MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN TAMBAHAN KEDUA BAGI PERJANJIAN TEBUSGUNA TANAH DAN PENEMPATAN SEMULA ANTARA KERAJAAN NEGERI DAN RAYSTON CONSORTIUM (BUTTERWORTH) SDN BHD 

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN TAMBAHAN KEDUA BAGI PERJANJIAN TEBUSGUNA TANAH DAN PENEMPATAN SEMULA
ANTARA KERAJAAN NEGERI DAN RAYSTON CONSORTIUM (BUTTERWORTH) SDN BHD 

28 SEPTEMBER 2018

 

YB Prof. Dr. Ramasamy Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

YB Dato’ Anas bin Ahmad Zakie
Penasihat Undang-undang Negeri

YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu
Pegawai Kewangan Negeri

Puan Marlia binti Mohd Belia
Pentadbir Tanah, Daerah Seberang Perai Utara

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Mohamud
YDP Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

Dato’ Ronnie Lim
Pengarah Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd

Encik Phang Kwai Sang
Pengarah Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd

Ketua-ketua Jabatan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Salam Sejahtera.

Perjanjian Tebus Guna Tanah dan Penempatan Semula (Land Reclamation and Resettlement Agreement (LRRA)) telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Rayston Consortium (Butterworth) Sdn. Bhd. (RCSB) pada 16 Jun 1999. Perjanjian ini diwujudkan berikutan Perjanjian Konsesi antara Kerajaan Persekutuan dan Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd (LLB) untuk menjalankan pembinaan, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Lingkaran Luar Butterworth, atau lebih dikenali sebagai BORR. Menurut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) ketika itu, LLB merupakan 'Special Purpose Vehicle' dan tidak boleh melaksanakan fungsi-fungsi selain daripada merancang, membina dan menyelenggara BORR sahaja.

Oleh yang demikian, bagi melaksanakan kerja-kerja tebus guna tanah dan penempatan semula ground tenants, satu perjanjian berasingan telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan RCSB. Melalui perjanjian tersebut, RCSB akan melaksanakan penempatan semula penduduk yang terlibat dengan pembinaan BORR dan sebagai balasan, RCSB diberi hak untuk menebusguna serta membangunkan tanah yang ditebusguna.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri dan RCSB telah menandatangani perjanjian tambahan pada 6 Mac 2003 untuk memasukkan jaminan bank yang perlu dikemukakan oleh RCSB kepada Kerajaan Negeri.

Bagi perjanjian tambahan kedua yang akan ditandatangani sebentar lagi, Kerajaan Negeri dan RCSB bersetuju untuk meminda beberapa perkara dan klausa dalam perjanjian asal. Antara perkara-perkara utama dalam perjanjian tambahan ini adalah:

1. Keluasan Tanah Yang Perlu Diserah Oleh Pihak RCSB Kepada Kerajaan Negeri

Melalui perjanjian yang ditandatangani pada 16 Jun 1999, RCSB diberi hak untuk menebusguna 650 hektar tanah. 243 hektar adalah dikhaskan untuk kegunaan Pelabuhan Pulau Pinang, 2.5 hektar diserahkan kepada Kerajan Negeri untuk perumahan kos rendah dan sederhana rendah dan 7.5 hektar sebagai balasan kepada penyerahan 2 bidang tanah Kerajaan Negeri di Jalan Pantai Bersih dan Jalan Bagan Jermal pada 27 Nov 2001 untuk penempatan semula penduduk. Tambahan lagi, RCSB perlu menyerahkan 5% daripada tanah Net Saleable Area yang bersamaan dengan keluasan 12.9 hektar kepada Kerajaan Negeri.

Setelah Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Negeri pada 2008 dan berunding dengan pihak RCSB, maka kedua-dua pihak telah bersetuju supaya RCSB menyerahkan 35% tanah daripada Net Saleable Area iaitu bersamaan dengan keluasan 90.31 hektar kepada Kerajaan Negeri. Ini bermaksud dengan perjanjian tambahan kedua ini, Kerajaan Negeri akan mendapat lebih 77.41 hektar tanah berbanding dengan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1999.

Penentuan kawasan tanah yang akan diserahkan oleh RCSB kepada Kerajaan Negeri akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

2. Tempoh Serahan Tanah Kerajaan Negeri

RCSB perlu menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh 6 tahun selepas tarikh mula kerja (Commencement of Work).

3. Jadual Pelaksanaan Program

Klausa Land Reclamation Plan dipinda bagi memastikan pihak RCSB mengemukakan permohonan Pelan Induk, Kebenaran Merancang, Kajian Impak Persekitaran dan lain-lain dokumen yang diperlukan dalam masa yang ditetapkan bagi membolehkan kerja-kerja tambakan dimulakan dan disiapkan dalam tempoh masa yang dipersetujui.

4. Hak Tebusguna Tanah Kepada Pihak Ketiga

Satu klausa baharu diwujudkan dalam perjanjian ini bagi membolehkan RCSB memindakan hak tebusguna tanah kepada pihak ketiga bagi kawasan Pelabuhan dengan syarat RCSB masih memegang tanggungjawab seperti mana dalam perjanjian asal.

Kerajaan Negeri menaruh harapan yang tinggi agar RCSB dapat melaksanakan projek ini dengan jayanya dan mengikut tempoh-tempoh yang ditetapkan memandangkan projek ini akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negeri dan rakyat Pulau Pinang khususnya.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang