MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2019

26 JUN 2019 (RABU)

SPICE CONVENTION CENTRE, RELAU

 

 

PARA HADIRIN YANG SAYA HORMATI SEKALIAN.

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Aidilfitri.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Berbahagia Toh Puan atas kesudian untuk bersama-sama pada petang ini bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, sambutan Majlis Rumah Terbuka pada hari ini menampilkan sedikit kelainan apabila Kerajaan Negeri telah menggabungkan dua (2) acara penting dalam kalendar negeri iaitu Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertuan Negeri dan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri dalam satu (1) majlis.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Berbahagia Toh Puan atas persetujuan untuk menggabungkan dua (2) majlis ini secara serentak.

Tuan Yang Terutama Tun, Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta para hadirin sekalian,

Seperti mana festival perayaan-perayaan sebelum ini, kedatangan Syawal sememangnya sentiasa dinantikan dan disambut dengan penuh meriah oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Lihat sahaja sambutan pada hari ini, kehangatan dan kemeriahan Aidilfitri masih dirasai meskipun bulan Syawal hampir ke penghujungnya. Perbezaan warna kulit, agama dan bangsa tidak pernah menjadi penghalang untuk kita semua bersatu dan meraikan persamaan ini dengan penuh rasa muhibah seperti sebuah keluarga yang besar.

Konsep rumah terbuka yang telah diamalkan dan menjadi trend akan terus digunakan sebagai medium perantara untuk terus menyuburkan semangat perpaduan dan merapatkan jurang yang mungkin wujud selama ini. Simboliknya, amalan sebegini akan terus digunakan sebagai medan pertemuan yang paling kukuh dan padu.

Saya secara peribadi sering merasakan penganjuran rumah terbuka mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Corak dan cara sambutan yang berbeza-beza mengikut perayaan menjadikan adat dan tradisi ini sebagai faktor penarik utama untuk masyarakat lain merasai keunikan terutama dalam penyediaan kepelbagaian juadah makanan yang sememangnya telah terbukti menjadi salah satu faktor utama kepada penyatuan keluarga dan keakraban masyarakat masa kini.

Atas sebab itu, melalui pelaksanaan Visi Penang2030: A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation, Kerajaan Negeri dari awal telah menyedari bahawa keluarga adalah unit asas yang penting dalam pembentukan masyarakat dan seterusnya mewujudkan sistem sokongan yang kukuh dalam pembangunan dan pentadbiran negeri.

Memasuki tahun ke-11 memegang tampuk pemerintahan, fokus Kerajaan Negeri adalah untuk memastikan 1.77 rakyat negeri ini dapat terus menikmati kehidupan yang lebih baik terutama dari segi kos sara hidup, kebajikan, kehidupan sosial serta kestabilan politik dan perpaduan kaum. Program dan dasar yang sedang, akan dan telah direncana akan disesuaikan mengikut kehendak, kebajikan dan impian rakyat negeri ini tanpa diskriminasi kepada mana-mana kaum dan kawasan.

Baru-baru ini, Pulau Pinang telah berjaya mencapai kedudukan teratas dalam bidang pelaburan apabila berjaya mencatatkan RM8.8 bilion dalam tempoh 3 bulan pertama tahun ini sekaligus menjadi penyumbang utama kepada pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini. Jumlah pelaburan ini telah meningkat sebanyak 768 peratus berbanding hanya RM5.8 bilion sahaja pada tahun lalu.

Melihat kepada angka dan pencapaian setakat ini, saya amat yakin Pulau Pinang akan terus mengorak kejayaan dan melepasi rekod yang pernah kita capai sebelum ini. Gabungan pelbagai rantaian yang kukuh, penyediaan infrastruktur yang mantap serta sistem sokongan yang berterusan telah menjadikan Pulau Pinang terus unggul dan menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan dan juga untuk pelancongan.

Saya dan seluruh jentera Kerajaan Negeri akan terus berusaha keras bagi memastikan Pulau Pinang terus konsisten dan meneruskan prestasi cemerlang berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi kelangsungan hidup rakyat yang lebih baik pada masa hadapan.

Akhir kata, semoga nilai harmoni dan positif yang wujud dalam diri setiap daripada kita ini akan terus kekal dan sentiasa terpelihara daripada anasir-anasir negatif yang sentiasa mencari ruang untuk merosakkan keamanan dan kesejahteraan yang terpelihara ini. Semoga majlis kita pada hari ini dijadikan sebagai medan untuk kita menyumbang kepada kekuatan demi kelangsungan negeri dan negara tercinta ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang