MAJLIS PERASMIAN PROGRAM ‘CITY WALK 1.1.19’ SEMPENA ‘CITY DAY 2019’

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI MAJLIS PERASMIAN PROGRAM ‘CITY WALK 1.1.19’ SEMPENA ‘CITY DAY 2019’

1 Januari 2019
Padang Kota Lama

Yang Berbahagia Dato’ Yew Tung Seang
Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ahli-ahli Ahli Parlimen/ADUN

Ahli-ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Ahli-ahli Jawatankuasa Pengelola City Walk 2018

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan

Selamat Pagi dan Selamat Tahun Baru 2019.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan syabas kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana saban tahun tanpa gagal berjaya menganjurkan acara tahunan berjalan kaki pada hari pertama setiap tahun baru ini.

Saya difahamkan ini merupakan acara berjalan kaki tahunan kali ke-7 dan ia sememangnya sangat dinanti-nantikan dan sentiasa mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada rakyat Pulau Pinang khususnya. Meskipun ia dijalankan pada awal pagi, ia tidak pernah menjadi penghalang untuk kita semua berkumpul dan menyemarakkan lagi acara ini.

Saya amat gembira dan bangga melihat penyertaan dan semangat warga Pulau Pinang yang telah menonjolkan semangat kesukanan yang bersedia berkumpul dari awal pagi lagi untuk memulakan cabaran Malaysia Baharu.

Saya difahamkan terdapat hampir 7,000 penyertaan untuk acara berjalan kaki sejauh 5km ini di mana 930 orang adalah terdiri daripada kanak-kanak dan 167 orang pula adalah terdiri daripada OKU.

Saya amat berharap acara tahunan ini akan dijadikan platform untuk menyatukan rakyat pelbagai lapisan masyarakat serta mengoptimumkan semangat silaturahim dengan memulakan tahun baharu bersama sebagai satu rakyat yang berjiwa perpaduan.

Kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus menaiktaraf dan menyediakan pelbagai kemudahan, perkhidmatan serta mempelbagaikan lagi program-program bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.

Akhir kata, marilah kita semua berganding bahu dan bekerjasama bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bukan saja menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat tetapi berganding bahu dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa selaras dengan harapan untuk merealisasi visi Penang2030.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru 2019’. Semoga Pulau Pinang terus maju dan mampan.

Sekian, terima kasih.

 

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang