MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2019
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2019
14 FEBRUARI 2019
ATRIUM PDC
YB Dato’ Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang
YB Prof Dr. P Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Rosli bin Jaafar
Pengurus Besar PDC
Encik Loo Chang Soon
Pengerusi Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2019
Dif-dif Kehormat
Kakitangan PDC dan anak-anak syarikat PDC
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana sudi menjemput saya bagi bersama-sama meraikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina pada petang yang berbahagia ini. Setiap tahun PDC selaku tuan rumah tidak pernah gagal menganjurkan majlis seumpama ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Pada hari ini, kita semua meraikan perayaan dalam suasana yang sederhana tetapi cukup meriah. Walaupun di antara kita berbeza agama, budaya dan bangsa tetapi kita masih bersama sebagai sebuah keluarga besar yang muhibah dan saling menghormati antara satu sama lain demi ikatan perpaduan yang utuh.
Di Pulau Pinang, kita masih mengekalkan keharmonian dan prinsip demokrasi yang memberi kebebasan untuk menjalankan pelbagai kegiatan yang diamalkan selama ini terus menjadi teras kepada keamanan negeri ini. Pentadbiran negeri ini akan terus berusaha bagi memastikan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi selama ini akan terus terpelihara.
Kejayaan Pulau Pinang pada hari ini bukanlah semata-mata kerana adanya kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang maju tetapi yang lebih penting kerana rakyat Pulau Pinang sendiri yang berpegang teguh kepada nilai-nilai kekeluargaan yang menjadi asas kepada kejayaan negeri ini sehingga berjaya meletakkan Pulau Pinang sebaris dengan negeri-negeri maju yang lain. Perasaan bangga perlu ada pada diri setiap kita bagi mewujudkan hubungan kerja yang lebih baik dan erat.
Saya percaya bahawa perayaan yang membawa kepada perpaduan dan nilai bersama ini akan menguatkan lagi kita dalam mengatasi cabaran ketidakstabilan ekonomi masa kini. Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi yang tidak menentu, saya yakin dengan daya tahan yang kita ada, tadbir urus yang baik dan komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Negeri, kita akan terus bergerak ke hadapan dan membawa Pulau Pinang terus maju ke hadapan.
Tahun 2019 mungkin akan kita tempuh dengan pelbagai cabaran yang kian mencabar terutama dari segi ekonomi dan nilai kemanusiaan, tetapi dengan pengalaman yang pernah dilalui selama ini diharap akan menjadi pemandu arah dan membuka peluang kepada kita untuk bekerja dengan lebih keras dan bijak.
Tuan-tuan dan puan puan yang dihormati,
Pulau Pinang sedang menjalani transformasi dan salah satu transformasi mega adalah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. Ia juga merupakan pendekatan dalam menyelesaikan pengangkutan dan menyediakan infrastruktur awam yang baik bagi memastikan Pulau Pinang terus menjadi destinasi pilihan yang sesuai untuk didiami, progresif dan mampan apabila adanya akses dan jaringan/sambungan yang dipertingkatkan. Dalam melangkah ke arah bandar antarabangsa dan pintar, Pulau Pinang bersedia untuk mencapai matlamatnya dalam membina kekuatannya dalam kompetensi yang sedia ada.
Kualiti kemudahan, perkhidmatan dan infrastruktur dari segi perumahan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan rekreasi di Pulau Pinang telah bertambah baik dan Kerajaan Negeri akan sentiasa meningkatkan kualiti ini. Kerajaan Negeri akan terus berusaha dengan kekuatan yang ada untuk membina pencapaian dan menyatukan kedudukan kita untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran dan peluang yang mendatang.
Akhir kata, saya berharap agar pengurusan PDC akan terus maju dengan pelbagai aktiviti dan projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini. Saya berharap tahun ini akan membawa good fortune, keamanan dan kekuatan kepada kita semua.
Dengan ini saya merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2019.
Sekian, terima kasih.
GONG XI FA CAI.