MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM BERSAMA YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

13 MEI 2019 (ISNIN)

THE TOP, KOMTAR, PULAU PINANG

 

YB Dato' Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato' Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan

YB Dato' Sarul Bahiyah Binti Haji Abu

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

YB Tuan Norazmi bin Mohd Narawi

Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang

Sahibus Samahah Dato' Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd. Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Selamat Berpuasa kepada yang beragama Islam.

  1. Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) yang telah bertukus-lumus memastikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama Ketua Menteri Bil. 2/2019 pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Tanggal 9 Mei 2019 baru-baru ini menandakan genapnya setahun Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Tarikh tersebut juga merupakan ulang tahun pertama bagi saya selaku Ketua Menteri. Ia merupakan suatu perjalanan yang baru bagi saya meskipun telah 10 tahun bergelar Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 apabila rakyat negeri ini memberi mandat kepada Pakatan Harapan. Sebagai Ketua Menteri yang baru, sudah tentu tanggungjawab ini saya galas dengan hati yang terbuka dan penuh iltizam untuk membawa negeri ini ke tahap yang lebih baik terutamanya dalam aspek taraf kehidupan, persekitaran yang hijau dan mapan serta keharmonian kehidupan penduduknya.
  1. Tempoh setahun sudah berlalu dengan pantasnya. Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar mandat yang diberikan selama lima (5) tahun kepada barisan kepimpinan negeri ini dapat digunakan sebaik yang mungkin dengan pelaksanaan polisi, projek dan program yang dapat dirasai oleh rakyat di segenap lapisan. Saya akui, di bawah payung pentadbiran yang sama dengan Kerajaan Persekutuan pada masa ini, rakyat mengharapkan prestasi Kerajaan Negeri yang lebih cemerlang berbanding sebelumnya dan itu merupakan cabaran yang perlu dipikul sebaik mungkin.
  1. Meskipun Kerajaan Persekutuan telah dipimpin oleh Pakatan Harapan, ia bukanlah tiket untuk Kerajaan Negeri mendapat laluan yang mudah kerana cabarannya tetap ada. Seperti yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Persekutuan juga sedang melalui fasa peralihan untuk memulihkan keadaan semasa negara. Saya berharap, fasa peralihan dan pemulihan ini akan cepat berakhir agar kita dapat bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan membangunkan negeri dalam pelbagai aspek. Saya juga berharap, negeri ini akan menerima lebih bantuan dari Kerajaan Persekutuan dalam tahun-tahun mendatang. Memang diakui banyak perkara yang masih belum mampu ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi saya percaya, dengan perancangan yang teliti, ia boleh dilaksanakan dengan cemerlang dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) tahun lagi.
  1. Meskipun begitu, YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad semasa Majlis Perutusan Perdana sempena satu (1) tahun Kerajaan Pakatan Harapan memimpin Kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2019 (Khamis) bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) telah menyatakan bahawa prestasi pencapaian Janji Kerajaan bagi tempoh 10 Mei 2018 sehingga 30 April 2019 untuk "Membina Negara dan Memenuhi Harapan" adalah sebanyak 39.01%. Prestasi ini telah diukur melalui status kemajuan 464 inisiatif yang merupakan dasar dan tindakan-tindakan spesifik yang dinyatakan dalam setiap janji pilihanraya. Sebanyak 53 inisiatif atau 11.42% telah ditunaikan dari keseluruhan 128 inisiatif. Manakala 283 inisiatif atau 60.99% adalah di peringkat dalam perancangan atau belum mula. Prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 29.34% berbanding 9.67% pada 31 Disember 2018.
  1. Bagi Kerajaan Negeri pula, 68 manifesto pilihanraya umum ke-14 akan dipastikan dilaksana seperti mana yang dijanjikan dalam tempoh berbaki empat (4) tahun ini. Mengikut rekod, 43 daripada 68 janji tersebut telah dilaksanakan, 11 sedang diusahakan, 10 masih di peringkat perancangan manakala 4 lagi masih di peringkat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
  1. Berbaki 4 tahun untuk pentadbiran penggal ini, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk menyempurnakan projek-projek untuk rakyat baik dalam aspek perumahan, infrastruktur, pengangkutan, pelancongan, telekomunikasi, industri dan sosio-ekonomi rakyat negeri ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

  1. Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri cukup bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat. Semua kejayaan yang dikecapi selama ini bukanlah kejayaan Ketua Menteri atau wakil rakyat sahaja, tetapi ia sebenarnya adalah kejayaan kita semua. Kepimpinan Kerajaan Negeri tidak mampu untuk melaksanakan segala dasar yang telah dirancang sekiranya tiada penjawat awam yang menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan ini.
  1. Untuk memastikan kita semua berada di landasan yang betul, Kerajaan Negeri telah melancarkan Visi Penang2030 pada 29 Ogos 2018 yang lalu. Suka untuk saya ulangi bahawa ia bukanlah visi Ketua Menteri sahaja tetapi sebenarnya adalah visi kita bersama. Beberapa sesi bengkel bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sesi engagement bersama stakeholder, Ketua-ketua Jabatan dan juga sesi brainstorming bersama Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri telah pun diadakan sepanjang awal tahun ini bagi tujuan menerbitkan buku panduan Penang2030. Kerjasama yang baik, komitmen yang jitu dan buah fikiran yang bernas telah diberikan oleh semua pihak dan seterusnya telah menzahirkan buku panduan Visi Penang2030 yang telah pun dilancarkan pada 27 April 2019 yang lepas. Saya mohon supaya kita semua dapat menghayati visi ini dengan lebih mendalam kerana tuan-tuan dan puan-puan yang akan melaksanakannya. Buku panduan visi ini boleh dimuat turun di laman sesawang www.penang2030.com.
  1. Kini, tugas seterusnya adalah untuk merealisasikan Visi Penang2030. Justeru itu, komitmen dan kerjasama daripada semua penjawat awam sangat diperlukan bagi menjayakan inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk membentuk Pulau Pinang sebagai negeri yang “family-focus, green and smart state that inspires the nation”. Marilah kita bekerja dengan lebih kuat lagi bagi menterjemahkan dasar negeri dalam pelbagai bentuk projek, program dan inisiatif bagi memastikan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang dapat menerima manfaat daripadanya.
  1. Tahun-tahun mendatang akan menjadi semakin mencabar berikutan beberapa buah projek pembangunan berskala mega yang telah diusahakan di bawah Penang Transport Masterplan (PTMP) sejak penggal sebelum ini semakin dekat untuk mendapatkan kelulusan. Justeru itu, adalah perlu untuk Kerajaan Negeri mempersiapkan pasukan penjawat awam yang telus, profesional, berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan projek ini.
  1. Di bawah kepimpinan Yang Berhormat Dato’ Seri Farizan bin Darus, Setiausaha Kerajaan Negeri, saya sememangnya meletakkan harapan yang tinggi kepada penjawat awam.
  1. Tiba saatnya yang dinantikan. Tidak lama lagi, kakitangan awam yang beragama Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mana akan turut diraikan oleh rakan-rakan bukan Islam. Saya percaya, banyak persiapan yang perlu dilakukan. Justeru itu, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada semua kakitangan awam dengan bayaran sebanyak 0.5 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri. Ianya sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan Kerajaan Negeri yang selama ini telah memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi dan diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat meringankan beban kewangan tuan-tuan dan puan-puan dalam membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfiri. Bayaran bantuan ini akan dibayar pada 28 Mei 2019 yang melibatkan anggaran perbelanjaan Kerajaan Negeri sebanyak RM5.27 juta kepada seramai 3,905 Anggota Perkhidmatan Awam Negeri.
  1. Akhir kata, ucapan terima kasih diucapkan kepada urus setia majlis ini iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah berjaya menganjurkan majlis ini walaupun masa yang diberikan adalah agak singkat. Sekali lagi saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua rakan-rakan muslim, Selamat Menyambut Hari Wesak kepada semua yang beragama Buddha, Selamat Hari Guru kepada semua guru, Salam Nuzul Al-Quran dan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang