MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN BANTUAN PENDAFTARAN PELAJAR

KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT) TAHUN 2019

DAERAH SEBERANG PERAI UTARA

 3 SEPTEMBER 2019 (SELASA)

DEWAN MILLENIUM, KEPALA BATAS

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan urus setia daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (PDTSPU) yang telah memastikan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pendaftaran Pelajar ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Politeknik Tahun 2019 pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada 443 orang pelajar dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang telah mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya diterima masuk bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah di seluruh negara.

Sebagai bantuan awal dan galakan bagi meraikan kejayaan anak negeri yang cemerlang ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) berbentuk cek sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti di Semenanjung Malaysia, RM1,200 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti di Sabah dan Sarawak manakala RM300 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di Politeknik Malaysia.

  

Pada peringkat permulaan ketika inisiatif ini diperkenalkan, Kerajaan Negeri hanya memperuntukkan kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sahaja. Selepas mendengar rintihan dan maklum balas daripada rakyat negeri ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluaskan pemberian bantuan ini kepada para pelajar yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Politeknik Malaysia, tertakluk kepada senarai institusi yang diluluskan oleh Majlis Menyuarat Kerajaan (MMK).

Secara keseluruhannya, sebanyak RM337,300.00 telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Meskipun bantuan ini mungkin kecil nilainya, namun Kerajaan Negeri berharap bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang terpaksa ditanggung terutama oleh ibu bapa dan penjaga dalam membiayai yuran pendaftaran tersebut.

Besarlah harapan Kerajaan Negeri dan juga para ibu bapa agar para pelajar dapat memberikan fokus yang lebih sepanjang tempoh pengajian. Perubahan dan transformasi alam pekerjaan baharu pada masa kini dan masa hadapan memaksa ilmu-ilmu tambahan sebagai pakej penting dalam menakluki pasaran pekerjaan ketika gelombang Revolusi Industri 4.0. menguasai dunia kini.

Mengambil kira keperluan serta cabaran dengan sumber asli yang terhad, Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan lain dan kebergantungan kepada sumber manusia adalah sangat diperlukan.

Atas tujuan ini, Kerajaan Negeri telah mengambil satu langkah maju ke hadapan dengan memperkenalkan organisasi STEM seperti PSDC (Penang Skills Development Centre), PSC (Penang Science Cluster), TDP (Tech Dome Penang), PDL (Penang Digital Library) dan @CAT Penang sebagai persediaan generasi masa depan bagi mendepani Industri 4.0 ini. Kesemua organisasi ini berperanan untuk mempromosikan, menanam serta meningkatkan daya saing di dalam STEM kepada anak-anak di negeri ini sebagai persediaan awal untuk menarik minat dan kesungguhan dalam kalangan pelajar bagi mendorong penguasaan disiplin dan teras ini secara konsisten.

Akhir kata, tekadkan niat dan iltizam. Semoga kejayaan mengiringi perjalanan anda semua. Pulau Pinang akan menanti kepulangan anda dan bersedia untuk mengembleng dan menyumbang tenaga, idea dan bakat demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini selaras dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang