MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PERSIDANGAN KLEAPS PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUP PERSIDANGAN KLEAPS PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

22 SEPTEMBER 2018
KOMPLEKS PERDANA UITM PULAU PINANG

YB Prof Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Mohd Jamil Mohamed
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang,

Datin Kathleen Chew
Pengarah YTL Foundation

Cik Lou Yeoh
Pengarah Eksekutif FrogAsia Sdn Bhd

Para pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang

Para guru, pelajar dan ibu bapa

Wakil-wakil media

Tuan-tuan dan puan-puan

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur dari kampus Universiti Teknologi MARA (UitTM) Cawangan Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan program pada petang yang mulia ini.

Terima kasih kepada FrogAsia kerana memilih Pulau Pinang sebagai lokasi persidangan Leaps of Knowledge (kLeaps) pada kali ini dan syabas kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang atas jalinan kerjasama dengan FrogAsia untuk menganjurkan persidangan kLeaps pada hari ini.

Seperti yang kita sedia maklum, pada bulan Jun 2016, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan penubuhkan Perpustakaan Digital Pulau Pinang atau Penang Digital Library (PDL) sebagai galakan dan transformasi kepada generasi muda menggunakan kemudahan era digital dan teknologi.

PDL merupakan platform untuk menyediakan satu masa depan yang gemilang kepada anak-anak Pulau Pinang terutamanya bagi menguasai bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik). Kerajaan Negeri memperuntukkan jumlah yang agar besar dalam penyediaan pusat-pusat sains seperti Penang Science Cluster (PSC), Penang Tech Dome, Penang Math Platform, CAT dan PSDC. Semua pusat ini menyediakan pelbagai tawaran kemahiran dan ada yang dijalankan secara percuma.

Selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang menguasai dunia kini, Pulau Pinang tidak ketinggalan untuk turut bersaing dalam dunia teknologi ini. Kerajaan Negeri kini dalam pertimbangan dan candangan untuk mewujudkan satu portfolio baru iaitu Transformasi Digital di bawah Ketua Menteri sendiri.

Saya difahamkan terdapat karnival, bengkel serta pelbagai aktiviti yang berasaskan teknologi Pendidikan. Saya gembira apabila mendapat tahu ada sekolah-sekolah di Pulau Pinang yang menyediakan platform pembelajaran terutamanya Virtual Learning Enviroment (VLE).

Konsep pembelajaran melalui permainan ataupun disebut gamification of learning dalam platform seperti persekitaran pembelajaran maya VLE ini dapat meningkatkan minat pelajar dalam pelajaran dan mendorong mereka untuk mengulang kaji pelajaran.

Tahniah kepada SJKT Bayan Lepas, SJKT Sg Ara dan SK St Mark yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam mata pelajaran Matematik dalam Frog Championships Maths peringkat negeri bagi sekolah rendah.

Bagi sekolah menengah pula, tahniah kepada SMK Agama Al-Irshad, SMK Seri Balik Pulau dan SMK Kampong Selamat yang berjaya mencapai markah tertinggi dalam mata pelajaran Matematik semasa menggunakan program FrogPlay untuk mengulang kaji pelajaran.

Oleh itu, saya berharap agar semua sekolah, pelajar dan guru di negeri ini dapat memanfaatkan teknologi pendidikan seperti platform Frog untuk mencapai kemajuan sebanyak yang terdaya. Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami juga akan menumpukan usaha untuk menyokong Jabatan Pendidikan Negeri dalam usaha mereka bagi memastikan semua sekolah di Malaysia menikmati manfaat pembelajaran abad ke-21.

Saya yakin bahawa para guru, pelajar dan ibu bapa di Pulau Pinang amat komited dalam memastikan penerapan teknologi pendidikan abad ke-21 dalam kehidupan masing-masing. Saya dapat melihat minat dan semangat mereka dalam menaik taraf pencapaian pendidikan, dan saya berharap agar semua yang diusahakan mereka akan berjaya.

Saya berharap agar pihak FrogAsia dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dapat meneruskan program sebegini pada masa akan datang.

Akhir kata, saya merasmikan Majlis Penutup Persidangan Leaps Of Knowledge (Kleaps) Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2018.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang