Sempena Majlis Pelancaran “Penang Art Week”

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Pelancaran “Penang Art Week”

 

24 Mac 2019

 

YB Yeoh Soon Hin

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian

Encik Lu Shiwei

Konsul Jeneral China

Encik Shinichiro Kanoya

Konsul Jeneral Jepun

Dato’ Dr. Lim Huat Bee

Konsul Kehormat Australia

Dato’ Poh Kim Seng

Konsul Kehormat Finland

Dato’ Datin Annie Chin Lye Kheng

Konsul Kehormat Republik Brazil

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur “Penang Art Week” yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan majlis pada petang ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Program yang julung kali diadakan ini akan berlangsung selama 1 minggu, bermula pada hari ini sehingga 31 Mac, 2019. Sepanjang minggu ini, diadakan pelbagai aktiviti termasuk pameran dengan tema-tema yang pastinya memukau setiap pengunjung dan akan berlangsung di sekitar kawasan tumpuan di negeri ini.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Pulau Pinang kini mengorak langkah untuk menjadikan negeri ini sebagai hab seni menjelang 10 tahun akan datang. Walaupun ia masih baru dan mungkin untuk segelintir di kalangan kita menganggap ianya mustahil dan memakan masa untuk menuju ke arah aspirasi tersebut, namun Kerajaan Negeri optimis untuk merealisasikan hasrat ini di mana pelbagai langkah awal telah diambil dan digorak termasuk penganjuran program pada hari ini.

Seperti mana yang diketahui umum, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebidang tanah berkeluasan 9.2 ekar bersebelahan Gat Lebuh Macallum dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu untuk dijadikan Penang Art District. Ia merupakan satu lagi tarikan baharu yang bakal menjadi pemangkin dalam industri kreatif dengan konsep bandar kontena yang dilengkapi dengan taman lanskap. Kerajaan Negeri percaya projek ini akan meningkatkan nilai seni dan budaya Pulau Pinang melalui penglibatan artis, seniman, pendidik dan masyarakat umum.

Kerajaan Negeri percaya seni mampu menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negeri/negara. Oleh itu, tumpuan-tumpuan kepada pembangunan bidang ini akan terus diberi perhatian yang sewajarnya. Platform-platform baru akan disediakan supaya karyawan-karyawan seni di negeri ini dapat mengembang dan menyalurkan bakat-bakat mereka di ruang yang bersesuaian.

Kepada artis-artis baru dan sedia ada, gunakan platform yang disediakan ini untuk menonjol dan mengetengahkan bakat anda. Teruskan memberi inspirasi dan motivasi dalam karya seni, nescaya anda akan terus berjaya pada masa akan hadapan. Kerajaan Negeri akan sentiasa berdiri di belakang anda dalam menyediakan peluang yang sempurna untuk mempromosikan keamanan dan keharmonian sekaligus menjadikan bidang keseniaan dan ekspresi kebudayaan sebagai daya tarikan baru di negeri ini.

Akhir kata, sekali lagi syabas dan tahniah kepada pejabat PETACH di bawah kendalian YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pembangunan Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang telah mengambil langkah pertama dalam penganjuran acara menarik ini sekaligus meletakkan negeri Pulau Pinang sebagai satu melting pot yang sangat unik.

Dengan ini, saya merasmikan pembukaan program “Penang Arts Week @ Esplanade” (Majlis Perasmian: Seni Minggu Pulau Pinang @ Padang Kota Lama)

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang