MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL DAN TADIKA DI SEKOLAH TAMIL, 2019

UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN CEK BANTUAN KEPADA
SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL DAN TADIKA DI SEKOLAH TAMIL, 2019

7 Mac 2019
Auditorium A, Komtar

 

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di atas kesudian menjemput saya ke Majlis Penyampaian Cek Bantuan kepada Sekolah dan Tadika Tamil, bagi tahun 2019. Ini merupakan majlis pertama saya sebagai kapasiti Ketua Menteri Pulau Pinang, walaupun ia merupakan penganjuran majlis yang ke-11 bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Seperti mana anda semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang memberikan bantuan sedemikian sejak Kerajaan Negeri mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Dan sehingga kini, pemberian ini masih diteruskan, malah ia tidak terhad kepada sekolah sahaja, Kerajaan Negeri juga turut memberikan sumbangan kepada Tabung Khas Sekolah-Sekolah Tamil.

Para hadirin sekalian,

Meskipun peruntukan kewangan yang diberikan agak terhad, tetapi Kerajaan Negeri berharap agar ia dapat digunakan dengan cermat terutama untuk penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan keperluan asas persekolah yang lain demi keselesaan para pelajar dan pihak sekolah di samping mewujudkan suasana kondusif semasa proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Sejajar dengan perubahan corak dan sistem pendidikan masa kini, Sekolah Tamil juga tidak seharusnya ketinggalan dalam dalam menghadapi cabaran abad ke-21 ini. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah
mula mengambil langkah-langkah ke arah meningkatkan kemudahan ICT di sekolah-sekolah Tamil sejak 4 tahun yang lepas di mana sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang telah dibekalkan dengan kemudahan ICT termoden seperti Computers, LCD Projectors, vizualizer, SWIPE dan 21st Century Smart Boards, tidak lagi bergantung kepada chalk and talk sahaja.
Saya difahamkan pihak guru-guru juga telah diberi latihan untuk menggunakan kemudahan ini dengan lebih efektif.

Mengambil kira peningkatan kos dan keperluan yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk meningkatkan jumlah wang yang diperuntukkan kepada sekolah-sekolah Tamil, Tadika dan juga Tabung Khas pada tahun ini. Maka, dengan bangganya saya ingin mengumumkan bahawa:

1. Peruntukan bagi Sekolah Tamil dinaikkan daripada RM1.75juta kepada RM2.00 juta
2. Peruntukan bagi Tadika dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM150,000
3. Peruntukan bagi Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM150,000

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, peruntukan ini akan diagihkan berlandaskan keperluan setiap sekolah. Disebabkan itu, bantuan yang diperuntukkan kepada setiap sekolah adalah berlainan. Saya yakin, pihak sekolah dan PIBG akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Sekolah Sekolah Tamil dalam menguruskan peruntukan ini dengan sebaik-baik yang mungkin.

Akhir kata, Kerajaan Negeri akan terus menghulurkan bantuan kewangan ini selagi kami diberi mandat oleh rakyat. Marilah kita semua berganding bahu dalam memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sewajarnya selaras dengan cabaran revolusi industri 4.0.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang