MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT SUKAN ASIA KE-18 JAKARTA 2018 DAN SUKAN PARA ASIA JAKARTA 2018

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEPADA PEMENANG-PEMENANG PINGAT

SUKAN ASIA KE-18 JAKARTA 2018 DAN SUKAN PARA ASIA JAKARTA 2018

12 DISEMBER 2018
BILIK GERAKAN, TINGKAT 28, KOMTAR

 

YB Soon Lip Chee
EXCO Belia dan Sukan

Encik Federick Tan
Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Wakil-wakil Persatuan Sukan

Para atlet yang diraikan

Para Ibubapa atlet-atlet

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Pada hari ini, kita mengalu-alukan kehadiran atlet Pulau Pinang yang telah mewakili kontinjen Malaysia yang telah berjaya merangkul pingat sempena Kejohanan Sukan Asia Ke-18 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September 2018 dan Kejohanan Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia yang telah berlangsung pada 6 hingga 13 Oktober 2018 baru-baru ini.

Saya dimaklumkan terdapat lapan (8) orang atlet Pulau Pinang yang menyertai Kejohanan Sukan Asia Ke-18 dan telah berjaya menyumbang 3 pingat emas, 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa daripada keseluruhan 7 pingat emas, 13 pingat perak dan 16 pingat gangsa yang telah dimenangi oleh kontinjen negara.

Manakala untuk Kejohanan Sukan Para Asia 2018 pula, dua (2) daripada 7 orang atlet Para Pulau Pinang yang mewakili kontinjen negara telah berjaya memenangi 3 pingat emas, 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa daripada keseluruhan 17 pingat emas, 26 pingat perak dan 25 pingat gangsa.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet Pulau Pinang yang telah mengambil bahagian dan sekaligus telah mencipta kemenangan di sana. Tahniah dan syabas kepada kesemua.

Oleh itu, pada hari ini Kerajaan Negeri sangat berbesar hati untuk menyampaikan insentif kejayaan di bawah Skim Insentif Kemengan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada kesemua atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia amnya dan Pulau Pinang khususnya di kejohanan sukan bertaraf antarabangsa ini.

Insentif ini telah diperkenalkan pada tahun 2014 bertujuan untuk meningkatkan, menggalakkan serta memberi motivasi kepada atlet-atlet Pulau Pinang yang mewakili negara Malaysia di sukan-sukan bertemasya peringkat antarabangsa yang diiktiraf oleh badan induk sukan di Malaysia.

Oleh itu, hari ini sejumlah RM81,200 akan dianugerahkan kepada para pemenangan pingat untuk kedua-dua kejohanan ini. Jumlah besar yang akan dianugerahkan bagi pemenang pingat Sukan Asia Ke-18, Jakarta Palembang 2018 adalah sebanyak RM63,800.00. Manakala jumlah besar yang akan dianugerahkan bagi pemenang pingat Sukan Para Asia, Jakarta 2018 pula adalah sebanyak RM17, 400.00.

Akhir kata, saya berharap kejayaan ini akan menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah dan mencipta kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada atlet-atlet untuk sama-sama memajukan pembangunan sukan negeri ini ke landasan yang lebih tinggi.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang