PESTA MAKANAN AMAL BATU LANCANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA PESTA MAKANAN AMAL BATU LANCANG

1 DISEMBER 2018, 5.45 PETANG

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Penganjur Pesta Makanan Amal ini, YB Kawasan Batu Lancang Ong Ah Teong dan MGL Industrial & Constructions kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan program yang penuh bermakna ini.

Tema Pesta makanan ini adalah “Charity is Hope” bersamaan dengan “Kerja Amal adalah Harapan”. Ini selari dengan Kerajaan Pakatan Harapan yang juga amat prihatin dan komited dalam menjaga kebajikan rakyat untuk membantu golongan yang memerlukan.

Saya difahamkan bahawa ini adalah kali pertama YB Ong Ah Teong dan MGL menganjurkan pesta makanan amal untuk menolong institusi yang memerlukan. Tetapi mereka juga telah mendapat sambutan yang begitu baik sekali dengan mengutip derma RM230,000.00 setakat ini tanpa mengira kupon tambahan yang dapat dijual pada hari ini.

Tambahan pula, sebanyak 70 gerai-gerai yang terlibat terdiri daripada restoran-restoran dan juga gerai-gerai yang terkenal dalam pesta makanan ini. 16 institusi yang berlainan akan mendapat faedah daripada hasil kutipan hari ini. Contoh-contoh institusi adalah seperti “The Penang Home for the Infirm and the Aged”, “Penang Pure Lotus Cancer Foundation” dan lain-lain.

Institusi-institusi seperti ini memberikan bantuan kepada golongan yang kurang mampu dalam pelbagai aspek supaya mereka dapat teruskan kehidupan harian mereka dengan lebih kurang rasa bimbang dan Harapan yang lebih cerah pada hari yang akan datang.

Seperti yang kita sedia maklum, semua Persatuan Kebajikan memerlukan bantuan untuk beroperasi. Kebanyakan persatuan tidak mendapat perhatian dan sumber kewangan yang mencukupi dari orang awam untuk beroperasi. Dengan mempunyai program seperti ini, kita dapat menyokong persatuan-persatuan tersebut untuk terus menyumbang kepada komuniti terutamanya kepada yang kurang bernasib baik. Jika kita tidak menyokong institusi tersebut maka komuniti tersebut tidak mempunyai tempat bergantung.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kebajikan awam adalah suatu budaya sosial dan juga tanggungjawab sosial yang perlu kita mempelajari. Kita harus secara sukarela mengambil ini sebagai tanggungjawab dan menjadi kebiasaan kepada kita untuk membuat kerja-kerja amal menjaga kebajikan awam. Saya amat berharap bahawa Pesta Makanan Amal ini dapat memberi kesan kepada lebih ramai orang dan juga mendidik generasi yang akan datang untuk teruskan budaya ini.

Dengan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini, saya dapat melihat bahawa memang benar rakyat Pulau Pinang amat baik hati dan prihatin untuk menolong warga-warga yang kurang bernasib baik. Tindakan tuan-tuan dan puan-puan yang murah hati ini akan mendapat pahala yang baik oleh itu tidak sia-sia tindakan ini.

Jangan sesekali kita memandang rendah terhadap semangat perpaduan dan berkerjasama. Contoh yang amat baik dapat dilihat daripada keputusan pilihanraya yang lepas. Tetapi dalam konteks ini, saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan, kita harus mengekalkan perpaduan tidak kira bangsa dan agama untuk berkerjasama dalam melakukan setiap aktiviti dan kerja amal tidak dikecualikan. Keputusan dari perpaduan dan kerjasama pasti akan mengejutkan pada akhirnya.

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada penganjur dan YB kawasan yang telah menjayakan program pada hari ini. Marilah kita bersama-sama mewujudkan perasaan cinta dan penyayang oleh rakyat Pulau Pinang kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang