Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019
Teks Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Majlis Anugerah Perdana Belia Negara
Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019
Pada 11 April 2019
YB Tuan Soon Lip Chee
Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019
Yang Berusaha Dr. Waitchalla R.R.V Suppiah
Ketua Setiausaha, Kementerian Belia Dan Sukan
Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berusaha Tuan Zul Fadhli bin Abd Aziz
Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Encik Lim Swee Bok
Presiden, Majlis Belia Negeri Pulau Pinang
Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang
Ketua-Ketua Jabatan Negeri Pulau Pinang
Barisan Calon Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019
Rakan-rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019 pada malam yang berbahagia ini.
Saya percaya penganjuran majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan para belia dan beliawanis dalam mendapatkan pengiktirafan, tetapi mesej yang paling penting adalah perjuangan dan pengorbanan golongan ini tanpa kenal erti penat dan lelah semata-mata mahu berbakti kepada negeri dan negara. Tahniah dan syabas kepada calon-calon dan bakal pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada malam ini, terdapat 3 kategori yang bakal dipertandingkan, iaitu:
- Kategori Anugerah Belia Negara (Lelaki)
- Kategori Anugerah Belia Negara (Wanita)
- Kategori Anugerah Pertubuhan Belia
Saya difahamkan persaingan adalah sengit kerana setiap calon mempunyai kekuatan dan keupayaannya yang tersendiri. Terdapat 9 pencalonan bagi kategori Anugerah Belia Negara (Lelaki), manakala seramai 5 pencalonan bagi kategori Anugerah Belia Negara (Wanita) dan 3 pencalonan bagi kategori Pertubuhan Belia.
Menang dan kalah adalah adat pertandingan. Dan saya saya percaya mereka yang menang adalah yang betul-betul layak dan telah dinilai dari segala aspek. Kepada yang tidak memenanginya, anda bukan kalah dan anggaplah ia pendorong untuk kita lakukan yang lebih baik pada hari-hari yang mendatang.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian,
Penguasaan ilmu pengetahuan merupakan teras bagi membentuk bangsa yang cemerlang dan berjaya, yang didasari oleh jati diri dengan ketinggian akhlak dan budi. Mereka bukan sahaja penting kepada pembangunan negara, malah memainkan peranan yang penting bagi menjamin kesejahteraan dan perpaduan rakyat serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global. Generasi penerus inilah yang akan memacu kemajuan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosio-budaya negara pada masa hadapan.
Oleh itu, amatlah perlu bagi kepimpinan Kerajaan Negeri sedia ada merencana pelbagai program dan polisi dan memberi tumpuan yang sewajarnya kepada golongan sasaran ini kerana kami percaya andalah yang bakal mentadbir negeri dan negara pada masa hadapan. Sebagaimana Visi Penang2030 yang dilancarkan pada tahun lepas yang merangkumi empat (4) tema yang terdiri daripada pelbagai aspek pembangunan fizikal dan sosial, tumpuan kepada golongan belia turut tidak ketinggalan dan dipandang serius.
Untuk pengetahuan semua, salah satu inisiatif dari Visi Penang2030 ialah memperkasakan rakyat untuk mengukuhkan penyertaan sivik dengan mengalakkan penyertaan belia, wanita dan warga tua dalam komuniti negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri komited memastikan segala perancangan sebelum ini diselaraskan dengan Visi Penang2030 bagi memastikan ianya tetap selari dengan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat, selamat, bahkan juga gembira.
Secara ringkasnya, Visi Penang2030 akan menjurus kepada peningkatan kualiti kehidupan dan pendapatan isi rumah serta persekitaran fizikal yang lebih baik, berkonsepkan hijau dan pintar. Semua perancangan dan pembangunan akan bersifat holistik dan inklusif serta berlandaskan kepada nilai kekeluargaan.
Malah, ia juga sekaligus membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dan sentiasa berusaha bagi merealisasikan hasrat tersebut dan sememangnya penglibatan semua rakyat negeri ini adalah amat digalakkan agar kemakmuran hidup sebenar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan sekaligus menjadi ‘role model’ kepada negeri-negeri lain. Saya juga berharap agar anugerah yang diterima pada hari ini menjadi pemangkin kecemerlangan untuk mencapai inspirasi Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai “A Family Focused Green and Smart State that Inspires the Nation”.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga amat komited dalam melaksanakan program-program yang membuka peluang kepada golongan belia di negeri ini dan salah satu program yang sedang diusahakan dan bakal berlangsung ialah Karnival Olimpik Pulau Pinang di mana sebanyak 4 acara akan dipertandingkan iaitu badminton, bola tampar, sepak takraw dan tenpin bowling. Malah untuk mencungkil bakat-bakat baru di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk menaik taraf dan membuka beberapa kemudahan sukan seperti Stadium Hoki di Bukit Mertajam di mana 70% kerja tambun tanah telah siap.
Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua calon dan penerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019. Penghargaan tahniah dan syabas turut dipanjangkan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Majlis Belia Negeri Pulau Pinang, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pada malam ini.
Dengan ini, saya merasmikan Majlis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2019.
Sekian, terima kasih.