MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT SUKAN MALAYSIA XIX, PERAK 2018

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT SUKAN MALAYSIA XIX, PERAK 2018

31 OKTOBER 2018,
ST GILES WEMBLEY

Selamat petang dan salam sejahtera.

Pertama sekali, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua atlet terutamanya pemenang pingat Sukan Malaysia Ke-19, Perak 2018! Terima kasih juga kepada jurulatih, pengurus pasukan, pegawai-pegawai sukan, persatuan-persatuan sukan dan ibubapa kerana telah turut memainkan peranan yang penting dalam kejayaan para atlet yang diraih.

Di SUKMA Ke-18 di Sarawak pada tahun 2016, Kontinjen Pulau Pinang telah meraih sebanyak 26 butir pingat emas, 12 butir pingat perak dan 29 butir pingat gangsa. Melalui pungutan ini, Kontinjen Pulau Pinang telah berjaya memperbaiki kedudukan dan berada di tempat yang ke-6 berbanding semasa di Sukan Malaysia Ke-17, Perlis 2014, di mana kita menduduki tempat yang ke-7.

Pada SUKMA Perak 2018, Kontinjen Pulau Pinang telah mancatatkan kejayaan yang membanggakan dengan meraih 32 butir pingat Emas, 30 butir pingat Perak dan 30 butir pingat Gangsa. Pencapaian ini meletakkan Kontinjen negeri di tangga yang ke-7 di antara 15 kontinjen yang turut bertanding.

Sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada para atlet yang berjaya menjulang pingat, insentif kemenangan yang berbentuk kewangan telahpun dikaji semula.

Insentif Pungutan Pingat Sukan Malaysia Ke-19 Perak 2018 kepada atlet-atlet Pulau Pinang adalah seperti berikut:

Insentif bagi acara peseorangan adalah RM4,000.00 [empat ribu ringgit] bagi setiap pingat emas, RM2,500.00 [dua ribu lima ratus ringgit] bagi setiap pingat perak dan RM1,500.00 [satu ribu lima ratus ringgit] bagi setiap pingat gangsa.

Untuk acara beregu, insentif bagi setiap atlet adalah seperti berikut:

RM2,000.00 [dua ribu ringgit] bagi pingat emas, RM1,250.00 [satu ribu dua ratus lima puluh ringgit] bagi pingat perak dan RM 750.00 [tujuh ratus lima puluh ringgit] bagi pingat gangsa.

Untuk kategori berpasukan seramai tiga hingga lima atlet, insentif bagi setiap atlet adalah RM1,200.00 [satu ribu dua ratus ringgit] bagi pingat emas, RM900.00 [sembilan ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM700.00 [tujuh ratus ringgit] bagi pingat gangsa.

Bagi kategori berpasukan lebih daripada lima atlet, insentif bagi setiap atlet adalah RM700.00 [tujuh ratus ringgit] bagi pingat emas, RM500.00 [lima ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM300.00 [tiga ratus ringgit] bagi pingat gangsa.

Insentif kewangan bagi persatuan adalah RM300 [tiga ratus ringgit] bagi pingat emas, RM200 [dua ratus ringgit] bagi pingat perak dan RM100 [dua ratus ringgit] bagi pingat gangsa.

Untuk para jurulatih, insentif kewangan adalah RM500 [lima ratus ringgit] bagi pingat emas, RM250 [dua ratus lima puluh ringgit] bagi pingat perak dan RM150 [satu ratus lima puluh ringgit] bagi pingat gangsa.

Atlet yang memecah Rekod Kebangsaan akan diberi insentif kewangan sebanyak RM1,000 dan RM500 jika mencipta rekod Sukan Malaysia.

Pada malam ini, jumlah insentif kewangan yang akan diberikan adalah sebanyak RM309, 600.00 [Tiga Ratus Sembilan Ribu Enam Ratus Ringgit].

Walaupun insentif kewangan yang diberikan boleh sedikit sebanyak memberikan dorongan kepada para atlet untuk berusaha dengan gigih, namun, ianya tidak dapat dibandingkan dengan saat yang membanggakan apabila mereka berdiri atas podium kemenangan. Saya berharap agar atlet-atlet yang cemerlang ini dapat menjadi satu penanda aras dan inspirasi, bahkan dola bagi atlet-atlet muda yang baru mula berkecimpung dalam bidang sukan.

Para atlet yang disayangi,

Padamu seluruh Pulau Pinang menaruh harapan untuk nama Negeri Pulau Pinang dimartabatkan sebagai ”Power House” sukan di Malaysia suatu hari nanti.

Saya yakin bahawa dengan dedikasi, semangat kental, dan usaha untuk mencapai kejayaan yang unggul, Kontinjen Pulau Pinang mampu sekali lagi merasai Zaman Kegemilangan sukan seperti di zaman 80an dan 90an.

Kami semua sebagai anak Pulau Pinang mampu membuktikan bahawa slogan ”Penang Leads!” bpleh menjadi realiti!

Uooka!!! Everyone Fights, No One Quits! [the SUKMA 2018 cheer for Penang]

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang