MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA KONVENSYEN PENGEMBANGAN VETERINAR DAN HARI INOVASI VETERINAR MALAYSIA TAHUN 2018

 UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA KONVENSYEN PENGEMBANGAN VETERINAR DAN HARI INOVASI VETERINAR MALAYSIA

TAHUN 2018

8 OKTOBER 2018
HOTEL IXORA

 

Yang Berhormat Dato’ Salahuddin bin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia

Yang Berhormat Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Profesor Dr. Ramasamy A/L Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Exco-exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen

Yang Berbahagia Dato’ Dr Quaza Nizamuddin bin Hassan Nizam
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia

Yang Berusaha Dr Anun binti Man
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang

Ketua-Ketua Jabatan

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian

Salam sejahtera dan selamat malam.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang sudi menjemput saya bagi menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Veterinar Malaysia Tahun 2018. Saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat berbesar hati menerima kunjungan semua ke Pulau Mutiara ini.

Selamat datang diucapkan kepada semua kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari seluruh negara. Terima kasih kerana memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah sempena Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi dan saya difahamkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang telah dipilih untuk menjadi Urusetia Bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dalam melaksanakan program ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Jabatan Perkhidmatan Veterinar memainkan peranan penting dalam membangunkan serta memperkukuhkan industri ternakan, hasilan ternakan dan kebajikan haiwan secara keseluruhannya berlandaskan dasar-dasar dan program-program yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tahun. Setiap industri memainkan peranannya yang tersendiri. Sebagai contoh, peranan utama industri penternakan ialah membekalkan makanan berprotein iaitu daging, susu dan telur yang berkualiti dan sihat untuk makanan rakyat.

Program pengembangan veterinar merupakan suatu proses reformasi perkhidmatan haiwan untuk menjadikannya lebih proaktif serta relevan dengan perkembangan pada masa kini. Pengembangan veterinar yang mantap boleh dijadikan teras terutama berkaitan penyampaian perkhidmatan veterinar di lapangan.

Konvensyen yang berlangsung selama 5 hari bermula hari ini diharap dapat memberikan idea-idea baru yang kreatif, inovatif serta mendorong ke arah pembaharuan kepada semua Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari semua negeri. Saya yakin dengan kesediaan untuk berubah ke arah yang lebih baik akan melahirkan sebuah Jabatan yang dinamik serta mampu menjadi pemangkin kepada perubahan masyarakat keseluruhannya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus dinilai tahap kebolehan, kesediaan dan kesungguhan oleh pelanggan yang mahukan hanya yang terbaik dari anda semua. Saya pasti cabaran-cabaran baru akan wujud selaras dengan perkembangan dunia global sekarang. Akan ada situasi-situasi kompleks di mana akan wujudnya penyakit-penyakit merentasi sempadan yang memerlukan kepakaran dan kaedah rawatan yang terkini. Sumber-sumber makanan Negara seperti daging-daging yang masuk ke pasaran semasa juga memerlukan perhatian dan penyampaian khas oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang lebih cekap dan profesional selaras dengan peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Peningkatan intensiti, visibiliti dan kualiti perkhidmatan teknikal veterinar di lapangan perlu bagi membolehkan perkhidmatan veterinar terus releven di hati dan mata rakyat serta stakeholder.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bersidang kepada semua. Semoga ilmu yang akan diterima dalam konvensyen ini dapat dijadikan panduan dan bermanfaat untuk kebaikan kita bersama.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang