MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTINJEN PULAU PINANG KE SUKAN MALAYSIA XIX, PERAK 2018
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTINJEN PULAU PINANG KE SUKAN MALAYSIA XIX, PERAK 2018
2 SEPTEMBER 2018, JAM 6.00 PETANG
DEWAN TERBUKA JBSN
Selamat petang dan salam sejahtera.
Terulung sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana berpeluang memberi sepatah dua kata sempena majlis yang amat bermakna ini.
Saya berasa amat berbangga dan teruja kerana berkesempatan untuk bertemu dengan wira dan wirawati sukan negeri pada Ahad yang amat mulia ini. Ini merupakan detik permulaan dimana anda perlu memikul harapan dan impian Negeri Pulau Pinang di persada Sukan Malaysia Ke-19 di Perak nanti.
Harapan dan impian kita adalah agar nama Negeri Pulau Pinang dapat dimartabatkan sebagai antara negeri yang mampu melahirkan lebih ramai atlet-atlet sukan yang berbakat. Ambil peluang ini untuk mencapai keunggulan. Dengan terpilihnya anda sebagai atlet Pulau Pinang, anda hanya selangkah saja dari mengharumkan nama Negeri Pulau Pinang!
Di SUKMA Sarawak 2016 Kontinjen Pulau Pinang telah meraih sebanyak 26 butir pingat emas,12 butir pingat perak dan 29 butir pingat gangsa. Melalui pungutan ini, Kontinjen Pulau Pinang telah berjaya memperbaiki kedudukan dan berada di tempat yang ke-6 berbanding semasa di Sukan Malaysia Ke-17, Perlis 2014 dimana kita menduduki tempat yang ke-7.
Untuk SUKMA Perak 2018, sasaran kita adalah untuk meraihadalah 36 butir pingat Emas, 14 butir pingat Perak dan 35 butir pingat Gangsa serta berada di tangga yang ke-5 di antara 15 kontinjen yang turut bertanding.
Sukan-sukan yang dijangkakan akan menyumbangkan paling banyak pingat adalah seperti sukan karate, judo dan renang. Skuad karate Pulau Pinang serta tidak pernah menghampakan Negeri Pulau Pinang malah muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA sejak tahun 2002 lagi.
Sukan judo tidak dipertandingkan di SUKMA Sarawak 2016 dan di SUKMA Perlis 2014. Tetapi di SUKMA Kuala Lumpur 2013, sukan judo telah menyumbang 2 butir pingat emas, 3 butir pingat perak dan 6 butir pingat gangsa.
Bagi sukan renang pula, skuad renang Pulau Pinang telah membawa pulang 2 butir pingat emas dan 4 butir pingat gangsa semasa di SUKMA Sarawak 2016.
Walaupun hanya tiga sukan sahaja yang diumumkan sebagai sukan tumpuan, tetapi semestinya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetap menaruh harapan yang amat tinggi kepada 26 lagi sukan-sukan yang lain turut dipertandingkan. Malah, saya difahamkan bahawa Kontinjen Pulau Pinang bakal menghadiahkan kejutan yang pasti membanggakan. Mungkin dari sukan-sukan yang telah disebut ataupun mungkin daripada beberapa sukan yang lain. Jadi, saya sarankan agar seluruh rakyat Pulau Pinang mengikuti perkembangan Kontinjen Pulau Pinang sepanjang SUKMA Perak 2018.
Nilai murni yakin diri perlu ada tetapi jangan sekali-kali berkelakuan angkuh dan terlalu berkeyakinan sehingga bongkak dan lupa diri. Memang benar bahawa Kontinjen Pulau Pinang telah bersungguh-sungguh bersedia menghadapi pihak lawan, tetapi ingat bahawa kontinjen-kontinjen lain juga turut berhempas-pulas untuk melakukan yang terbaik. Jadikan ini pembakar semangat untuk mengalahkan pihak lawan.
Ayuh kita bersedia untuk berdiri megah dan menyanyikan Lagu Negeri Kita di podium kemenangan!
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin sama mengumumkan berita yang baik. Sebagai tanda penghargaan kepada para atlet yang berjaya menjulang pingat, insentif kemenangan yang berbentuk kewangan telahpun di kaji semula.
Insentif Pungutan Pingat Sukan Malaysia Ke-19 Perak 2018 kepada atlet-atlet Pulau Pinang adalah seperti berikut:
-Insentif bagi acara peseorangan adalah RM4,000.00 [empat ribu ringgit] bagi setiap pingat emas
-RM2,500.00 [dua ribu lima ratus ringgit] bagi setiap pingat perak
-RM1,500.00 [satu ribu lima ratus ringgit] bagi setiap pingat gangsa
Tahun lepas, insentif kewangan bagi acara peseorangan adalah RM3,000.00 [tiga ribu ringgit] bagi setiap pingat emas, RM2,000.00 [dua ribu ringgit] bagi setiap pingat perak dan RM1,000.00 [satu ribu lima ratus ringgit] bagi setiap pingat gangsa.
Untuk acara bergu, insentif bagi setiap atlet adalah seperti berikut:
-RM2,000.00 [dua ribu ringgit] bagi pingat emas, RM1,250.00 [satu ribu dua ratus lima puluh ringgit] bagi pingat perak dan RM 750.00 [tujuh ratus lima puluh ringgit] bagi pingat gangsa. Amaun yang ditambah adalah sebanyak RM500 [lima ratus ringgit] bagi pingat emas dan RM250 [dua ratus lima puluh ringgit] bagi pingat perak dan pingat gangsa.
Untuk kategori berpasukan seramai tiga hingga lima atlet, insentif bagi setiap atlet adalah RM1,200.00 [satu ribu dua ratus ringgit] bagi pingat emas, RM900.00 [sembilan ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM700.00 [tujuh ratus ringgit] bagi pingat gangsa. Amaun yang ditambah adalah sebanyak RM200 [dua ratus ringgit] setiap pingat.
Bagi kategori berpasukan lebih daripada lima atlet, insentif bagi setiap atlet adalah RM700.00 [tujuh ratus ringgit] bagi pingat emas, RM500.00 [lima ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM300.00 [tiga ratus ringgit] bagi pingat gangsa. Amaun yang ditambah adalah sebanyak RM200 [dua ratus ringgit] bagi pingat emas dan perak serta RM100 [satu ratus ringgit] bagi pingat gangsa.
Insentif kewangan bagi persatuan adalah RM300 [tiga ratus ringgit] bagi pingat emas, RM200 [dua ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM100 [dua ratus ringgit] bagi pingat gangsa.
Untuk para jurulatih, insentif kewangan adalah RM500 [lima ratus ringgit] bagi pingat emas, RM250 [dua ratus lima puluh ringgit] bagi pingat perak dan RM150 [satu ratus lima puluh ringgit] bagi pingat gangsa.
Atlet yang memecah Rekod Kebangsaan akan diberi insentif kewangan sebanyak RM1,000 dan RM500 jika mencipta rekod Sukan Malaysia.
Walaupun semua atlet bercita-cita berdiri di podium pemenang dan bergelar juara, namun, tujuan utama kita bertanding dengan peserta dari negeri-negeri yang lain adalah untuk mengasah bakat dan potensi atlet-atlet dari Pulau Pinang agar atlet bertaraf antarabangsa dapat dilahirkan untuk menwakili negara di persada dunia sukan. Tonjolkan kebolehan anda dalam acara sukan masing-masing. Jika anda semua dipilih untuk menyertai kontinjen Pulau Pinang, pasti anda layak untuk meraihkan kejayaan di Perak.
Kecermerlangan bukan mudah untuk dikecapi. Keazaman untuk berjaya perlu membara di dalam jiwa setiap atlet. Langkahlah ke depan dengan gagah. Bersainglah dengan semangat sedaya upaya dan buktikan keunggulan anda sebagai wira dan wirawati Pulau Pinang. Bersatu kita teguh, berpadu kita kukuh! Kita perlu tabah berusaha, ayuh kita berkorban dan berbakti untuk kecermerlangan sukan Negeri tercinta!
Hasrat yang tersurat di dalam jiwa anda semua akan menjadi realiti. Dengan semangat membara, berjuanglah dan anda pasti menyerlah!
Sekian, terima kasih.