MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SAMBUTAN HARI INOVASI TAHUN 2018 JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SAMBUTAN HARI INOVASI TAHUN 2018

JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

29 OKTOBER 2018 (ISNIN)
THE LIGHT HOTEL SEBERANG JAYA

Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Farizan Bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Setia Tuan Mohammad Hamdan bin Haji. Wahid
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Yang Amat Setia Dato’ Haji Amer bin Haji Yusof
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Yang Amat Setia Dato’ Haji Soiman bin Jahid
Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Yang Setia Saadon bin Mokhtar
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang

Yang Setia Pengarah-Pengarah Bahagian

Yang Setia Pengarah-Pengarah Negeri

Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang sudi menjemput saya dan seterusnya memberikan penghormatan kepada saya untuk merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Inovasi Tahun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat berbesar hati atas kesudian penganjur memilih Pulau Pinang sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Inovasi Tahun 2018.

Saya percaya penganjuran Sambutan Hari Inovasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk tahun 2018 dengan tema “Inovasi Pemacu Pemodenan Jabatan” dan juga tahun-tahun sebelum ini membuktikan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk terus membudayakan inovasi dan kecemerlangan bagi meningkatkan kecekapan dalam tugas “core business” iaitu pemadaman dan penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Inovasi pada hari ini akan menjadi penanda aras baru global dan sudah pasti menuntut kepada keupayaan penciptaan yang bukan sahaja bersifat baharu, unik dan bermanfaat tetapi juga mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat. Sambutan inovasi ini memanifestasikan tahap daya fikir, kreativiti dan inovasi yang tinggi. Saya amat berharap kebolehan dan keupayaan ini dapat terus dibudayakan dan menjadi satu norma dalam menjalankan tugas harian kita semua.

Idea dan pendekatan yang lebih cepat dan mesra dalam memberi respon dan menangani apa jua keadaan yang dihadapi sangat diperlukan bagi mengisi kehendak dan ekspektasi masyarakat yang tinggi terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Justeru itu, idea-idea yang diketengahkan dalam pertandingan ini tidak hanya sekadar dijadikan bahan pertandingan atau medium perkongsian malah wajar dipertimbangkan untuk digunapakai oleh Jabatan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan, imej dan kredibiliti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terhadap orang awam dan stakeholder.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga amat mengalu-alukan pembudayaan inovasi ini yang saya sifatkan sebagai sangat signifikan kerana inovasi boleh berbentuk produk, perkhidmatan, proses atau teknologi. Inovasi yang dihasilkan mempunyai nilai tambah, berupaya meningkatkan mutu perkhidmatan yang mana boleh dihasilkan dengan segera, berimpak tinggi dan faedahnya dirasai sendiri oleh rakyat dan dengan kos yang rendah.

Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan Sambutan Hari Inovasi 2018. Tahniah juga kepada semua bakal penerima hadiah anugerah inovasi yang dipertandingkan. Semoga usaha-usaha yang dilaksanakan dapat memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terus bergerak pantas dan berfungsi dengan berkesan bagi membolehkan masyarakat mendapat perkhidmatan yang terbaik, sekali gus memastikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia terus relevan.

Saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Inovasi Tahun 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang