JAMBOREE BERBASIKAL BUKIT JURU
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
JAMBOREE BERBASIKAL BUKIT JURU
15 Disember 2018
Selamat pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ADUN Bukit Tengah, YB Gooi Hsio Leung bersama-sama dengan Ahli Parlimen Batu Kawan, YB Kasturi Patto, Think City, JKKK dan semua yang terlibat dalam penganjuran acara Jamboree Berbasikal pada pagi ini.
Acara pada pagi ini dikenali sebagai Discover Bukit Juru dan dianjurkan untuk mempromosi kawasan Bukit Juru terutamanya, di samping menikmati persekitaran hijau semula jadi dan kampung-kampung tradisional yang telah dijadikan sebagai destinasi eko-pelancongan di negeri ini. Dianggarkan terdapat lebih 300 orang yang menyertai acara pada pagi ini.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Bukit Juru merupakan destinasi popular di kalangan penduduk tempatan untuk aktiviti mendaki bagi menikmati pemandangan laut, Jambatan Pulau Pinang dan Seberang Perai serta juga berpotensi untuk membangunkan aktiviti berperahu di sepanjang Sungai Juru untuk menikmati hutan bakau dan hidupan liar.
Kawasan hijau di sekitar kawasan berhampiran seperti Bukit Juru, Sungai Juru, perkampungan nelayan, sawah padi dan perkampungan tradisional seperti Kg Sekolah, Kg Kuala Juru, Kg Sungai Semilang dan Kg Bukit Kechil mempunyai keunikan dan daya tarikannya yang tersendiri. Dan semuanya terletak dalam radius 5km dan boleh diterokai dalam sehari oleh pelancong.
Sektor pelancongan sememangnya menjadi pemain industri utama di Pulau Pinang dan saya melihat terdapat banyak tempat di Seberang Perai yang mempunyai potensi besar untuk kita bangunkan dan dipromosi sebagai destinasi eko-pelancongan yang menarik di Pulau Pinang.
Saya difahamkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menjalankan aktiviti pembersihan hutan di hutan rizab Bukit Juru sebagai aktiviti riadah, yang juga dikenali sebagai eko-terapi bagi menggalakkan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan mental dengan menghabiskan masa di hutan dan alam semula jadi. Kawasan ini juga berdekatan dengan destinasi pelancongan lain seperti Pulau Aman dan Pulau Jerejak yang mudah diakses melalui bot dan boleh dibangunkan bersama serta dipromosikan sebagai hab pelancongan atau zon pelancongan.
Kawasan seperti ini di Bukit Juru dan sekitarnya jika dipromosikan dengan betul bersama penyertaan masyarakat setempat pasti akan menarik kedatangan pelancong dan menjadi pilihan destinasi pelancongan kepada mereka yang tinggal di Butterworth dan pulau untuk melakukan aktiviti luar pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan terus mengkaji dan berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan kemudahan asas dan fasiliti seperti tandas awam, pengangkutan awam, laluan basikal dan laluan mendaki untuk menjadikan kawasan ini sebagai suatu destinasi tarikan pelancong. Usaha ini selaras dengan visi Penang2030 yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya saing, ekonomi, penyertaan awam dan pembangunan seimbang untuk mencapai negeri hijau dan pintar.
Akhir kata, semoga acara pada hari ini dapat berjalan lancar dan nikmatilah aktiviti berbasikal anda pada hari ini di Bukit Juru.
Sekian, terima kasih.