PROGRAM PENANAMAN POKOK DI JALAN CASSIA BARAT 2 & PERSIARAN CASSIA BARAT 3  

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM PENANAMAN POKOK

DI JALAN CASSIA BARAT 2 & PERSIARAN CASSIA BARAT 3

 

PADA 26 OGOS 2019

 

 

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) atas kesudian untuk menjemput saya bagi bersama-sama dalam Program Penanaman Pokok di Bandar Cassia, Batu Kawan pada pagi yang berbahagia ini.

Memasuki sambutan ulang tahun yang ke-50 penubuhan PDC dengan slogan “Spearheading Growth”, program penanaman pokok di Jalan Cassia Barat 2 & Persiaran Cassia Barat 3 ini adalah bertepatan dengan inisiatif Kerajaan Negeri bagi tujuan penghijauan dan pengindahan negeri melalui kempen ‘Cleaner, Greener, Safer and Healthier Penang’ yang telah diperjuangkan sejak tahun 2008.

Sebanyak 281 batang pokok teduhan dari jenis Batai Laut (Pelthoporum pterocarpum), Fox’s Tail Palm (Woodytheia bifurca) dan Penaga Lilin (Messua ferrea) akan ditanam di sepanjang jalan ini. Kerja-kerja penanaman telah bermula sejak 25 Jun 2019 dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 November 2019.

Dan untuk program pada hari ini, sejumlah 100 batang pokok teduhan akan ditanam melibatkan 50 batang pokok Batai Laut dan 50 batang pokok Fox’s Tail Palm sempena meraikan 50 tahun ulang tahun PDC.

Selain daripada itu, skop kerja lain yang terlibat adalah penanaman 28,680 pokok renek (shrubs), penanaman rumput dan pembinaan landskap kejur seperti pembinaan laluan basikal, lintasan pejalan kaki dan bangku taman.

Sejak tahun 2006 hingga kini, PDC telah membelanjakan antara RM1juta – RM2.5 juta setahun bagi pembangunan landskap termasuk landskap lembut dan kejur di seluruh Kawasan pembangunan PDC termasuk Bandar Cassia. Manakala jumlah pokok teduhan yang telah ditanam di seluruh Bandar Cassia dan Penang Science Park sejak tahun 2006 hingga 2019 adalah sebanyak 12,564 batang pokok.

Saya difahamkan bahawa program ini juga adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk meningkatkan kualiti hidup dan menjadikan Batu Kawan sebagai sebuah ‘Eco-City’. Tahniah dan syabas kepada PDC yang sentiasa memainkan peranan dan komited dalam memastikan keseimbangan pembangunan di negeri ini dapat dilaksanankan dan seterusnya merealisasikan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Akhir kata, semoga program pada hari dapat mencapai objektifnya dan seterusnya mewujudkan persekitaran semula jadi yang lebih hijau dan segar untuk negeri tercinta kita ini.

Dengan ini saya merasmikan PROGRAM PENANAMAN POKOK DI JALAN CASSIA BARAT 2 & PERSIARAN CASSIA BARAT 3.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang