U UCAPAN PENGGULUNGAN YAB KETUA MENTERI TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

 UCAPAN PENGGULUNGAN YAB KETUA MENTERI TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA

DEWAN UNDANGAN NEGERI KEEMPAT BELAS

16 NOVEMBER 2018

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

PENGENALAN

1. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Ucapan Belanjawan 2019, Negeri Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Ke-14 ini.

2. Hari ini genapnya 191 hari Kerajaan Pakatan Harapan menerajui Malaysia setelah kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu. Jelaslah, rakyat Malaysia amnya dan rakyat Pulau Pinang khususnya telah memberi mandat dengan harapan yang amat besar kepada Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik.

3. Bagi Kerajaan Negeri, harapan rakyat perlulah dijunjung tinggi dengan memastikan kesemua 68 janji dalam Manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang” (I Love Penang) dapat dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun ini. Pelaksanaannya kelak akan diselaraskan dengan rangka kerja Visi Penang2030 yang akan menjadi garis panduan kepada Kerajaan Negeri dalam mentadbir negeri yang tercinta ini.

4. Saya dengan ini menyeru komitmen yang tinggi serta usaha yang gigih dari barisan Yang Berhormat EXCO Kerajaan Negeri serta Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri untuk sama-sama mendokong hasrat Kerajaan Negeri. Inilah masanya untuk kita membalas kepercayaan dan penghormatan yang telah diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan.

URUS TADBIR KERAJAAN NEGERI

Visi Penang2030

5. Visi Penang2030 adalah merupakan panduan dan halatuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ia bertujuan untuk memastikan semua golongan masyarakat dan sektor pembangunan tidak terlepas atau tercicir dari arus pembangunan.

6. Visi Penang2030 akan memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar. Empat (4) teras utama dalam visi tersebut akan dijadikan panduan bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan di bahagian Pulau mahupun Seberang Perai.

7. Sejak tahun 2010, Kerajaan Negeri telah melancarkan inisiatif Cleaner, Greener Penang dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang hijau dan bersih. Untuk menjayakan inisiatif ini, usaha berterusan diperlukan sehingga ia menjadi gaya hidup rakyat supaya lebih prihatin terhadap alam sekitar. Perkara ini akan diberikan penekanan dalam Visi Penang2030.

8. Demi mencapai keberkesanan dalam pengurusan dan penggunaan sumber, teknologi memainkan peranan yang amat penting. Oleh itu, peralihan negeri ini ke arah negeri pintar juga haruslah diutamakan. Selaras dengan Pelan Transformasi Digital Pulau Pinang yang sedang diusahakan, Kerajaan Negeri akan memastikan peralihan ini berjalan dengan lancar termasuk mewujudkan satu ekosistem yang kondusif untuk peralihan digital ini.

9. Saya berhasrat untuk melihat semua perancangan yang telah dan akan dirangka di bawah Visi Penang2030 ini dapat direalisasikan dan bukan sekadar syor di atas kertas sahaja.

Manifesto ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ (I Love Penang)

10. Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menunaikan 68 janji pilihan raya dalam Manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang”. Manifesto yang telah dijanjikan merangkumi aspek-aspek seperti penambahbaikan pentadbiran Kerajaan, perumahan, keusahawanan, kemudahan asas dan infrastruktur, Negeri Hijau, kebajikan dan lain-lain lagi.

11. Sehingga kini, sebanyak 37 manifesto ini telahpun berjaya dicapai. Sebahagian lagi manifesto sedang dilaksanakan dan ada juga yang masih dalam peringkat perancangan. Sebagai contoh, dalam penambahbaikan pentadbiran Kerajaan, negeri ini melakar sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang akan melaksanakan pengehadan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua (2) penggal sahaja. Untuk tujuan ini, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018 akan dibentangkan dan diluluskan pada sidang DUN ini.

12. Dalam aspek perumahan pula, sasaran untuk membina 75,362 unit rumah mampu milik kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana telahpun dicapai dengan jumlah 97,242 unit telah siap, sedang dan akan dibina dalam tempoh terdekat. Namun, Kerajaan Negeri tidak akan berhenti setakat ini sahaja memandangkan permintaan untuk rumah mampu milik adalah tinggi. Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk membina lebih banyak lagi rumah mampu milik di negeri ini.

13. Dalam aspek keusahawanan pula, Kerajaan Negeri telah menepati manifesto untuk mewujudkan Tabung Benih Industri 4.0 (i4.0) Pulau Pinang dengan dana sebanyak RM4 juta untuk membantu technopreneur muda. Selain itu, untuk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (SME), Pusat SMART (Small and Medium Enterprises Market Advisory Resource and Training Centre) telahpun direalisasikan yang menyediakan tapak sewa bersubsidi di Bayan Lepas serta Taman Perindustrian SME di Batu Kawan.

14. Untuk memastikan semua manifesto ini dicapai, saya dan barisan Yang Berhormat EXCO Kerajaan Negeri akan terus komited melaksanakan tugas dengan kerjasama dari Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor swasta.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PELABURAN

15. Dalam sektor perindustrian, Pulau Pinang mencatatkan rekod pelaburan yang memberangsangkan bagi tahun 2018. Bagi separuh tahun pertama 2018, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.98 bilion. Daripada jumlah ini, pelaburan asing menyumbang sebanyak RM716 juta, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM1.27 bilion. Kerajaan Negeri berharap agar ekonomi dunia bertambah baik pada tahun 2019 dan sekaligus melonjakkan kembali jumlah pelaburan masuk ke negeri ini.

16. Fokus utama strategi promosi pelaburan termasuk mengenalpasti pelaburan baru serta pelaburan semula (reinvestment), terutamanya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk dan pembangunan produk, pembuatan berteknologi tinggi seperti elektrikal dan elektronik, semikonduktor, LED, peralatan perubatan, pembuatan aeroangkasa, pembuatan makanan dan perkhidmatan perniagaan global (GBS). Industri-industri yang mempunyai nilai tambah tinggi (high value added) dan industri intensif pengetahuan (knowledge intensive) akan menjadi tumpuan promosi pelaburan oleh Kerajaan Negeri.

17. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha termasuk pembangunan industri moden yang berteknologi tinggi untuk memastikan Pulau Pinang dapat menerima hasil pertumbuhan Industri 4.0 dan ‘Internet of Things’. Pelabur-pelabur di negeri ini terus menunjukkan keyakinan untuk melabur dan melaksanakan pelaburan semula seperti BBraun, Benchmark, Valeo, Boston Scientific, Bosch, UWC, Japan Lifeline dan BBS Automation pada tahun ini.

Tanah untuk Industri 4.0 (i4.0)

18. Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak memperuntukkan kawasan khusus untuk menempatkan syarikat yang terlibat dengan Industri 4.0. Namun, kebanyakan syarikat yang berada di negeri ini sememangnya terlibat secara langsung dengan Industri 4.0. Untuk menyokong industri ini, Kerajaan Negeri sentiasa serius dalam memastikan penyediaan infrastruktur dari segi jaringan (connectivity) jalur lebar berkelajuan tinggi menggunakan fiber optik.

Langkah-Langkah Keselamatan Di Kawasan Perindustrian

19. Isu keselamatan di kawasan perindustrian juga diberi penekanan dalam usaha mengekalkan minat pelaburan di negeri ini. Justeru, kerjasama di antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan akan dipertingkatkan. Antara langkah-langkah yang telah diambil adalah rondaan Polis yang lebih kerap di kawasan perindustrian termasuk cadangan membina pondok Polis di Taman Perindustrian Batu Kawan dan Penang Science Park.

PENGANGKUTAN

Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

20. Pembangunan mampan sesebuah negeri bergantung kepada sesuatu pelan pengangkutan yang sistematik dan realistik. Ia memberi impak besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi, liveability dan sustainability sebuah bandar. Pelan pengangkutan sedemikian bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting lagi pelan seperti itu perlu reliable, sustainable dan feasible. Pembangunan rangkaian pengangkutan awam bersepadu dan lebuhraya akan meningkatkan aksesibiliti serta mengurangkan kesesakan lalu lintas. Ianya akan memberi keselesaan kepada rakyat serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Justeru, Kerajaan Negeri amat komited untuk melaksanakan projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Kerajaan Negeri percaya, projek-projek ini mampu mengubah landskap pengangkutan sedia ada serta mengurangkan kesesakan lalulintas yang saban hari menyeksa rakyat negeri ini.

21. Kerajaan Negeri memahami kebimbangan YB ADUN Kebun Bunga dan rakyat berkenaan Projek Lebuhraya Bukit Kukus dan secara tidak langsung mengkaitkan kegusaran tersebut dengan pelaksanaan projek-projek di bawah PTMP khususnya Pan Island Link (PIL). Sebagai makluman, Kerajaan Negeri akan memastikan undang-undang sedia ada dipatuhi dalam pelaksanaan projek-projek ini. Ini termasuk pematuhan terhadap Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172) yang mewajibkan penyediaan Social Impact Assessment (SIA) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling yang mewajibkan Environmental Impact Assessment (EIA). Justeru, Kerajaan Negeri telah melantik Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memantau mutu kerja pihak kontraktor. Kerajaan Negeri juga tidak akan bersikap lepas tangan dan akan memastikan semua langkah-langkah mitigasi dilaksanakan untuk memastikan projek berjalan lancar dan selamat. Dalam hal ini, tragedi tanah runtuh di Lebuhraya Bukit Kukus benar-benar memberi pengajaran kepada Kerajaan Negeri dalam aspek keselamatan projek.

22. Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB ADUN Bukit Tambun kerana menyokong penuh pelaksanaan PTMP dan menggesa supaya ianya dipercepatkan. Kerajaan Negeri kini giat berunding dengan semua agensi dan jabatan yang berkaitan untuk mendapatkan kelulusan pelaksanaan dengan kadar segera.

Penang South Reclamation (PSR)

23. Melalui Projek Penang South Reclamation (PSR), dijangkakan pelaburan dalam bidang baharu akan meningkat dan dapat merealisasikan impian untuk rakyat hidup di dalam persekitaran yang bersih, hijau dan selamat. Peluang pekerjaan baru juga akan terbuka luas untuk rakyat. Namun begitu, Kerajaan Negeri amat memahami kegusaran komuniti nelayan mengenai kesan pelaksanaan projek ini terhadap mata pencarian mereka seperti yang dibangkitkan oleh YB Permatang Pasir. Perlu difahami, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mempertingkatkan mutu hidup komuniti nelayan melalui projek ini. Pelbagai faedah dan bantuan akan diberikan kepada komuniti nelayan dan rakyat tempatan termasuk peluang menceburi bidang-bidang ekonomi yang baru seperti akuakultur, perikanan laut dalam, perikanan rekreasi dan lain-lain lagi.

Keberkesanan Sistem Pengangkutan Awam

24. Seperti yang telah diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2019, Kerajaan Negeri komited untuk terus melaksanakan perkhidmatan bas percuma Congestion Alleviation Transport (CAT) pada tahun 2019 dan tahun-tahun berikutnya. YB ADUN Bertam telah menyatakan kebimbangan beliau semasa sesi perbahasan akan penerimaan dan jumlah penumpang bas CAT yang kurang memuaskan. Untuk makluman, perkhidmatan CAT masih belum matang memandangkan perhidmatan ini baru sahaja dilancarkan pada bulan April 2018 dan dilaksanakan secara berperingkat. Kerajaan Negeri masih lagi mengkaji tahap pencapaian perkhidmatan ini dan percaya bahawa ianya masih boleh dipertingkatkan. Setakat ini, laluan CAT Air Itam telah mencatatkan purata jumlah penumpang yang memberangsangkan iaitu kira-kira 212,000 penumpang sebulan, manakala laluan CAT Alma mencatatkan jumlah purata penumpang yang terendah iaitu 3,400 penumpang sebulan.

25. Pemantauan dan penambahbaikan perkhidmatan bas CAT ini akan dibuat dari masa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik dapat diberikan pada masa hadapan. Kerajaan Negeri berharap perkhidmatan CAT akan menjadi pemangkin untuk menyelesaikan masalah first mile dan last mile connectivity agar visi ‘Moving People not Car’ dapat dicapai. Kerajaan Negeri akan mengadakan focus group discussion bersama-sama YB ADUN kawasan bagi meneliti setiap laluan yang mempunyai cadangan penambahbaikan.

26. Mengenai cadangan YB Permatang Berangan, YB Bayan Lepas dan YB Pulau Betong yang memohon agar perkhidmatan bas percuma diperluaskan di kawasan masing-masing, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan perkara ini. Ingin saya jelaskan bahawa pemilihan kawasan bagi melaksanakan perkhidmatan bas percuma CAT adalah mengikut beberapa kriteria seperti kawasan berdensiti tinggi dan padat, kadar kesesakan trafik yang tinggi, kawasan yang perlu dinaik taraf dan tidak mempunyai perkhidmatan bas sebelum ini.

27. Cadangan memperkenalkan kad khas bagi perkhidmatan bas CAT untuk warga tempatan oleh YB Batu Uban akan dipertimbangkan dan dikaji bagi penambahbaikan perkhidmatan bas CAT untuk memberi keselesaan dan keutamaan kepada warga tempatan.

28. Cadangan mewujudkan kawasan Park N Ride oleh YB Bukit Tambun di 2 lokasi iaitu Stesen KTM Nibong Tebal/ C Mart dan Design Village adalah baik dan cadangan ini boleh diperhalusi dengan terperinci.

Sistem Pengangkutan Udara dan Lapangan Terbang

29. Sepertimana yang telah disuarakan oleh Kerajaan Negeri beberapa kali sebelum ini, terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang perlu diperbesar untuk menggandakan kapasitinya termasuk keupayaan pengurusan kargo. Pengurusan kargo yang produktif amat diperlukan selaras dengan keperluan logistik sektor perindustrian di negeri ini. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berfungsi sebagai hub and spoke network di mana ia berdekatan dengan zon perindustrian dan mempunyai aksesibiliti ke North Butterworth Container Terminal (NBCT) dengan rangkaian jalanraya yang baik melalui Jambatan Pertama dan Jambatan Kedua serta Electrified Double Track (EDT). Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri akan terus berhubung dengan Kementerian Pengangkutan berkenaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

30. Sebagaimana yang telah saya umumkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 sebelum ini, projek pembesaran ini Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ini hanya mampu menanggung kapasiti penumpang dan kargo untuk tempoh 20-30 tahun akan datang sahaja. Bagi keperluan lapangan terbang selepas tahun 2050, Kerajaan Negeri telah mencadangkan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baru iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara di atas tanah tebus guna di Batu Maung yang berdekatan dengan Pulau Rimau. Lokasi ini dipilih berikutan ianya berdekatan dengan zon perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan serta berada dalam lokaliti yang sama dengan lapangan terbang sedia ada. Tambahan pula, semua infrastruktur dan jaringan jalan raya telahpun tersedia. Namun begitu, cadangan ini masih dalam peringkat perancangan dan perlu melalui pelbagai proses seperti Kajian Kebolehlaksanaan, kelulusan dari Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) untuk tebus guna laut, kelulusan Kajian EIA dan sumber pembiayaan projek. Keperluan untuk mewujudkan lapangan terbang baru ini adalah begitu kritikal dan bertujuan untuk menjaga kepentingan Pulau Pinang sebagai pintu masuk utama pengangkutan udara bagi wilayah utara Malaysia. Selain itu, limpahan ekonomi yang dibawa melalui kewujudan lapangan terbang adalah terlalu besar dan ianya perlu dikekalkan.

Perkhidmatan Feri, Water Taxi dan Terminal Raja Tun Uda

31. Perkhidmatan feri Pulau Pinang kini dioperasikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (PMB). Syarikat tersebut telah melaksanakan beberapa penambahbaikan termasuk mewujudkan sistem kaunter tiket yang lebih teratur. Dalam masa yang sama, pihak PMB bercadang untuk memasang Passenger Information System (PIS) bagi memudahkan penumpang mengetahui masa ketibaan dan pelepasan feri.

32. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah baik perkhidmatan feri yang menjadi salah satu pengangkutan awam utama bagi penduduk di negeri ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan water taxi. Rancangan untuk mewujudkan perkhidmatan water taxi merupakan salah satu cadangan yang terkandung dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). Namun begitu, beberapa kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan serta permintaan terhadap perkhidmatan ini sebelum ianya dapat dilaksanakan.

33. Bagi cadangan YB Penaga untuk memansuhkan tambang feri motosikal dan penumpang, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan perkara ini. Sebaliknya, Kerajaan Negeri berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan Persekutuan yang telah memansuhkan tol motosikal di kedua-dua Jambatan Pulau Pinang melalui Belanjawan Negara 2019 baru-baru ini.

34. Penaiktarafan Terminal Feri Pengkalan Raja Tun Uda juga telah mendapat perhatian berikutan siapnya Penang Sentral dan akan mula beroperasi pada 22 November 2018 ini. Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut dan akan meneliti cadangan penaiktarafan Pengkalan Raja Tun Uda demi keselesaan penumpang. YB Bukit Tambun turut mencadangkan, jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dinaiktaraf untuk penggunaan kemudahan perkhidmatan water taxi pada masa hadapan. Kerajaan Negeri mengambil maklum akan cadangan yang bernas ini dan akan mengkaji kebolehlaksanaannya.

35. Sebagai sebuah negeri kecil tetapi besar peranannya di utara Malaysia, Pulau Pinang mempunyai pelbagai mod perkhidmatan pengangkutan. YB Kebun Bunga mencadangkan agar ketiga-tiga ‘link’ yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian Pulau iaitu Jambatan Pertama, Jambatan Kedua dan Perkhidmatan Feri disatukan dan diuruskan oleh satu organisasi sahaja. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan ini dan akan cuba meneliti kebolehlaksanaannya termasuk keperluan mendapatkan persetujuan daripada Kerajaan Persekutuan. Secara kesimpulannya, pelaksanaan PTMP merupakan perancangan jangka panjang oleh pihak Kerajaan Negeri bagi mengintegrasikan kesemua ‘link’ penghubung di Pulau Pinang supaya satu sistem pengangkutan yang mampan dan tersusun dapat direalisasikan.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

HAL EHWAL TANAH

Pencerobohan Tanah Kerajaan

36. Berhubung isu pencerobohan tanah-tanah Kerajaan, tindakan tegas akan diambil terhadap penceroboh tertakluk kepada Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965. Penguatkuasaan akan dibuat secara bersepadu dengan melibatkan jabatan/ agensi lain seperti PDRM, MBPP, MPSP, JKR, JPS, BKSA, PBA, TNB, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Tiada kompromi diberikan kepada mana-mana penceroboh tanah Kerajaan termasuklah rizab pantai, rizab sungai mahupun rizab jalan. Tiada isu kurangnya penyelarasan di peringkat jabatan/agensi kerana semua tindakan penguatkuasaan yang dibuat adalah mengikut akta/ enakmen yang merupakan punca kuasa utama untuk membolehkan penguatkuasaan dilakukan.

37. Tindakan penguatkuasaan ke atas pencerobohan tanahKerajaan yang dibuat mulai 1 Januari 2018 sehingga 15 Oktober 2018 ialah sebanyak 53 operasi. Masih terdapat beberapa operasi yang telah dirancang bagi baki tahun ini.

Isu Pemilikan Lot 1999, Kampung Kovil, Bertam

38. Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapat rumah-rumah penduduk yang dibina di atas tanah milik orang lain. Bagi kes sedemikian, Kerajaan Negeri mengambil beberapa inisiatif membantu golongan ini melalui kaedah sewa/ beli rumah Kerajaan Negeri, menyediakan kemudahan dan peruntukan bagi membina baru dan membaiki rumah di bawah Program Pembangunan Desa, tawaran Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dan membantu untuk memiliki seunit rumah kos rendah di bawah Dasar Setinggan.

39. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB Bertam, hasil semakan Pentadbir Tanah, Daerah Seberang Perai Utara mendapati, Lot 1999, Mukim 6 (GRN70518), Bertam adalah berstatus hak milik persendirian iaitu Bertam Consolidated Rubber Co. Limited. Tambahan pula, cukai tanah dibayar sehingga tahun semasa. Oleh yang demikian, sebarang pemajuan atau perancangan di atas tapak tersebut perlulah dikemukakan oleh tuan tanah berdaftar terlebih dahulu.

KOMUNIKASI

40. Jawatankuasa MMK Komunikasi telah bermesyuarat buat kali pertamanya pada 8 Oktober 2018 dan Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha penyaluran maklumat polisi-polisi dan program-program rasmi Kerajaan Negeri kepada umum terutamanya dalam membawa Negeri Pulau Pinang ke arah mencapai Visi Penang2030. Pendekatan ini secara tidak langsung dapat merapatkan jurang informasi di antara pihak Kerajaan dan masyarakat umum secara menyeluruh.

41. Bagi menjawab YB Bukit Tambun yang mencadangkan agar penerbitan Buletin Mutiara dihentikan cetakan (hard copy) dan hanya memfokuskan kepada e-media atau edisi digital, perkara tersebut umumnya pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa MMK Komunikasi sebelum ini.

42. Sebagai makluman, selain cetakan, Buletin Mutiara kini memiliki laman Facebook dan juga platform berita online, buletinmutara.com. Adalah dimaklumkan bahawa platform-platform berkaitan mempunyai pembacanya yang tersendiri termasuk cetakan berbentuk surat khabar.

43. Bagi edisi cetakan, ia masih diperlukan terutamanya dalam memenuhi keperluan warga-warga emas khususnya, kawasan-kawasan pedalaman dan juga pihak-pihak sekolah yang membuat permintaan khas untuk memiliki naskah surat khabar sebagai rujukan lanjut. Malah, bagi pengisian isi kandungan, edisi cetakan dan digital juga adalah tidak 100 peratus sama yang mana banyak rencana bagi liputan khas dan wawancara adalah eksklusif untuk edisi cetakan sahaja.

HASIL

44. Meskipun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber hasil yang baru tetapi Kerajaan Negeri akan memberi fokus kepada kutipan tunggakan cukai tanah, kutipan hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil. Disamping itu, Kerajaan Negeri juga akan menggalakkan pelaksanaan projek secara Private Funding Initiatives (PFI) yang boleh mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri. Antara usaha dan perancangan yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hasil dan mengurangkan tunggakan hasil adalah melalui beberapa pendekatan seperti berikut:

i. Penguatkuasaan undang-undang bagi mengurangkan tunggakan hasil semasa oleh semua Jabatan/ Agensi Negeri;

ii. Mewujudkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) bagi menyelesaikan isu tunggakan cukai tanah dan memberi fokus kepada hakmilik tanah yang mempunyai tunggakan yang tinggi;

iii. Menghantar surat peringatan mulai 1 Jun setiap tahun kepada pemilik-pemilik tanah yang masih belum membuat bayaran cukai tanah dan mempunyai tunggakan cukai tanah;

iv. Menyediakan risalah promosi untuk bayaran cukai tanah terutamanya perkhidmatan bayaran cukai tanah atas talian (online) dan sentiasa membuat semakan bayaran cukai tanah secara atas talian (online) dari semasa ke semasa;

v. Mengeluarkan Notis Peringatan Bayaran Tunggakan Cukai Tanah selepas 31 Mei setiap tahun ke atas tuan-tuan tanah yang masih belum menjelaskan bayaran cukai tanah;

vi. Memantau pengeluaran Notis 6A oleh Pejabat Daerah dan Tanah yang diberikan kepada pembayar yang enggan membayar cukai tanah. Notis 6A tersebut akan dikeluarkan bagi proses perampasan tanah oleh Kerajaan Negeri kepada tuan tanah yang ingkar untuk membuat bayaran;

vii. Memperkenalkan kaedah bayaran sewa dan caj penyelenggaraan bangunan secara atas talian (online) bermula pada Julai 2018 yang diuruskan oleh Bahagian Perumahan; dan

viii. Kerajaan Negeri juga telah melakukan beberapa pelaburan dari lebihan kewangan Kerajaan Negeri melalui pembelian saham, simpanan tetap dan pelaburan oleh pihak pengurusan dana. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memilih pelaburan yang menjamin pelaburan pokok yang tinggi serta berisiko rendah. Penelitian terhadap perbandingan kadar faedah tertinggi dari institusi kewangan akan dibuat sebelum sesuatu pelaburan diteruskan. Pemantauan sentiasa dibuat ke atas saham-saham syarikat tersiar harga bagi memastikan pulangan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.

45. Salah satu kaedah yang boleh meningkatkan sumber pendapatan Kerajaan Negeri adalah dengan menaikkan kadar cukai tanah sepertimana yang dilaksanakan oleh negeri-negeri lain. Namun setakat ini, Kerajaan Negeri masih belum berhasrat untuk meningkatkan kadar cukai tanah kerana prinsip dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan agar tidak membebankan rakyat Negeri Pulau Pinang.

46. Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa hasil yang diperolehi oleh PBT akan berkurangan disebabkan oleh pengurangan cukai pintu ini. Sehubungan itu, bagi menampung kekurangan hasil tersebut Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai sebanyak RM11.9 juta pada tahun 2017 dan sebanyak RM15 juta pada tahun 2018. Kerajaan Negeri akan terus membantu pihak PBT dan sekiranya terdapat keperluan, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan peruntukan tambahan pada tahun 2019 nanti.

47. Kerajaan Negeri mengakui bahawa punca utama pengurangan defisit pada anggaran Belanjawan Tahun 2019 adalah kerana tiada kemudahan pinjaman disediakan kepada agensi Negeri seperti tahun-tahun sebelum ini. Walau bagaimanapun, ketiadaan kemudahan pinjaman ini tidak akan menjejaskan kebajikan penjawat awam di agensi-agensi negeri terlibat kerana tujuan pinjaman sebelum ini adalah bagi projek-projek pembangunan dan bukannya untuk menampung belanja mengurus agensi berkenaan.

48. Pendapatan Kerajaan Negeri daripada tahun 2013 tidak menunjukkan trend penurunan yang tetap di mana terdapat penurunan pada tahun-tahun tertentu manakala wujud juga peningkatan pada tahun-tahun lain. Pada tahun 2013, pendapatan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM833.71 juta dan menurun kepada RM799.71 juta pada tahun 2014. Namun begitu, pendapatan meningkat kepada RM897.66 juta pada tahun 2015 dan RM1.03 bilion pada tahun 2016. Pada tahun 2017 pula, ia menurun kepada RM757.01 juta. Bagi tahun 2018, jumlah pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 14 November 2018 telah mencecah RM634.81 juta berbanding sasaran sebanyak RM503.76 juta yang dianggarkan pada tahun ini. Ini bermakna setakat ini, hasil sebenar telahpun melebihi sasaran sebanyak RM131.05 juta atau 126.01 peratus. Bagi tahun 2019 pula, Kerajaan Negeri menganggarkan jumlah hasil yang akan diterima adalah RM505.5 juta tersebut hanyalah anggaran dan seperti trend tahun-tahun sebelumnya, kutipan hasil pada hujung tahun kebiasaannya akan melebihi sasaran yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatkan hasil melalui penjimatan dan beberapa strategi bagi memastikan kutipan hasil adalah melebihi perbelanjaan serta mencapai lebihan belanjawan.

49. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas untuk mengenalpasti sumber hasil yang baru, selain meneliti secara terperinci kaedah memaksimakan hasil dari sumber sedia ada.

Strategi Memaksima Hasil Dari Tanah-Tanah/ Projek

50. Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa strategi untuk memaksimakan hasil negeri melalui pengurusan tanah dengan kaedah penjualan tanah bagi tujuan projek-projek pemangkin pada saiz yang kecil, penjualan tanah secara request for proposal, memberi sewa jangka pendek bagi tanah-tanah kosong milik PDC dan CMI untuk aktiviti ekonomi, menyegerakan pembangunan dengan projek yang menjana pulangan tinggi serta menyediakan infrastruktur asas supaya nilai tanah terus meningkat.

51. Kerajaan Negeri juga telah memikirkan strategi yang sesuai untuk memberi manfaat kepada semua pihak iaitu pelaksanaan projek melalui konsep 4P (Public, Private, People & Profesional Partnership). Konsep ini telah berjaya dilaksanakan dan telah membawa kejayaan dalam pelaksanan projek pembangunan serta sosial seperti SPICE, The Habitat, Penang Digital Library (PDL), Karpal Singh Learning Centre, ACAT Center, Penang Science Cluster, Tech Dome dan lain-lain lagi.

52. Kerajaan Negeri juga telah meluluskan projek-projek pembangunan di atas tanah Kerajaan melalui CMI dan PDC yang diberi tanggungjawab untuk bekerjasama dengan pihak swasta (Private Funding Initiatives) dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan perumahan, sukan, sosial, pelancongan dan warisan. Projek-projek ini telah membantu meningkatkan hasil Kerajaan Negeri dengan memaksimakan penggunaan aset Kerajaan Negeri seperti bangunan dan tanah sedia ada.

53. Kerajaan Negeri juga telah meningkatkan hasil melalui pelupusan dan pajakan tanah (pro development) memandangkan kekangan kewangan dari Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, projek-projek yang diluluskan untuk pembangunan adalah perlu mematuhi garis panduan dan undang-undang sedia ada tanpa kompromi.

Peruntukan dan Pelaksanaan Projek-projek Persekutuan

54. Dalam suasana politik yang baru, Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan secara berterusan untuk membiayai projek-projek pembangunan mega dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat negeri ini. Ini boleh mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dan sekaligus dapat mengimbangi jumlah hasil yang sememangnya terhad. Kerajaan Negeri akan sentiasa mengintai peluang untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai sektor.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PROJEK CMI

Island Medical City

55. Dalam memantapkan industri pelancongan perubatan, Kerajaan Negeri berpandangan projek pembangunan 'Island Medical City' adalah berpotensi untuk menjadi salah satu produk pelancongan kesihatan yang dapat menyumbang kepada perkembangan sektor perubatan dan ekonomi yang lebih sihat. Ini kerana berdasarkan laporan dalam New York Times, kelangsungan hidup dengan kemudahan dan kemajuan teknologi perubatan menyumbang kepada kehidupan yang lebih berkualiti dan mampan.

56. Cadangan pembangunan bagi projek 'Island Medical City' dengan anggaran kos pembangunan berjumlah RM1.56 bilion melibatkan tiga komponen iaitu bangunan hospital, bangunan suite perubatan dan bangunan hotel untuk pelancongan perubatan. Satu majlis pecah tanah akan diadakan dalam masa terdekat dan tempoh pembinaan adalah selama 26 bulan.

Jalinan Kerjasama Dengan UN Habitat

57. Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM1 juta untuk pelaksanaan pembangunan berteraskan Sustainable Development Goals (SDG) dan New Urban Agenda (NUA) di Pulau Pinang dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan UN Habitat. Peruntukan ini tidak akan diberikan secara sekaligus tetapi secara berperingkat berdasarkan program dan projek yang dilaksanakan.

HOTEL BUKIT BENDERA

58. Berkaitan pengumuman saya mengenai cadangan pembinaan dua buah hotel di puncak Bukit Bendera ketika menghadiri Sesi Dialog dan Majlis Makan Tengahari Tahunan anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) pada 8 November 2018, ingin saya tegaskan bahawa cadangan tersebut masih di peringkat perancangan awal.

59. Sebenarnya cadangan pembinaan hotel dengan 200 bilik berhampiran Banglo Convalescent itu telah dibuat pada tahun 2016 lagi. Ia dibuat susulan permintaan dan cadangan daripada pelawat-pelawat tempatan dan luar negara yang berhasrat untuk tinggal dan bermalam di situ bagi menikmati keindahan kawasan tersebut. Konsep dan reka bentuk ini akan dikaji semula dengan teliti untuk proses yang seterusnya.

60. Sementara itu, saya telah mengarahkan Perbadanan Bukit Bendera untuk mengkaji dan membaik pulih beberapa buah aset Kerajaan Negeri termasuk membaik pulih Banglo Convalescent dan membangunkan semula bangunan usung yang dahulunya merupakan asrama pekerja yang terletak di Coolie Line, untuk memberi lebih banyak pilihan penginapan kepada pelawat dan seterusnya menjadi daya tarikan tambahan Bukit Bendera. Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bukit Bendera komited untuk memelihara Bukit Bendera dan segala pembangunan di puncak tersebut pastinya akan mengikut Rancangan Kawasan Khas Bukit Bendera 2016 dan Rancangan Tempatan Bukit Bendera 1998.

KESELAMATAN

61. Secara keseluruhannya, dari 1 Januari hingga 14 November 2018, indeks jenayah di negeri ini mencatatkan sebanyak 4,356 kes berbanding nilai ambang 4,893 kes. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 537 kes atau 11.0 peratus.

62. Bagi jenayah kekerasan, indeks telah mencatatkan sebanyak 790 kes berbanding nilai ambang sebanyak 950 kes. Ini melibatkan penurunan sebanyak 160 kes atau 16.9 peratus. Manakala bagi jenayah harta benda, indeks juga mencatatkan penurunan sebanyak 377 kes atau 9.6 peratus iaitu daripada 3,943 kes kepada 3,566 kes.

63. Penurunan kes-kes jenayah ini disebabkan beberapa faktor seperti tindakan pencegahan jenayah yang berkesan dilakukan seperti menambahkan bilangan anggota polis beruniform (Omnipresent) terutamanya di kawasan-kawasan perumahan dan kawasan tumpuan orang ramai, Rondaan Kereta Peronda (MPV) yang ada di setiap zon, Unit Rondaan Bermotosikal (URB), mengadakan kempen, ceramah, penubuhan Rakan Cops, pendekatan bersama masyarakat (antaranya Polis bersama pelanggan, hebahan media massa dan media cetak). Ini adalah bertujuan untuk menyakinkan 1.8 juta rakyat Pulau Pinang dan hampir 7.2 juta pelancong setiap tahun bahawa Pulau Pinang adalah Bandaraya Selamat dan sesuai untuk dilawati.

Isu Pelarian Rohingya

64. Berhubung isu yang dibangkitkan oleh YB Sungai Dua dan Yang YB Penaga berkaitan isu pelarian Rohingya di Bagan Lebai Tahir, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi keselamatan seperti Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang (MKN JPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIM) serta lain-lain agensi mengambil perhatian yang serius berhubung isu ini.

65. Untuk makluman YB, bagi menangani masalah PATI yang memegang kad UNHCR termasuk pelarian Rohingya ini, satu arahan khusus telah dikeluarkan di peringkat Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2009 iaitu Arahan MKN No. 23 berkaitan Mekanisma Pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin Yang Memegang Kad UNHCR. Arahan ini telah memberikan garis panduan mengenai peranan dan tindakan yang perlu diambil oleh kesemua agensi Kerajaan yang terlibat dalam mengendalikan PATI yang memegang kad UNHCR. Ia menetapkan garis panduan yang jelas kepada Kementerian dan agensi Kerajaan dalam berurusan dengan UNHCR dan memberi dasar yang jelas kepada semua agensi yang terlibat mengenai mekanisme untuk menghalang kemasukan dan mengurangkan jumlah PATI sedia ada.

66. Dalam aspek Dasar Kerajaan, Kerajaan tidak mengiktiraf status ‘Pelarian’ memandangkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol status pelarian 1967. Namun, Kerajaan atas dasar kemanusiaan membenarkan PATI yang memegang kad UNHCR tinggal sementara di negara ini.

67. Dalam isu kebanjiran warga asing Rohingya di Bagan Lebai Tahir ini, agensi keselamatan seperti PDRM, Jabatan Imigresen, MKN JPM serta Pejabat Daerah Seberang Perai Utara akan terus komited melaksanakan pemantauan keselamatan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

LAIN-LAIN ISU

Bangunan DUN Baru

68. Berkenaan cadangan YB Bagan Dalam supaya dimasukkan bajet bagi pembinaan bangunan DUN yang baru dalam Belanjawan 2019, ianya akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri secara serius tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan dan kesesuaian lokasi tapak baru bangunan Dewan Undangan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENUTUP

69. Kejayaan ekonomi dan sosiopolitik Pulau Pinang adalah hasil daripada usaha kolektif semua lapisan rakyat. Kerajaan Negeri akan memastikan inisiatif yang telah dirangka di bawah Visi Penang2030 dan Manifesto “Saya Sayang Pulau Pinang” dapat direalisasikan secepat mungkin untuk kesejahteraan rakyat negeri ini. Kerajaan Negeri akan bekerja keras untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur awam, kemudahan rumah mampu milik dan pengangkutan awam. Kerajaan Negeri juga akan terus memperbanyakkan peluang perniagaan, pekerjaan dan pendidikan dengan memberikan kebebasan untuk setiap orang mencapai potensinya serta melepaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

70. Sesungguhnya muafakat dan kerjasama yang jitu oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat amatlah dihargai dan segala perancangan yang diatur pada masa hadapan perlu dilaksanakan dengan Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang memungkinkan negeri Pulau Pinang mencapai matlamatnya menjadi Negeri Pintar, Hijau dan Berteraskan Keluarga Yang Menginspirasikan Negara.

Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang