MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PENJAJA DAN KOMUNITI PENIAGA TAHUN 2018
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI PENJAJA DAN KOMUNITI PENIAGA TAHUN 2018
PADA 24 NOVEMBER 2018
YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Sing
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Merangkap Pengerusi MMK Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa
Yang Berbahagia Dato' Ar Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Yang Berusaha Ir Addnan bin Razali
Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Yang Berusaha Ahli Majlis - Ahli Majlis
Ketua-ketua Jabatan
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat petang dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga Majlis Bandaraya Pulau Pinang 2018 pada petang yang mulia ini.
Hari ini kita meraikan dan memberi pengiktirafan kepada peniaga-peniaga di negeri ini yang selama ini telah berusaha untuk menyumbang dan memantapkan pembangunan ekonomi setempat. Saya percaya sambutan ini merupakan satu majlis pengiktirafan kepada usaha golongan penjaja dan komuniti peniaga dalam menyahut slogan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat yang menjadi misi utama Kerajaan Negeri bagi menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi pilihan pelabur dan pelancong.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Pulau Pinang mempunyai jenamanya yang tersendiri dalam sektor pelancongan yang mana ia telah memberi limpahan kepada penjaja dan komuniti peniaga di negeri ini. Beberapa pengiktirafan telah diterima dari agensi antarabangsa sejak Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada Mac 2008. Antaranya ialah:
i. George Town diletakan di nombor 4 daripada 10 bandar yang harus dilawati oleh Lonely Planet
ii. Los Angeles Time meletakan George Town di tangga nombor 1 daripada 16 bandar yang harus dilawati
iii. George Town, Penang named as one of "The Ten Best Budget Travel Destinations for 2016" by Forbes
iv. CNN Travel meletakan Pulau PInang sebagai Top 10 Greatest Street Food Cities
v. Huff Post meletakan Pulau PInang sebagai Best Local Delicacies
vi. Time Magazine meletakan Pulau Pinang sebagai Best Street Food in Asia
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Memang tidak dapat dinafikan, industri pelancongan makanan di negeri ini menjadi antara daya tarikan utama kemasukan pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara ke Pulau Pinang. Kebanyakan pelancong yang datang ke sini bukan sahaja untuk melihat keindahan Pulau Pinang tetapi juga untuk menikmati keaslian makanan Pulau Pinang sehingga digelar ‘syurga makanan’ kerana keunikan dan keaslian kepelbagaian variasi makanan di negeri ini.
Secara tidak langsung, penjaja dan komuniti peniaga ini sebenarnya telah menyumbang kepada salah satu sektor ekonomi mikro yang menjana pembangunan ekonomi negeri di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Sejajar dengan pengumuman saya pada 29 Ogos 2018 yang lalu berkaitan Penang2030: A Family Focused, Green and Smart State that Inspires the Nation, Kerajaan Negeri kini sedang berusaha untuk memastikan Pulau Pinang menjadi satu model terbaik kepada negara dan dunia luar.
Untuk itu, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus memberikan tumpuan dan perhatian dalam memastikan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat berada di landasan yang betul. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran baru yang mana ia melibatkan pencemaran, perubahan iklim dunia, peningkatan penduduk dan pembangunan bandar.
Kerajaan Negeri telah mengarahkan pihak PBT negeri supaya mengambil pendekatan agar segala kemudahan dan infrastruktur di bawah tanggungjawab PBT masing-masing dikaji dan dibaik pulih bersesuaian dengan permintaan dan keselesaan kita semua. Antara keutamaan yang diberikan ialah membaiki dan menaiktaraf Kompleks Pasar dan Makanan.
Mengikut rekod, sejumlah 24 Kompleks Pasar dan Makanan telah menjalankan kerja-kerja naiktaraf sejak tahun 2009 hingga 2016. Manakala, sebuah pasar di Batu Feringgi masih dalam proses pembinaan. Bagi tahun 2017 pulak, MBPP merancang untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf di Pasar Lebuh Campbell dan Pasar Jalan Anson. MBPP telah membelanjakan sejumlah hampir RM61 juta bagi tujuan menaiktaraf dan pembinaan baru Kompleks Pasar dan Makanan sejak tahun 2009. Projek-projek ini juga telah dimasukkan elemen Green Building Index (GBI) bagi memastikan konsep bersih dan hijau di negeri ini terus dipelihara.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri akan terus memastikan segala kebajikan para peniaga kecil di negeri ini terus dipelihara. Selain bantuan payung dan kanopi yang diberikan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran lesen bermula dari Januari hingga Disember 2018. Ia diharap dapat membantu meringankan beban para peniaga negeri ini.
Saya juga difahamkan Majlis telah menjalankan aktiviti pengredan premis makanan dan kompleks penjaja yang mana pihak Majlis mensasarkan peningkatan premis makanan memperolehi gred A dan B pada kadar 90 peratus menjelang 2020. Visi ini amat baik dalam meningkatkan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Majlis juga telah menjalankan aktiviti pengredan premis makanan bersama tandas awam bukan milik Majlis sepanjang bulan Ogos hingga Oktober di samping penarafan bintang industri hotel bersama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan. Tugasan yang dijalankan ini amat rumit dan memerlukan kesabaran. Saya juga ingin merakamkan ucapan syabas kepada kakitangan yang terlibat dalam tugasan tersebut.
Sepanjang tempoh lawat periksa oleh kakitangan Majlis, peniaga dan penjaja berlesen yang terlibat dalam aktiviti pengendalian makanan akan dinilai dan diberikan skor pemarkahan mengikut Pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Hasil pemeriksaan yang dijalankan ini, mendapati ramai peniaga dan penjaja telah berusaha untuk menjaga kebersihan premis dan keselamatan makanan. Tahniah kepada anda semua!
Tahniah kepada penjaja dan komuniti peniaga yang akan menerima penganugerahan sebentar lagi. Saya berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan ditingkatkan pada masa akan datang.
Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Sambutan Hari Penjaja dan Komuniti Peniaga Tahun 2018.
Sekian, terima kasih.