Majlis Upacara Pecah Tanah Pesisir Pantai Utara : Menguatkan dan Menaiktaraf Kawasan Esplanade Tembok Laut

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Upacara Pecah Tanah Pesisir Pantai Utara :

Menguatkan dan Menaiktaraf Kawasan Esplanade Tembok Laut di Tapak Warisan Dunia George Town.

19 Ogos 2018

Selamat petang tuan-tuan dan puan-puan.

Pertama sekali, kerana hari ini adalah hujung minggu, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kerana berada di sini pada petang Ahad ini. Saya tahu hujung minggu ini merupakan masa yang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan untuk pergi ke George Town’s Festival. Tetapi hari ini, adalah hari bersejarah untuk kawasan pinggir laut George Town! Dan saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang membantu dalam membentuk dan memenuhi potensinya untuk menjadi salah satu ruang awam yang terbesar di bandar.

Saya ingin memuji usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) dalam misi ini untuk melindungi dan meningkatkan aset awam dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Kepentingan Tembok Laut.

Kawasan ini mengandungi beberapa tapak dan struktur yang tertua dan paling penting di George Town. Dengan wujudnya pelbagai tarikan yang berdekatan dan sebuah ruang terbuka hijau yang besar yang menjadi tuan rumah kepada banyak perayaan dan acara, tidak hairanlah bahawa kawasan ini adalah kawasan tumpuan untuk keluarga dan pelawat. Oleh itu, setelah mengetahui bahawa ketahanan struktur laut semakin teruk, ia amat penting untuk tindakan selanjutnya dilakukan bagi melindungi dan memastikan keselamatan keluarga dan orang awam di dalam bandar.

Kenapa perlu diperbaiki dan diperkuatkan?

Tembok laut yang sedia ada tidak dibina sebagai satu sistem tunggal, tetapi setiap bahagian dibina mengikut keperluan dan dana semasa. Pada awal abad ke-19, benteng batu digunakan untuk mengawal kesan gelombang dan mengurangkan kesan hakisan marin di sepanjang pesisir pantai utara bandar, tetapi atas faktor-faktor tertentu, tembok laut semakin terhakis dari masa ke semasa.

Walau bagaimanapun, cuaca yang melampau baru-baru ini disebabkan oleh kesan perubahan iklim, telah menyebabkan tahap hakisan telah meningkat dan menyebabkan rongga dan lubang semakin dalam di sepanjang tembok laut.

Kesan retakan telah menjejaskan perlindungan struktur dan kestabilan batu. Tambahan pula, kerja-kerja pembaikan yang dilakukan sebelum ini pada kesan retakan sepanjang tembok laut adalah kurang memuaskan. Pelbagai kaedah untuk melindungi struktur telah digunakan untuk memastikan ketahanan jangka panjang struktur, perlindungan nilai-nilai warisan dan kepentingannya.

Tembok laut yang dipulihkan akan membantu dalam pembinaan kawasan pejalan kaki di persiaran air yang lebih selamat dan akan meningkatkan keselesaan dan pengalaman untuk penduduk Pulau Pinang serta pengunjung.

Kenapakah ruang awam penting?

Ruang awam yang berkualiti adalah komponen penting kepada sesebuah bandar. Ia memberi banyak peluang kepada orang ramai untuk berkumpul dan melibatkan diri dengan komuniti. Tanpa ruang awam yang berkualiti, tidak ada tempat bagi orang untuk bersiar-siar, bergaul dan berinteraksi dengan rakan dan keluarga. Sesebuah ruang awam itu dikira berjaya apabila ianya inklusif untuk pelbagai golongan masyarakat di bandar dan dijadikan sebagai ruang sosial yang semua orang boleh mengambil bahagian.

Kerajaan Negeri berminat untuk meneruskan rangkaian reruang awam untuk meningkatkan perhubungan, laluan mesra pejalan kaki dan interaksi sosial bagi penduduk untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. Oleh itu, kerajaan bersama-sama dengan Think City, AKTC dan CMI, melalui penubuhan GTCDC, telah membangunkan Pelan Induk Pesisir Pantai Utara untuk mencapai matlamat mewujudkan ruang awam yang berkualiti, menarik, selamat dan inklusif kepada semua.

Pelan Induk Pesisir Pantai Utara diimaginasikan sebagai sebuah persiaran awam yang akan bertambah baik bermula dari Dewan Sri Pinang (ke barat) ke Fort Cornwallis dan pintu masuk ke Swettenham Pier (ke timur). Projek ini akan meningkatkan ruang awam di bandar serta menambah baik kemudahan awam di kawasan yang paling penting di George Town.

Pelan Induk bagi kawasan pinggir pantai George Town adalah sebahagian daripada Rancangan Kawasan Khas (SAP) yang diluluskan oleh pihak berkuasa perbandaran pada September 2016. Ia termasuk menaik taraf Esplanade dan pemulihan tembok laut dan persiaran yang berkaitan yang lebarnya kira-kira 570m dari medan makanan Medan Renong di sebelah barat ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di hujung timur.

Salah satu perkara utama dalam usaha ini adalah memperkenalkan semula parit Kota Cornwallis untuk meningkatkan pengalaman pengunjung ke tempat itu. Tujuan pengenalan semula parit adalah untuk menandakan dan menghormati kepentingan tertinggi sejarah Kota yang selaras dengan usaha pemuliharaan dan pemulihan UNESCO. Projek rintis pembinaan semula parit akan selesai pada September 2018 dan sistem pembinaan ini akan dinilai untuk dilaksanakan di bahagian Barat dan Selatan Kota. Pengunjung mungkin dapat menikmati hasil pembinaan parit fasa pertama ini pada penghujung tahun 2019.

Tembok Laut: Langkah Seterusnya

Berikutan penilaian teknikal dan nilai warisan dari pelbagai pihak secara menyeluruh, pelan induk untuk menaik taraf tembok laut telah dimuktamadkan,

Oleh sebab skala inisiatif yang besar, kerja-kerja menaik taraf tembok laut dijangkakan akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan. Kerja-kerja ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa, di mana fasa pertama bermula pada bulan Ogos 2018. Sebahagian besar projek ini dibiayai oleh MBPP dengan sokongan teknikal dari GTCDC. Seperti pelaksanaan projek penaiktarafan Padang Kota, Esplanade, projek ini akan diselia bersama oleh MBPP dan GTCDC.

Kesimpulan

Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada MBPP dan GTCDC kerana telah berjaya memenuhi tanggungjawab kepada Pulau Pinang dan penduduknya.

Saya ingin menamatkan ucapan saya dengan memetik kata-kata dari arkitek Denmark dan pereka bentuk urban Jan Gehl - "Sebuah bandar yang baik adalah seperti sebuah pesta yang baik – orang yang tinggal lebih lama daripada masa yang ditetapkan kerana mereka menikmati pesta tersebut". Saya harap anda juga akan menikmati dan akan tinggal lebih lama di bandar istimewa, menarik dan selamat ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang