MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN BAS PERCUMA CONGESTION ALLEVIATION TRANPORT (CAT)

TEXT UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PERKHIDMATAN BAS PERCUMA CONGESTION ALLEVIATION TRANPORT (CAT)

CAT AYER ITAM

1 APRIL 201810.30 PAGI (HADAPAN SMK AYER ITAM)

 


Salam Sejahtera dan Salam Bersih.

Pada hari yang bersejarah ini, kita semua akan menyaksikan pelancaran sulong Perkhidmatan Bas Percuma CAT di seluruh negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah memulakan usaha ini sejak beberapa tahun yang lalu, dengan CAT bus percuma di tengah bandaraya George Town dan kemudiannya bas BEST dimana kos tambang bas yang murah / istimewa ditawarkan untuk perjalanan bas ke tempat kerja di KOMTAR atau Bayan Lepas daripada Seberang Perai. Setelah semua rintangan dan halangan dapat ditempuhi, akhirnya Perkhidmatan CAT ini dapat direalisasikan pada hari ini. Ini adalah hadiah buat semua rakyat Pulau Pinang secara keseluruhanya yang makan perbelanjaan sebanyak RM 15 juta setahun.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Chow Kon Yeow, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir kerana telah dengan usaha yang berjaya mengetuai pelaksanaan perkhidmatan CAT ini. Juga penghargaan kepada CEO Rapid Penang, Encik Azam Bin Omar yang telah bertungkus lumus dalam perancangan dan pelaksanaan Perkhidmatan Bas Percuma CAT ini. 

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam menambah baik sistem perkhidmatan pengangkutan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang. Bermula dengan perkhidmatan Central Area Transit (CAT) pada tahun 2008, seterusnya Bridge Express Shuttle Transit (BEST) yang dilancarkan pada 2011, Kerajaan Negeri tidak pernah puas dan sentiasa ingin memperbaiki dan mengembangkan sistem perkhidmatan pengangkutan awam di negeri ini. Pada hari ini, Kerajaan Negeri sekali lagi akan melancarkan perkhidmatan baru yang bakal memberi manfaat kepada seluruh rakyat di Negeri Pulau Pinang iaitu perkhidmatan bas percuma – Congestion Alleviation Transport (CAT). 

Sebagai permulaan sebanyak 12 laluan akan diperkenalkan merangkumi 6 laluan di Bahagian Pulau dan 6 laluan di Seberang Perai. Pada hari ini, laluan pertama yang dilancarkan adalah laluan Ayer Itam. Perkhidmatan ini diperkenalkan sebagai salah satu alternatif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk kegiatan harian dan seterusnya mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak. Konsep CAT yang diperkenalkan ini merupakan konsep bas feeder (spokes) yang mana bas-bas di laluan CAT akan menghubungkan pengguna ke laluan utama (hub). Bagi laluan utama, caj perkhidmatan seperti biasa akan dikenakan kepada pengguna.

Operasi perkhidmatan CAT Ayer Itam ini akan bermula pada 5.30 pagi sehingga jam 11.45 malam setiap hari dan diberikan percuma kepada semua penduduk Negeri Pulau Pinang. Pengguna boleh menggunakan perkhidmatan ini setiap hari mengikut waktu operasi yang telah ditetapkan. Perkhidmatan CAT ini akan melalui laluan-laluan utama merangkumi kawasan-kawasan yang penting seperti hospital, sekolah, pejabat kerajaan, pusat membeli belah, pasar dan IPTA / IPTS. Sejumlah 8 buah bas akan digunakan di laluan CAT Ayer Itam ini dari jumlah keseluruhan sebanyak 52 buah bas . Kos keseluruhan perkhidmatan CAT secara keseluruhan berjumlah RM15Juta yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri bersama-sama pihak Prasarana akan mengikat kontrak selama 3 tahun bermula pada tahun ini.

Syarat yang ditetapkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada Rapid Penang adalah mudah, yakni RM 15 juta yang diberikan setahun untuk sekurang-kurangnya tambahan 52 buah bas, dan ia tidak boleh digunakan untuk mengurangkan perkhidmatan / perjalanan yang sedia ada. Sebaliknya ia harus digunakan untuk menambah perjalanan, bukan mengurangkan perjalanan. Sekiranya syarat ini tidak dipatuhi tanpa persetujuan Kerajaan Negeri, maka kontrak yang dipersetujui mungkin tidak sah. Tujuan utama perkhidmatan bas CAT percuma ini adalah untuk menambah kekerapan dan aksesibiliti yang dibawa oleh bas. Kami berharap dapat mengatasi masalah di perhentian bas di hadapan Desa Mawar (Farlim) dan Padang Tembak (Rifle Range) yang mana penumpang bas yang tunggu di sana susah dapat menaiki bas pada waktu puncak sungguhpun bas bertolak mengikut jadual kerana ia selalu penuh dengan penumpang apabila sampai ke perhentian bas tersebut. Kerajaan Negeri nak lihat penambahbaikan dalam dua perhentian bas itu. 

Keistimewaan bas CAT ini adalah ianya di balut dengan wrapping khas berwarna hijau seperti bas yang ada di hadapan perhentian bas. Ianya akan membezakan dengan bas biasa yang berbayar. Pemandu bas CAT ini juga dibekalkan dengan pakaian seragam khas bagi menaikkan lagi imej perkhidmatan bas CAT percuma ini. Ini ditambah dengan kemudahan WiFi percuma di dalam bas agar pengguna dapat menggunakan internet dengan lancar dan selesa.  

Diharapkan perkhidmatan CAT ini diterima baik oleh semua pengguna dalam membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang dengan pengurangan kos dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam daripada 8% sekarang. Pandangan dan maklum balas daripada semua rakyat Pulau Pinang adalah diharapkan kerana Rapid Penang akan mendengar pandangan dan bertindak ke atasnya kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah kerajaan yang berjiwa rakyat.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang