MAJLIS PERASMIAN SUMBANGAN EHYA' RAMADAN MASJID-MASJID DAN SURAU-SURAU JUMAAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN SUMBANGAN EHYA' RAMADAN

MASJID-MASJID DAN SURAU-SURAU JUMAAT

NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2019

 

1 MEI 2019

DEWAN SP ARENA, SEBERANG JAYA

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Haji Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato’ Seri Haji Farizan bin Darus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato' Haji Abdul Malik bin Abul Kassim

Yang Di-Pertua, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang, YB Dato’ Haji Ahmad Zakiyuddin bin Haji Abdul Rahman yang telah memastikan Majlis Penyampaian Sumbangan Ehya’ Ramadan Masjid-masjid dan Surau Jumaat di Negeri Pulau Pinang pada tahun ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri telah memulakan inisiatif pemberian sumbangan kepada masjid-masjid dan surau jumaat sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008. Dan sejak itu, Kerajaan Negeri tidak pernah gagal meneruskan pemberian ini.

Mengambil kira bulan Ramadan yang diketahui sangat dinanti-nantikan terutama oleh orang Islam, maka inisiatif pelaksanaan Program Penyampaian Sumbangan Ehya' Ramadan kepada masjid-masjid dan surau-surau jumaat ini dilihat sebagai salah satu usaha yang penting dan perlu bagi membangunkan rakyat Pulau Pinang secara fizikal mahupun spiritual.

Pada majlis hari ini, sebanyak 231 buah masjid dan surau jumaat di negeri akan menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM240,000 melibatkan pemberian sebanyak RM5,000 kepada Masjid Negeri, 5 buah Masjid Daerah dengan sumbangan RM2,000 setiap masjid manakala RM1,000 masing- masing kepada 207 buah Masjid Kariah, 9 buah Masjid Bukan Kariah (masjid yang tidak mengadakan solat Jumaat) dan 9 buah Surau Jumaat.

Dan untuk makluman juga, sumbangan ini sebenarnya adalah tambahan kepada peruntukan mengurus di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Pada tahun 2019, sejumlah RM56.8 juta telah diperuntukkan untuk mengukuhkan institusi Islam. Kerajaan Negeri akan terus memastikan institusi Islam di negeri ini terus kekal unggul melalui pelbagai program pembangunan yang telah direncanakan.

Meskipun jumlah agihan yang diberikan mungkin tidak seberapa, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri ini untuk membuat persiapan terutama menjelang ketibaan bulan Ramadan tidak lama lagi. Ia juga adalah sebagai penghargaan dan rasa terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau yang telah menjadi tulang belakang Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan syiar Islam di negeri ini, di samping menjadi penggerak kepada pembangunan modal insan terutama di peringkat akar umbi sejajar dengan Visi Penang2030, yang menjadi panduan dan pegangan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 11 tahun akan datang.

Kerajaan Negeri akan terus memainkan peranan dan memastikan tiada mana-mana kaum yang akan terpinggir seperti mana yang selalu dibangkitkan oleh pihak yang tidak bertanggunjawab.

Di kesempatan bulan Ramadan yang akan menjelang tidak lama lagi, besarlah harapan Kerajaan Negeri agar keharmonian dan keamanan yang dikecapi selama ini terus dipelihara kerana kita percaya di Pulau Pinang, kita meraikan kepelbagaian sama ada agama, bangsa mahupun budaya. Apa jua perbezaan yang ada seharusnya diraikan dan dipandang sebagai madah untuk mengukuhkan perpaduan dan menjadi pelengkap antara satu sama lain.

Akhir kata, semoga penganjuran majlis pada hari ini mencapai sasarannya yang tersendiri agar ia dapat diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas, khususnya dalam membantu Kerajaan Negeri memperbaiki dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada golongan sasaran dan keseluruhan rakyat negeri ini.

Dengan ini saya merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Ehya' Ramadan kepada Masjid-masjid dan Surau-surau Jumaat di Pulau Pinang Tahun 2019.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang