STREET IFTAR

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA STREET IFTAR

 

8 MEI 2018

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

Yang Berusaha Dato’ Haji Meera Mydin bin Mastan

Pengerusi Masjid Kapitan Keling

Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling

Wakil-wakil Rumah Ibadat dan Kuil

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutama Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling yang telah bertungkus-lumus memastikan majlis Street Iftar atau Iftar Jalanan pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah melepaskan peluang untuk menyertai acara berbuka puasa sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini sejak 11 tahun yang lalu.

Sebagai sebuah negeri yang sentiasa peka dalam menjaga kebajikan rakyatnya, kepimpinan Kerajaan Negeri suka dan akan terus menjadikan majlis seumpama ini sebagai wadah untuk mendekatkan dan menyelami sendiri keperluan dan rintihan golongan yang kurang berkemampuan ini agar sama-sama dapat menikmati kehidupan yang sebenarnya.

Penganjuran majlis berbuka puasa pada hari ini adalah sedikit berbeza daripada kebiasaan majlis yang dihadiri sebelum ini. Difahamkan terdapat lebih 15 buah khemah sementara didirikan di sepanjang Jalan Buckingham, Masjid Kapitan Keling ini bagi menampung jangkaan jemputan seramai 500 orang di kawasan Parlimen Tanjong dan sekitar kawasan ini.

Selain menyediakan makanan berbuka puasa dan memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang berkemampuan, majlis seumpama ini sebenarnya dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat. Kepelbagaian agama tidak pernah dilihat menjadi penghalang dan sentiasa diraikan di negeri ini. Bulan ramadan bukan sahaja dinanti-nantikan oleh orang Islam, tetapi ia turut dinanti dan diraikan oleh orang bukan Islam yang tidak pernah melepaskan peluang untuk menghadiri majlis berbuka puasa ataupun membeli juadah berbuka puasa di bazar ramadan.

Besarlah harapan saya agar penganjuran majlis seperti ini dapat diadakan setiap tahun dan diperluaskan di kawasan-kawasan Parlimen atau DUN di seluruh Pulau Pinang. Penyertaan serta kehadiran pemimpin negeri dan rakyat pelbagai kaum pada hari ini membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah mendiskriminasikan dan meminggirkan mana-mana kaum seperti yang selalu dicanang oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini.

Lokasi majlis pada hari ini dipilih kerana Masjid Kapitan Keling mempunyai keunikan dan sejarahnya yang tersendiri. Saya tidak pasti bagaimana masyarakat sekeliling dahulunya berbuka puasa di sini, tapi saya lihat penganjuran majlis iftar pada hari ini mampu mengembalikan nostalgia sejarah masjid dan komuniti kawasan ini.

Masjid Kapitan Keling merupakan mercu tanda penting bagi umat Islam di Pulau Pinang khususnya komuniti India Muslim. Asalnya masjid ini hanya sebuah masjid yang beratap kecil yang muncul dalam peta Pulau Pinang pada tahun 1798. Tahniah kepada Jawatankuasa Masjid Kapitan Keling yang telah berusaha keras dalam memastikan aspek penjagaan dan pemuliharaan masjid ini yang menjadi antara aset penting kepada negeri ini sentiasa terpelihara dan dijaga dengan baik.

Akhir kata, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk menjaga kebajikan dan keamanan negeri ini yang telah tercipta sekian lama. Marilah kita mengekalkan keunikan Pulau Pinang, bukan sahaja dari segi kepelbagaian makanan tetapi juga persahabatan harmoni antara kaum.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang