PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK DENGAN KELAB WARTAWAN PULAU PINANG
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK DENGAN KELAB WARTAWAN PULAU PINANG
17 Oktober 2019
Stadium Bandaraya Pulau Pinang
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Di antara Kelab Wartawan Pulau Pinang dan Ahli Yang Berhormat pada hari ini dapat dijalankan dengan jayanya.
Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri melalui portfolio Exco Sukan dan Belia di bawah seliaan YB Soon Lip Chee telah memperkenalkan inisiatif Program Sukan Untuk Semua sejak awal tahun ini, bertujuan memberikan pembaharuan dan kepelbagaian sukan dalam usaha untuk merancakkan pembangunan sukan di negeri ini.
Melalui inisiatif ini juga, Kerajaan Negeri berharap rakyat Pulau Pinang terutamanya dapat menceburi dan melibatkan diri dalam pelbagai sukan yang ada ini, dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai gaya hidup yang sihat dan aktif serta mencari bakat dan jaguh-jaguh baru yang dapat mencipta nama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Pada malam ini, kita akan saksikan ketangkasan dan kebolehan rakan-rakan media dan ahli-ahli Yang Berhormat beraksi di atas padang dalam menunjukkan bakat mengawal dan mengelecek bola iaitu satu sudut pandangan lain dan berbeza ketika mereka menjalankan tugas seharian.
Saya kira perlawanan persahabatan bola sepak pada malam ini juga dapat memberi peluang kepada semua ahli Yang Berhormat terutamanya untuk melepaskan stress dan bebanan kerja yang dialami selama ini, di samping menjadi platform yang baik untuk mengukuhkan hubungan yang baik di antara pihak media dan wakil Kerajaan Negeri yang terjalin sejak sekian lama.
Akhir kata, semoga penganjuran majlis pada malam ini mencapai objektif dan sasarannya yang tersendiri. Kalah dan menang adalah adat pertandingan – tiada pemenang ataupun yang kalah. Pemenang utama adalah semangat kesukanan yang ditonjolkan oleh semua pemain dan pasukan sepanjang tempoh 90 minit di atas padang ini. Saya berharap semua pemain dapat bermain dengan penuh kepuasan, gembira dan seronok.
Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Sukan untuk Semua: Perlawanan Persahabatan Bola Sepak dengan Kelab Wartawan Pulau Pinang.
Sekian terima kasih.