KARNIVAL KEMPEN KESIHATAN AMAL ONE HOPE CHARITY
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
TUAN CHOW KON YEOW DI KARNIVAL KEMPEN KESIHATAN AMAL ONE HOPE CHARITY
28 APRIL 2019
DEWAN NG YAM HUAT, BUKIT MERTAJAM
Yang Berusaha En. Chua Sui Hau
Pengerusi One Hope Charity
Dato Seri R.Arunasalam
Penasihat One Hope Charity
Ang Beng Hock
Penasihat One Hope Charity
Dr. Abdul Aziz Bin Yahaya
Penasihat One Hope Charity dan ketua Jabatan Unit Orthopedic & Traumatology
YB Chong Eng, YB Phee Boon Poh, YB. Dr. Afif Bahardin
Exco Pulau Pinang
YB Heng Lee Lee
Adun Berapit
Abdul Wahab Bin Long
CEO Yayasan Foodbank Malaysia
Dato Sr Hj Rozali Bin Hj Mohamud
Yang Di-Pertua MPSP
Dr. Hj Saiful Azlan Bin Hj Sharif
Pengarah Hospital Seberang Jaya
Dr.Nur Aslina Binti Bahakodin
Pengarah Hospital Bukit Mertajam
Dr. Elizabeth A/P Anthony
Timbalan Pengarah JKN Pulau Pinang
Ir Hjh Rosnani Bt Hj Mahmod
Setiausaha Perbandaran MPSP
Dato Chong Hut Hoo
Pengerusi Hock Teik Cheng Sin
Rakan -rakan media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada One Hope Charity atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Karnival Kesihatan Amal pada pagi yang berbahagia ini.
Sememangnya karnival seperti ini adalah penting dalam memupuk kesedaran kepada masyarakat tentang betapa pentingnya pendidikan dan penjagaan kesihatan dalam kehidupan seharian. Saya difahamkan terdapat 13 jenis perkhidmatan pemeriksaan yang ditawarkan pada hari ini meliputi pemeriksaan secara keseluruhan, merangkumi pemeriksaan mata hingga ke kaki, serta pemeriksaan luaran hingga ke organ dalaman badan seperti pengimbasan hati, pemeriksaan jantung dan pelbagai lagi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada para pengunjung. Tidak ketinggalan, karnival pada hari ini turut menawarkan pemeriksaan pemeriksaan darah merangkumi pemeriksaan indeks barah.
Penganjuran karnival seperti ini menyediakan platform kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama dalam membantu mengesan dan mengawal penyakit kerana kita semua percaya konsep ‘mencegah sebelum parah” itu adalah sangat perlu. Kos pemeriksaan kesihatan yang tinggi telah menjadi beban yang berat kepada golongan ini. Lazimnya, ada segelintir mereka yang telah menghidap sesuatu penyakit telah berada pada tahap yang agak serius dan sudah terlambat untuk melakukan rawatan.
Oleh itu, penganjuran karnival kesihatan sebegini daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sangatlah membantu dan bertepatan. Saya difahamkan kesemua pemeriksaan kesihatan ini akan dilakukan oleh pakar dan doktor perubatan serta pasukan perubatan yang bertauliah dari hospital kerajaan dan klinik swasta.
Nama One Hope Charity sebenarnya sudah gah dan sangat dikenali di negeri ini. Usaha yang berterusan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan tanpa mengira perbezaan kaum dan agama sangat-sangat membantu pentadbiran Kerajaan Negeri dalam menyediakan segala bentuk keperluan kepada golongan ini. Saya difahamkan, untuk tahun 2018 sahaja, One Hope Charity yang telah memulakan operasinya sejak 17 tahun lalu telah membelanjakan sebanyak RM5,256,254 untuk tujuan amal dan kebajikan.
Tahniah dan syabas kepada One Hope Charity.
Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami mengiktiraf segala bentuk bantuan yang ditawarkan terutama daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) demi kelangsungan rakyat di negeri ini. Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan selama 11 tahun mentadbir negeri ini di bawah urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan aspirasi kepada pentadbiran ini.
Pentadbiran ini akan terus bekerja keras bagi memastikan segala perancangan dan pembangunan negeri ini dipacu dengan lebih berkualiti dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Pulau Pinang tanpa meminggirkan mana-mana pihak, sejajar dengan harapan dan Visi Penang2030.
Pulau Pinang berada di landasannya yang tersendiri terutama dalam pelaksanaan program-program bantuan dan kebajikan. Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai program bantuan seperti program i-Sejahtera yang merangkumi program pemberian bantuan Warga Emas, Ibu Emas, Anak Emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), Pelajar Emas dan lain-lain. Program ini mendapat sambutan dan telah dinikmati oleh hampir 1.6 juta rakyat Negeri Pulau Pinang dengan jumlah bantuan kewangan yang diberikan sebanyak RM412.63 juta sejak ia dilaksanakan bermula tahun 2008.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Program Agenda Ekonomi (AES) di mana tumpuan diberikan kepada keluarga miskin tegar untuk memastikan kelompok ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan dan memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM790 sebulan.
Kesemua program ini adalah salah satu daripada usaha berterusan daripada Kerajaan Negeri dan kita akan dipastikan ianya mencapai sasaran sekaligus dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan ini.
Akhir kata, saya berharap penganjuran karnival ini dapat mencapai sasarannya dan diteruskan lagi dari masa ke masa dengan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan sebegini. Sekian, terima kasih.