MAJLIS PERASMIAN EXPO PERUMAHAN MAMPU MILIK 1/2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN EXPO PERUMAHAN MAMPU MILIK 1/2019

9 Mac 2019
Mydin Mall, Bukit Mertajam

 

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa

YB Phee Boon Poh
EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar

YB Dr. Afif bin Bahardin
EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan

YB Heng Lee Lee
ADUN Berapit

YB Daniel Gooi Zi Sen
ADUN Pengkalan Kota

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Ekspo Perumahan Mampu Milik di bawah kepimpinan YB Jagdeep Singh Deo, yang telah berusaha keras bagi memastikan majlis pada hari ini dapat berjalan dengan jayanya.

Berlangsung selama 3 hari bermula pada hari Jumaat yang lepas, saya percaya penganjuran ekspo perumahan seperti hari ini sebenarnya sangat dinanti-nantikan oleh rakyat negeri ini. Tidak seperti ekspo-ekspo hartanah yang lazim diadakan di tempat-tempat tumpuan awam, ekspo ini menampilkan kelainan dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada projek-projek perumahan rumah mampu milik.

Saya difahamkan selain Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), ekspo perumahan kali ini turut menampilkan penglibatan pemaju swasta seperti Tetuan Hunza, Tetuan Asia Green, Tetuan Silver Channel, Tetuan Seraimas Bina, Tetuan Prisma Bumiraya, Tetuan Excel Focus, Tetuan PLB Land, Tetuan PTL Properties, Tetuan Corfield (GSD Land) dan Tetuan Potential Dual. Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas komitmen anda semua dalam memenuhi agenda perumahan Kerajaan Negeri.

Pada hari ini, Kerajaan Negeri menawarkan sebanyak 4,175 unit Rumah Mampu Milik kategori C merangkumi projek di kedua-dua kawasan Pulau dan Seberang Perai. Kesemua unit ini disertakan dengan tempat parkir kereta.

Seperti mana yang kita semua ketahui, trend masa kini menunjukkan peningkatan dari segi indeks harga rumah dari tahun ke tahun. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Pulau Pinang masih mengekalkan harga kawalan bagi Rumah Mampu Milik A yang dahulunya Rumah Kos Rendah pada harga RM42,000, Rumah Mampu Milik B yang dahulunya Rumah Kos Sederhana Rendah pada harga RM72,500 dan pada hari ini Kerajaan Negeri pamerkan produk Rumah Mampu Milik C yang berharga maksima RM300,000 di bahagian pulau dan RM250,000 di bahagian Seberang.

Sebagaimana janji yang dibuat di dalam manifesto Saya Sayang Pulau Pinang pada pilihan raya yang lepas, Kerajaan Negeri komited untuk mengotakan 75,361 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik siap dibekalkan sehingga tahun 2025. Walau bagaimanapun, saya difahamkan angka ini telah berubah dan menunjukkan peningkatan selaras dengan permintaan dan aspirasi rakyat negeri ini.

Melihat kepada rekod-rekod kecemerlangan sepanjang Kerajaan Negeri Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini sejak 10 tahun lepas, saya percaya ‘perumahan untuk semua’ yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri berjaya dilaksanakan. Garis panduan di dalam visi Penang2030 turut akan diselaraskan bagi memastikan bukan sahaja dari segi penyediaan rumah, malahan hebahan dan pemasaran juga menjadi inisiatif tambahan kepada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri agar segala perancangan dan pembangunan yang dilaksanakan dapat dirangkumi secara inklusif dalam usaha meningkatkan daya hidup dan kualiti kehidupan rakyat negeri ini.

Tahniah dan syabas kepada YB Jagdeep Singh Deo dan pasukannya yang selama ini berusaha keras dalam memastikan projek-projek perumahan yang dilaksanakan selama ini betul-betul diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Ekspo Perumahan Mampu Milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2019.

Sekian, terima kasih.

 

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang