaan PDL-2 selepas melihat PDL-1 telah berjaya menarik perhatian rakyat Pulau Pinang dan negeri-negeri jiran. Ini penting untuk melibatkan diri dalam Revolusi Industri 4.0 agar memastikan kita tidak ketinggalan dalam era digital ini.
Industri 4.0 merangkumi Analisa Data Besar (Big Data Analytics), Bidang Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence (AI)) , Robotik (Robotics), Internet of Things (IoT) dan E-Commerce dan fintech.
Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk menggunakan Artificial Intelligence (AI) sebagai cara untuk membanteras penyebaran masalah demam denggi di negeri ini. Definasi secara mudah bagi Artificial Intelligence (AI) ini adalah, satu teknologi sains yang menggunakan komputer bagi menggantikan keupayaan intelektual manusia dalam melakukan sesuatu kerja. Komputer tersebut akan mengumpul dan menganalisis data dengan tepat. Sistem tersebut akan mengkaji dan meneliti data-data bagi mengenalpasti corak (pattern) dan membuat ramalan sesuatu data tersebut.
Program yang dikenali sebagai CAT (Crush Aedes Totally) ini menelan perbelanjaan RM423,333.33 setahun dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Sekiranya program ini berjaya, Pulau Pinang akan mendahului sekali lagi. Penang leads again! Teknologi AI ini akan mengawal aktiviti kawalan nyamuk aedes di peringkat awal sebelum ianya berlaku. Teknologi ini mampu menjangka kedatangan wabak denggi di mana-mana lokasi sebelum ianya benar-benar berlaku. Ini bermaksud sekiranya terdapat wabak denggi di sesuatu kawasan, aktiviti seperti fogging dan sebagainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berwajib.
Dengan kata-kata ini saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) Ke- 17.
Sekian, terima kasih.