MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN SEKOLAH AGAMA RAKYAT NEGERI PULAU PINANG 2018

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN BANTUAN

SEKOLAH AGAMA RAKYAT NEGERI PULAU PINANG 2018

 

 

Adakah naikkan peruntukan untuk Islam sebanyak 84% adalah anti-islam sedangkan kurangkan peruntukan Islam adalah pro-Islam?

 

Selamat pagi dan salam sejahtera.

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2018 di Sekolah Agama Rakyat Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Taman Guar Perahu, Permatang Pauh pada pagi yang mulia ini .

 

Seperti mana yang semua sedia maklum, ini merupakan kali ke-10 pihak Kerajaan Negeri memberikan bantuan kewangan tahunan kepada seluruh Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada tahun 2008.

 

Pagi ini, sejumlah RM1.75 juta sebagai sumbangan tambahan telah disalurkan kepada guru-guru dan sekolah-sekolah agama rakyat berjumlah 196 buah yang meliputi :

 

  1. 1. Sekolah Menengah Agama Rakyat (9 buah - RM334,900)
  2. 2. Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (11buah- RM216,900)
  3. 3. Sekolah Rendah Agama Rakyat (10buah -RM472,300)
  4. 4. Maahad Tahfiz (37 buah - RM168,584)
  5. 5. Sekolah Agama Rakyat-Kafa Integrasi

(105buah - RM467,400)

  1. 6. Tadika Islam – TADIS (15 buah - RM32,148)
  1. Pondok (9 buah -RM 90,000)

 

Saya berharap sumbangan yang dihulurkan ini dapat membantu menambahbaik pengurusan pentadbiran sekolah serta meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran anak-anak kita. Saya juga berharap dengan bantuan yang disalurkan ini, pencapaian akademik dan kemahiran pelajar dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

 

Pada masa yang sama, sejak 2008 hingga kini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM57.3 juta untuk SAR secara amnya. Perinciannya adalah seperti berikut:

 

  1. projek dan perbekalan - RM40.0 juta
  2. program bantuan pendidikan (wang tunai) - RM17.3 juta

___________

JUMLAH - RM57.3 juta

Jumlah RM57.3 juta ini adalah tidak termasuk tanah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk SAR.

 

 

Kita juga ada cadangan bersama Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah dan EXCO Hal Ehwal Agama, Dato' Abdul Malik Kassim sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri untuk peruntukan tambahan wang tunai sebanyak RM1 juta pada tahun ini bagi sekolah agama rakyat yang terletak di kawasan Pakatan Harapan sahaja kerana tidak menerima perhatian daripada Kerajaan Persekutuan yang sewajarnya. Sekiranya kita masih menjadi Kerajaan Negeri pada masa depan, nescaya tambahan RM1 juta ini untuk SAR di kawasan Pakatan boleh dipertimbangkan.

 

Jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam telah naik hampir 84% kepada RM457.05 juta untuk tempoh 2008-2016 berbanding RM249.09 juta pada tempoh yang sama iaitu tahun 1999-2007. Kerajaan Negeri juga telah menaikkan peruntukan pembangunan sekolah-sekolah pendidikan Islam sebanyak RM57.64 juta sejak tahun 2008-2016 berbanding hanya RM20.11 juta oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini pada tahun 1999-2007, iaitu peningkatan sebanyak 186%.

 

Kerajaan Negeri telah melabur RM75 juta dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi seperti Penang Tech Dome, Perpustakaan Digital di bahagian Pulau dan Seberang Perai, Kelas Vokasional Jerman yang terbaik di dunia dan Penang Science Cluster (PSC). Baru- baru ini Kerajaan Negeri juga telah melabur sejumlah RM6 juta dalam tempoh 3 tahun kepada Penang Science Cluster untuk Kelas Koding (coding classes) kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah kita di Pulau Pinang menjelang tahun 2020.

 

Saya juga mempelawa murid-murid untuk mengambil bahagian dalam kelas koding supaya mereka bersama-sama dapat turut serta dalam Industri 4.0.

 

Pada 1 Februari 2016, Kerajaan Negeri telah membina sebuah bangunan baru di Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah Guar Jering, di Guar Perahu, Permatang Pauh, setinggi 3 tingkat dengan kos pembinaan sebanyak RM1.3 juta.

 

Ini membuktikan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah meminggirkan Hal Ehwal Agama Islam seperti mana yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus membantu atas dasar keperluan rakyat, tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik mereka.

 

Apa yang amat dikesalkan apabila sesetengah pihak tidak bertanggungjawab ini menuduh Kerajaan Negeri sebagai anti Islam. Adakah naikkan peruntukan untuk Islam sebanyak 84% adalah anti-islam sedangkan kurangkan peruntukan Islam adalah pro-Islam? Majlis hari ini merupakan bukti bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang bukan anti-Islam seperti tohmahan serta fitnah jahat yang dilemparkan oleh mereka ini.

 

Peningkatan bantuan sebanyak 84% ini sebenarnya telah menimbulkan kemarahan Pengerusi MCA Negeri Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng yang menuduh saya sebagai anti-Cina kerana kononnya meraih undi kaum Cina tetapi membantu orang Melayu dengan menaikkan peruntukan untuk Islam. Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sumbangan tanpa mengambil peduli sikap cauvinis dan rasis daripada Barisan Nasional (BN) ini.

 

Kita akan sentiasa membantu semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama kerana kita merupakan Kerajaan untuk semua dan Kerajaan yang berjiwa rakyat! Selagi mereka adalah rakyat Pulau Pinang yang memerlukan bantuan, kita akan terus membantu meskipun ada pihak yang terus memfitnah Kerajaan Negeri kononnya kita anti Melayu, anti Cina dan anti India.

 

Dan sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini, di atas padang Taman Guar Perahu ini, sebuah dewan orang ramai sedang dibina di mana kosnya dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Semuanya demi kemudahan rakyat, khususnya warga Permatang Pauh.

 

Inilah sebahagian usaha dan komitmen Kerajaan Negeri untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan Islam di negeri ini.

 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang