PROGRAM PEMANTAPAN USAHAWAN & PELANCARAN SKIM PINJAMAN HARAPAN (SPH)  NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM PEMANTAPAN USAHAWAN & PELANCARAN SKIM PINJAMAN HARAPAN (SPH) 

NEGERI PULAU PINANG

13 OKTOBER 2018 (SABTU)

GRAND BALLROOM VISTANA PENANG BUKIT JAMBUL

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Tuan Prof. Dr. P Ramasamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain
Exco Pembangunan Keusahawanan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Encik Jeffrey Chew
Timbalan Pengurus Besar II PDC

Ketua-Ketua Jabatan

Dif-Dif Jemputan

Rakan-Rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekelian.

Selamat pagi dan salam sejahtera.

MUKADIMAH

1. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana sudi menjemput saya untuk hadir pada pagi ini bagimerasmikanPelancaran Skim Pinjaman Harapan (SPH) Negeri Pulau Pinang.

2. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada PDC dan pejabat YB Dato’ Haji Abdul Halim bin Haji Hussain yang telah berusaha keras bagi menganjurkan majis pelancaran Skim Pinjaman Harapan (SPH). Program pelancaran SPH juga turut diselitkan denganpengisian program pemantapan usahawan bagi membakar semangat usahawan. Usaha murni ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada semangat usahawan-usahawan terus berusaha ke arah memajukan diri bagi mencapai status usahawan berjaya.

BANTUAN DAN KOMITMEN KERAJAAN NEGERI

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. Dalam tempoh 12 tahun dari sekarang, Kerajaan Negeri mensasarkan kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati rakyat, selain Pulau Pinang dikenali sebagai negeri paling hijau di Malaysia.

4. Ini seiring dengan wawasan pembangunan negeri iaitu Pulau Pinang2030, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik untuk usahawan di Pulau Pinang.

5. Pelbagai bentuk inisiatif kerajaan dan bantuan telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam bidang keusahawanan dipelbagai peringkat. Dahulunya agak sukar bagi para usahawan untuk mendapatkan bantuan perniagaan, namun kini, pelbagai bentuk skim bantuan, tabung dan pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan dan pihak swasta boleh dimanfaatkan bagi memperkasakan usahawan dalam bidang perniagaan.Malahan kini, sektor daripada bank juga turut membantu mana-mana usahawan yang baru memulakan perniagaan. Kerajaan Negeri melalui PDC turut menyediakan skimbantuan perniagaan yang dikenali sebagai Skim Pinjaman Harapan.

SKIM PINJAMAN HARAPAN (SPH)

6. Skim Pinjaman Harapan yang dahulunya dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) adalah skim pinjaman mikro kredit dengan matlamat untuk membantu mewujudkan satu sistem penyaluran modal yang mudah dan tidak membebankan penjaja dan peniaga kecil di Pulau Pinang.

7. Skim pinjaman ini disalurkan tanpa sebarang cagaran, penjamin dan caj perkhidmatan untuk tahun pertama dengan jumlah pinjaman antara RM1,000.00 hingga maksimum RM25,000.00. Tempoh bayaran balik antara 1 hingga 3 tahun.
8. SPH telah banyak membantu usahawan Pulau Pinang mengembangkan modal perniagaan masing-masing sekaligus skim tersebut menjadi mercu tanda Pulau Pinang sebagai negeri Berkebajikan dan Keusahawanan.

9. Sejak tahun 2009 hingga kini, Kerajaan Negeri melalui PDC telah mengagihkan kira-kira RM15.15 juta kepada 3,060 peminjam SPH di semua daerah di Pulau Pinang termasuk 26 penerima pinjaman SPH pada hari ini dengan jumlah pinjaman sebanyak RM232,000.00.

10. Saya menyeru kepada semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh negeri Pulau Pinang yang berkelayakan supaya merebut peluang untuk mendapatkan kemudahan skim pinjaman mikro kredit SPH.

PENUTUP

11. Besarlah harapan saya agar semua usahawan di Pulau Pinang dapat memanfaatkan segala peluang dan ruang yang telah disediakan oleh Kerajaan. Untuk menjadi seorang usahawan berjaya, usahawan seharusnya berani melangkah demi mengejar cita-cita. Jangan takut untuk gagal kerana kegagalan itu adalah permulaan sebuah kejayaan.

12. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha mempertingkatkan pemberian kemudahan pinjaman mikro kepada golongan peniaga kecil yang memerlukan bantuan bagi memaju dan memperkembangkan perniagaan serta taraf ekonomi rakyat.

13. Kepada penerima pinjaman hari ini, saya menaruh harapan yang tinggi kepada tuan-tuan dan puan-puan agar dapat memanfaatkan pinjaman ini dengan sebaik mungkin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menambahkan pendapatan, wang simpanan dan menambahbaik perniagaan tuan-tuan dan puan-puan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup. Marilah kita bersama-sama memberi komitmen dan menanam tekad untuk terus berjaya dan mengecapi pembangunan Pulau Pinang secara bersama.

14. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada PDC dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah hadir pada majlis ini.

15. Dengan ini, saya dengan sukacitanyamelancarkan Skim Pinjaman Harapan (SPH) Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terimakasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang