MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DI ANTARA CIDB MALAYSIA & PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC) DALAM KUALITI, KESELAMATAN & KESIHATAN DALAM INDUSTRI PEMBINAAN

 TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG 

SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU)

DI ANTARA CIDB MALAYSIA & PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

DALAM KUALITI, KESELAMATAN & KESIHATAN DALAM INDUSTRI PEMBINAAN

 

24 OKTOBER 2018
__________________________________________________

 

YB DATO' IR. HJ. AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABDUL RAHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI (I) PULAU PINANG

YB PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI (II) PULAU PINANG

YB JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
EXCO PERUMAHAN, KERAJAAN TEMPATAN DAN PERANCANGAN BANDAR & DESA

YB DATO' SERI FARIZAN BIN DARUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI

YB DATO' SARUL BAHIYAH BINTI HAJI ABU
PEGAWAI KEWANGAN NEGERI

YANG DIALU-ALUKAN YANG BERBAHAGIA DATUK IR. ELIAS ISMAIL
PENGURUS BESAR KANAN SEKTOR PEMBANGUNAN TEKNOLOGI, CIDB MALAYSIA

YANG BERBAHAGIA DATO’ ROSLI JAAFAR
PENGURUS BESAR PERBADANAN PEMBANGUNAN PULAU PINANG (PDC)

PIHAK PENGURUSAN PDC

PIHAK PENGURUSAN CIDB MALAYSIA

RAKAN-RAKAN MEDIA

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas kesudian untuk bersama-sama pada petang ini untuk Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara CIDB Malaysia & Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Dalam Kualiti, Keselamatan & Kesihatan Dalam Industri Pembinaan.

Untuk makluman semua, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) iaitu satu agenda nasional yang holistik dan komprehensif untuk menerajui hala tuju masa depan sektor pembinaan Malaysia. Ianya bertujuan untuk mengubah industri pembinaan melalui teras kualiti, keselamatan dan kemampanan alam sekitar, antaranya telah dikenalpasti untuk merealisasikan dan menegakkan teras dengan meningkatkan integriti dan memperkenalkan sistem penilaian dalam operasi dengan merujuk kepada piawaian.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Dan pada hari ini, pihak PDC akan menandatangani “Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pelaksanaan Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (Quality Assessment System for Building Construction Works, QLASSIC).

QLASSIC merupakan satu kaedah untuk mengukur kualiti kerja pembinaan berdasarkan standard yang diluluskan. Sistem penilaian kualiti mutu kerja pembinaan ini telah dilancarkan oleh CIDB pada tahun 2006. QLASSIC dilaksanakan berdasarkan standard kualiti pembinaan mengikut Standard Industri Pembinaan (CIS 7: 2014) dan objektif QLASSIC adalah:

• Menanda aras (benchmark) kualiti kemahiran kerja industri pembinaan.
• Menentukan satu sistem penilaian terhadap kualiti kemahiran kerja pembinaan.
• Mentaksir dan menilai kemahiran kerja sesebuah projek pembinaan berdasarkan standard relevant yang diperakui.
• Untuk diguna sebagai kriteria pentaksiran prestasi kontraktor berdasarkan kualiti kemahiran kerja.
• Menyusun dan mengumpul data bagi tujuan analisa statistik.

Saya difahamkan bahawa, CIDB amat komited bagi menjayakan pelaksanaan QLASSIC melalui Program Kursus Kesedaran dan Kursus Latihan Penilai & Penilaian Pengetahuan QLASSIC. Kursus dan latihan ini amat diperlukan untuk memberi kefahaman dan kemahiran kepada pegawai-pegawai Teknikal PDC (Arkitek, Jurutera) supaya dapat melaksanakan projek-projek PDC sedia ada dan masa depan berdasarkan QLASSIC.

Pihak PDC juga sedang bekerjasama dengan CIDB dalam Sistem Penilaian Keselamatan & Kesihatan dalam Pembinaan (Safety and Health Assessment System in Construction, SHASSIC). SHASSIC adalah kaedah untuk menilai prestasi keselamatan dan kesihatan kontraktor dalam sesebuah projek atau kerja pembinaan. SHASSIC dilaksanakan berdasarkan standard keselamatan dan kesihatan mengikut Standard Industri Pembinaan (CIS 10: 2008)

Objektif SHASSIC adalah :

• Untuk menanda aras tahap keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan.
• Untuk membentuk suatu sistem standard mengenai penilaian keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan.
• Untuk menilai prestasi kontraktor dalam ehwal keselamatan dan kesihatan berdasarkan standard ini.
• Untuk menilai prestasi kontraktor dalam ehwal keselamatan dan kesihatan di tapak kerja.
• Untuk menambah baik dan mengambil langkah pembetulan perlu berkaitan prestasi dan pengurusan OHS di tapak kerja.
• Untuk menyusun dan mengumpul data bagi tujuan analisa statistik.

Perkara ini adalah selaras dengan agenda Construction Industry Transformation Program (CITP) 2016-2020 untuk mengubah industri pembinaan menjadi produktif, mampan alam sekitar, dengan syarikat-syarikat yang kompetitif di peringkat global sambil memberi tumpuan kepada standard keselamatan dan kualiti.

Saya percaya bahawa melalui MOU ini, CIDB akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada PDC dalam beberapa aspek, antaranya:

• Pelaksanaan penilaian QLASSIC/SHASSIC ke atas penyeliaan bangunan/perumahan baru PDC.
• Pengesahan skor QLASSIC projek-projek PDC.
• Menyediakan latihan QLASSIC/SHASSIC untuk meningkatkan pengetahuan kakitangan teknikal PDC.
• Memberikan garis panduan mengenai perkara-perkara yang berkaitan QLASSIC/SHASSIC dalam spesifikasi kontrak, termasuk garis panduan untuk mengawal kualiti keselamatan kerja kontraktor.

Majlis menandatangani MOU ini juga dapat meningkatkan lagi kerjasama antara PDC dan CIDB. MOU yang akan ditandatangani pada hari ini juga menzahirkan komitmen PDC ke arah kualiti pembinaan yang lebih baik dan saya berasa amat bangga bahawa PDC merupakan agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang pertama menandatangani MOU di bawah usaha sama melaksanakan sistem QLASSIC dan SHASSIC ke atas projek-projek bangunan PDC.

Dengan sokongan CIDB Malaysia, PDC telah memperkenalkan Sistem Penilaian Kualiti untuk Pembinaan Bangunan (QLASSIC) dalam Perumahan Mampu Milik Suria 1, Bandar Cassia, Batu Kawan dan berjaya memperolehi markah skor QLASSIC yang baik iaitu 74%. Sistem penilaian QLASSIC merupakan satu langkah yang berkesan untuk memberi penilaian secara objektif terhadap kualiti projek perumahan dengan memperkenalkan sistem pemarkahan.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada PDC dan CIDB Malaysia yang telah berjaya merealisasikan perjanjian persefahaman ini dan seterusnya berusaha dalam initiatif meningkatkan kualiti dan keselamatan di tapak pembinaan.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang