MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA TAHUN BARU CINA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019

13 FEBRUARI 2019
SP ARENA

 

TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO' SERI UTAMA (DR.) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS
YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

YANG AMAT BERBAHAGIA TOH PUAN DATO' SERI UTAMA HAJJAH MAJIMOR BINTI SHARIFF

YANG BERHORMAT DATO' LAW CHOO KIANG
YANG DI-PERTUA DEWAN UNDANGAN NEGERI

YANG BERHORMAT DATO' IR. HJ. AHMAD ZAKIYUDDIN BIN ABDUL RAHMAN
TIMBALAN KETUA MENTERI (I) PULAU PINANG

YANG BERHORMAT PROF. DR. P. RAMASAMY A/L PALANISAMY
TIMBALAN KETUA MENTERI (II) PULAU PINANG

YANG BERHORMAT DATO’ SERI FARIZAN BIN DARUS
SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI DAN AHLI-AHLI PARLIMEN NEGERI PULAU PINANG

KONSUL-KONSUL DAN KONSUL KEHORMAT

YANG BERBAHAGIA DATO'-DATO' DAN DATIN-DATIN

KETUA-KETUA JABATAN

RAKAN-RAKAN MEDIA

TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.

Salam Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajjah Majimor binti Shariff kerana sudi hadir ke Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 pada petang yang berbahagia ini. Sesungguhnya kehadiran Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan menyerikan lagi majlis yang sederhana tetapi disambut dengan penuh meriah sebagai lambang kekuatan perpaduan rakyat di Negeri Pulau Pinang.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Chai, Xian Nian Kuai Le, Nian Nian You Yu, khusus kepada semua yang hadir di Kompleks SP Arena, Seberang Jaya dan seluruh rakyat di Pulau Pinang. Semoga majlis seumpama ini menjadi medan kepada kita semua untuk mengeratkan hubungan yang sedia ada terjalin dalam membina dan memperkukuhkan semangat muhibah antara kaum di negeri ini.

Menyentuh tentang perpaduan, muhibah dan seangkatan dengan maksudnya yang lain, Pulau Pinang sejak lebih 10 tahun yang lalu di bawah urus tadbir Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah melalui lonjakan paradigma yang sangat pantas. Pelbagai pelan telah direncana mengikut kesesuaian masa dan situasi sehingga pelbagai kejayaan telah dicapai hasil gandingan mantap dan kerjasama antara rakyat dan pemimpin.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pulau Pinang telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan sama ada dari dalam mahupun luar negara sejak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Oleh itu, amatlah perlu bagi kepimpinan Kerajaan Negeri sedia ada merencana pelbagai program dan polisi dalam usaha memajukan negeri ini, setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Untuk merealisasikan impian ini, saya telah melancarkan visi Penang2030 pada tahun lepas, di mana ia merupakan satu pelan tindakan yang mengandungi empat (4) tema yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan fizikal dan sosial untuk negeri ini.

Kerajaan Negeri juga komited memastikan segala perancangan sebelum ini diselaraskan dengan Visi Penang2030 bagi memastikan ianya tetap selari dengan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat, selamat, bahkan juga gembira.

Secara ringkasnya, Visi Penang2030 akan menjurus kepada peningkatan kualiti kehidupan dan pendapatan isi rumah serta persekitaran fizikal yang lebih baik, berkonsepkan hijau dan pintar. Semua perancangan dan pembangunan akan bersifat holistik dan inklusif serta berlandaskan kepada nilai kekeluargaan. Saya secara peribadinya, selalu menekankan konsep kekeluargaan dalam ucapan saya kerana ia merupakan teras kepada pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat, dari segi luaran mahupun dalaman. Masyarakat yang sihat akan mampu melahirkan sebuah negara yang maju dan berdaya saing.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaik mungkin berusaha untuk memupuk dan memantapkan lagi hubungan dan integrasi kaum supaya rakyat di negeri ini akan sentiasa hidup dalam keadaan harmoni. Masyarakat majmuk di negeri ini saling memahami, menghormati bukan sahaja dari segi hubungan malah juga pemakanan. Perkara ini berlaku bukan sahaja semasa perayaan, malah ianya telah menjadi budaya dan identiti dalam masyarakat kita. Model perpaduan ini akan dijadikan panduan untuk kita semua menjadi lebih peka dan mengenali budaya, agama dan sensitiviti setiap kaum di sekeliling kita.

Saya amat berharap agar kita semua dapat terus mengekalkan perkara ini dengan menghormati amalan, kepercayaan dan budaya semua kaum tanpa mempersoalkannya, begitu juga sensitiviti terhadap agama. Marilah kita bersama-sama menyemarakkan budaya muhibah dalam kalangan seluruh rakyat negeri ini yang telah terkenal sebagai model negeri contoh dalam pelbagai aspek pembangunan.

Saya percaya lebih banyak lagi yang Pulau Pinang boleh kecapi selagi kita semua berpakat dan bersatu serta berkongsi nilai-nilai murni yang adil dan saksama.

Akhir kata, semoga tahun 2019 akan menjadi medan kepada kita semua untuk merealisasikan segala perancangan dan pemulihan secara praktikal dan berkesan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang