MAJLIS PELANCARAN PROGRAM-PROGRAM PDC SEMPENA ULANGTAHUN PDC YANG KE-50

TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW, KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM-PROGRAM PDC

SEMPENA ULANGTAHUN PDC YANG KE-50

PADA 22 APRIL 2019 DI PEJABAT PDC

Pada tahun ini, PDC akan merayakan Tahun Jubli Emas 50 tahun hasil  penubuhannya oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 17 November 2019 merupakan  hari yang sangat istimewa untuk Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang kerana pada tarikh yang sama pada tahun 1969, PDC telah diperbadankan di bawah Enakmen 1971.


Bersempena dengan slogan Sambutan Ulang Tahun ke-50 PDC iaitu “Spearheading  Growth", Lembaga PDC pada 1 Mac 2019 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk PDC melaksanakan pelbagai program termasuklah penanaman pokok di Jalan Cassia Barat 2, Program Grow with your Garden kerjasama dengan pihak Green Council untuk Penang Green School Award, Kempen Derma Darah, Tuan Rumah bagi Sukan Tradisional Mini Gemaputera, Fun Walk, Program Sukan, Program Sempena Bulan Ramadhan pada bulan puasa dan dikuti dengan  kemuncak program iaitu Majlis Makan Malam Tahunan PDC.

PDC ditubuhkan di bawah Enakmen PDC 1971, yang dipelopori oleh YB Tun Dr Lim Chong Eu dan dibantu oleh Pengurus Besar yang pertama, Dato 'Seri Chet Singh telah memacu pembangunan pembuatan berorientasikan eksport yang penting dalam sejarah ekonomi Negeri Pulau Pinang. Tidak ramai yang percaya setengah abad yang lalu bahawa PDC akan bangun ke tahap yang tinggi seperti hari ini. Untuk makluman, pada tahun 2017, pelaburan dan prestasi ekonomi Pulau Pinang telah mencapai KDNK sejumlah RM77,641 juta dan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3%.


Selama 50 tahun, PDC telah diterajui dengan cekapnya oleh 4 Ketua Menteri ( YB Tun Dr Lim Chong Eu, YB Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, YB Tuan Lim Guan Eng dan saya) dan 7 mantan Pengurus Besar iaitu Dato' Seri Chet Singh, Dato' Noor Ahmad Mokhtar Bin Haniff, Dato' Iskandar Dzakurnain Bin Badarudin, Dato' Siti Balkish Bt Shariff, Tan Sri Ahmad Fuad Bin Ismail, Dato' Rosli Jaafar dan kini diterajui oleh Encik Mohd Bazid Hj Abd Kahar.


Secara ringkasnya, pada tahun 1960-an, kadar pengangguran di Pulau Pinang adalah dua kali lebih tinggi daripada peringkat kebangsaan; menyebabkan ekonomi Pulau Pinang tidak berubah. Pada tahun 1969 apabila status pelabuhan bebas ditarik balik, komuniti perniagaan terjejas dengan teruk. Kerajaan Persekutuan menyedari keadaan ini dan telah mengesyorkan agar pembuatan eksport dan pengezonan semula industri bagi memulihkan krisis ekonomi.


Oleh itu pada tahun 70-an, YAB Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketika itu telah mengisytiharkan Bayan Lepas sebagai zon perdagangan bebas dan semenjak itu ianya telah menjadi legenda. Transformasi perindustrian Pulau Pinang diakreditasikan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang kedua, YB Tun Dr Lim Chong Eu di mana konsep pembangunan beliau melalui konsep ‘Rural Urbanisation & Rural Industrialization' telah membawa perubahan ekonomi yang teguh kepada Pulau Pinang.

Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas ( Bayan Lepas FTZ) seluas 969.90 ekar merupakan FTZ pertama yang ditubuhkan di Malaysia oleh PDC. Bayan Lepas FTZ telah dibangunkan dari sawah padi / ladang kelapa dan getah yang luas. Di zon perdagangan bebas Bayan Lepas inilah 8 “Samurai” (Intel, AMD, Hewlett-Packard, Clarion, National Semiconductor, Hitachi, Litronix dan Robert Bosch) menubuhkan pangkalan pembuatannya di sini. Mereka adalah perintis yang membawakan ekonomi Pulau Pinang pada trajektori yang lebih tinggi.

Kehadiran 8 MNC “Samurai” ini telah mengubah Zon Industri Bebas Pulau Pinang, dengan menarik lebih ramai MNC dan seterusnya mengatasi kadar pengangguran yang tinggi. Kesan domino pekerjaan yang tinggi telah mengwujudkan permintaan perumahan di mana PDC telah membina perumahan kediaman pertamanya di Kampong Jawa, Bayan Baru. Seterusnya , PDC memainkan peranan yang penting didalam pembangunan bandar baru seperti Bandar Bayan Baru (1975), Bagan Serai, yang kini dikenali sebagai Bandar Seberang Jaya (1976).


Dengan impak perindustrian ini, PDC terus memain peranannya untuk memperolehi dan membangunkan lebih banyak tanah untuk para industri. PDC juga ditugaskan oleh Kerajaan Negeri untuk mengambil alih Mak Mandin dan Taman Perindustrian Prai. Ini termasuk Taman Perindustrian Seberang Jaya, Taman Perindustrian Bukit Tengah dan Taman Perindustrian Bukit Minyak.

Selain daripada harta kediaman dan perindustrian di Bandar Bayan Baru dan Seberang Jaya, pada tahun 1974, PDC juga telah menerokai pembangunan semula George Town, yang paling menyerlah ialah projek KOMTAR, dikenali sebagai pembangunan semula bandar terbesar di Malaysia yang menempatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri dan kedai-kedai komersial.


PDC memberi tumpuan kepada program revitalisasi untuk memulihkan kegemilangan KOMTAR seperti dengan kelahiran semula ikon baru - The Top yang melambangkan perjalanan yang mengkagumkan di mana Pulau Pinang telah bangkit semula selepas menghadapi penurunan kegemilangannya. Kita telah melihat kebangkitan semula industri pelancongan dan kelahiran semula The Top sebagai satu transformasi yang berjaya. Pembangunan terkini ialah UTC di KOMTAR dan jika ianya berjaya dilaksanakan akan membawa lebih banyak perubahan yang positif kepada KOMTAR.


PDC juga menumpukan pada pembangunan semula rumah “pre-war” di George Town dengan penempatan semula penduduk ke Gat Lebuh Macallum. PDC juga merupakan salah satu agensi yang terlibat secara aktif dalam pemuliharaan warisan seperti yang dilihat dalam usahanya untuk memulihkan Lebuh Victoria Godown, Sia Boey dan Wisma Yeap Chor Ee.

Lain-lain pencapaian PDC sepanjang 50 tahun yang lalu adalah: -

  • • Pada tahun 1989, PDC telah mempelopori penubuhan Penang Skills

  Development (PSDC), pusat latihan industri yang pertama di Malaysia.


  • • PDC berpindah dari premisnya di Jalan Sultan Azlan Shah ke Persiaran Mahsuri,

  Bandar Bayan Baru pada tahun 1993.


  • • Pada 1996, PDC berjaya menambun seluas 1,110 ekar tanah di Bayan Lepas /

  Sungai Nibong. Pada tahun yang sama, PDC membina jalan berukuran 11.17 km di

  Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dengan kos sejumlah RM86,038,375.22.


  • • Pada tahun 2000, PDC membantu Kerajaan Negeri untuk membina Stadium Batu

  Kawan, dengan kapasiti 40,000 tempat duduk di atas tanah seluas 90 ekar dengan

  kos pembinaan sejumlah RM103,000,000.00.


  • • Dari tahun 2009 hingga kini, PDC telah memulakan Projek Titian Saksama Rakyat

  (PTSR), yang kini dikenali sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang bertujuan

  memberi bantuan kepada peniaga kecil melalui pinjaman tanpa faedah. Dari tahun

  2009 hingga kini, sejumlah RM16.16 juta telah diagihkan kepada 3,144 peniaga


  • • PDC dilantik sebagai Pengurus Projek oleh Kerajaan Negeri untuk Skim Perumahan

  Mampu Milik (AHS). Projek AHS yang telah siap ialah Suria 1, Bandar Cassia, Batu

  Kawan dengan jumlah 520 unit. Kunci projek ini telah diserahkan kepada pembeli

  pada 7 Mei 2018. Terdapat 7 lagi projek sejumlah 3,922 unit sedang dalam

  pembinaan iaitu termasuklah projek Dua Residensi, Teluk Kumbar, Jiran Residensi,

  Kg Jawa, SP Chelliah, Kepala Gajah, Tok Subuh dan Pintasan Cecil.


  • • Dari segi perumahan, PDC telah membina sejumlah 26,092 unit harta kediaman

  termasuk kos rendah, kos sederhana rendah, kos sederhana dan perumahan

  mampu milik.

  • PDC terus memainkan peranan penting sebagai ahli korporat yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan imej Perbadanan. Antara program yang dijalankan termasuklah menyediakan perumahan mampu milik bersubsidi untuk penduduk Pulau Pinang, kerja-kerja mengecat dan pembaikan kritikal (cth. Pembaikan / bumbung / pembaikan tangki air) untuk bangunan kediaman bertingkat tinggi. Semenjak dari tahun 2014 hingga kini, kos pembaikan yang telah dilaksanakan untuk kerja-kerja pembaikan kritikal adalah sejumlah RM3,644,466.80. Manakala bagi kerja pengecatan semula, kos yang dibelanjakan dari tahun 2011 hingga kini adalah sejumlah RM2,728,740.00.

PDC meneruskan peranannya dalam menyediakan tanah, infrastruktur dan kemudahan yang berkualiti seperti yang dilihat dalam perkembangan terkininya di bandar satelit  yang ketiga. Pada tahun 1990, selepas berjaya membangunkan Bandar Bayan Baru dan Seberang Jaya, PDC telah mengalihkan perhatiannya untuk menandakan kehadirannya di Seberang Perai Selatan. PDC telah melaksanakan pengambilan tanah seluas 6,326 ekar  di Batu Kawan dan mengumumkan Batu Kawan akan menjadi bandar ketiganya. Batu Kawan yang terkenal sebagai Bandar Cassia direka dan dirancangkan sebagai perbandaran komponen lengkap yang merangkumi perumahan, kediaman, komersil, pembangunan perindustrian dan rekreasi dengan konsep live-work-play & pelaburan. Pada Januari 2015, Kerajaan Negeri / MPSP telah mengisytiharkan Bandar Cassia sebagai pembangunan eko-bandar di Pulau Pinang.

Setakat ini, PDC telah berjaya menarik beberapa syarikat multinasional yang bertapak di Batu Kawan bagi memacu ekonomi tempatan. Dengan kehadiran IKEA dan Design Village, Batu Kawan telah menjadi destinasi sehenti yang menarik untuk membeli-belah, makanan dan perkhidmatan. IKEA telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan baru, mewujudkan perniagaan untuk pembekal tempatan, menarik pelancong, usahawan dan pelabur sama.

PDC telah menyaksikan potensi untuk membangun dan meningkatkan Batu Kawan menjadi sebuah metropolis yang bistari dan mampan, meletakkannya sebagai hab ekonomi dan sosial di rantau utara. Batu Kawan tidak lagi menjadi komuniti dan masyarakat mundur; sebaliknya   ianya akan menjadi bandar berintegrasi yang terkemuka dan tarikan untuk perniagaan, pelabur dan tempat kediaman yang diingini.

Bagi strategi barunya, PDC akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang seperti berikut: -

  • • Perancangan dan pelaksanaan projek-projek sejajar dengan komponen-komponen pembangunan bercampur yang berteraskan konsep Bandar Eko yang menekankan pembangunan seimbang dan kemapanan
  • • Menarik pelaburan-pelaburan berimpak besar ke Bandar Cassia seperti hospital-hospital pakar, hospital khusus untuk kanser, taman-taman tema, studio-studio filem serta sekolah –sekolah dan university-universiti antarabangsa melalui penjualan tanah
  • • Perancangan pembangunan southern corridor yang akan membangunkan Bandar Cassia sebagai pusat pembangunan di kawasan ini dan sekaligus menjadikan kawasan sekeliling seperti Penang Science Park North, Penang Science Park South, Bandar Cassia East dan Byram sebagai bandar-bandar satelit yang secara langsung akan meningkatkan taraf kawasan-kawasan ini
  • • Perancangan rapi infrastruktur southern corridor dengan infrastruktur yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa bagi mengelakkan kesesakan trafik apabila pembangunan pesat berlaku di kawasan ini
  • • Memainkan peranan untuk membangunkan tanah besar selari dengan pembangunan di sebelah pulau demi untuk memastikan keseluruhan Pulau Pinang terpilih untuk bekerja, santai, berkeluarga, melabur dan sebagainya. Kualiti semua infrastruktur dan kemudahan diseluruh negeri hendaklah sama
  • • Perancangan dan pembangunan projek-projek perumahan bercampur untuk menepati citarasa pengguna dan berharga sesuai untuk memastikan aliran masuk dana PDC adalah tetap

Untuk memenangi masa depan kita yang lebih baik, kita perlu melabur di masa depan. Melabur dalam masa depan bermakna melabur dalam pendidikan, infrastruktur awam dan inovasi. PDC secara konsisten menerajui dan memperjuangkan usaha yang lebih besar untuk mewujudkan lebih banyak peluang di pentas global. Orang ramai dapat melihat kembali pembangunan PDC selama 50 tahun dari ekonomi yang tidak menentu hingga ekonomi pelbagai sektor hari ini yang melopori dalam pembuatan dan perkhidmatan. Selain berperanan sebagai hab utama untuk pembuatan, PDC juga telah meneroka ke dalam hub masa depan iaitu Global Business Process Outsourcing (BPO) hub.

PDC akan terus memainkan peranan pentingnya  sebagai pemangkin pertumbuhan di Pulau Pinang; bekerja seiring dengan sektor awam dan swasta sebagai rakan kongsi. Visi PDC adalah mengubah Pulau Pinang menjadi bandar pintar dan bertaraf antarabangsa. Kita harus memberi tumpuan kepada kecemerlangan untuk mencapai tanda aras antarabangsa tersebut. Kita perlu membangunkan bakat manusia yang berdaya tahan dan berjaya untuk negeri  Negara tanpa sumber semula jadi.

Saya berbangga dengan pencapaian dan komitmen anda yang tinggi untuk perubahan positif dan berharap ianya akan terus mendorong PDC ke barisan hadapan dan mendapat penghormatan dan pengiktirafan antarabangsa. Walaupun adakalanya terdapat kekurangan sepanjang perjalanan yang dilalui tetapi ianya tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kegagalan. Jadilah optimis dan positif, dan pelajari dari kesilapan. Untuk berjaya, kita mesti mempunyai sikap dan komitmen yang betul. Roda kemajuan sentiasa berubah; bar pencapaian akan terus meningkat.

Ulangtahun adalah peluang untuk mengingatkan kita tahun-tahun yang berlalu dan refleksi positif untuk tahun-tahun yang akan mendatang. 50 tahun yang lalu telah menjadi kebahagiaan dan kejayaan dalam banyak cara serta kenangan manis. Sudah tentu terdapat beberapa laluan yang mungkin sedikit sukar untuk dilalui bersama. Walaupun terdapat batu-batu penghalang yang di sepanjang jalan, anda semua telah melalui perjalanan ini dengan ketabahan dan kerja keras. Dengan penghargaan ke atas tahun-tahun yang hebat yang telah berlalu , kita terus  majukan PDC ke tahun-tahun yang akan datang dengan memantapkan lagi PDC dengan kenangan dan kejayaan bersama.

Dengan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk  mengucapkan tahniah dan semoga PDC akan meneruskan perjalanannya dengan lebih banyak kejayaan dengan bangganya supaya kita dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah  negeri bandar yang sangat maju dan moden.

Dengan sukacitanya saya merasmikan Pelancaran Program-program Sempena Sambutan Ulang Tahun PDC Yang ke-50.

SELAMAT ULANGTAHUN KE-50 PDC.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang