HARI TONGKAT PUTIH ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN EDISI KE-10 2019

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA HARI TONGKAT PUTIH ANTARABANGSA PERINGKAT KEBANGSAAN EDISI KE-10 2019

 

19 OKTOBER 2019

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) atas kesudian menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Edisi Ke-10 pada pagi yang berbahagia ini.

Saya dimaklumkan bahawa sambutan yang julung kali diadakan di Pulau Pinang dan mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini berjaya mengumpulkan seramai lebih kurang 500 orang peserta yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dari seluruh Malaysia termasuklah para sukarelawan yang bersedia untuk membantu kelancaran majlis.

Syabas dan tahniah kepada semua!

Saya kira penganjuran majlis ini menjelang bulan Oktober setiap tahun mampu memberikan kesedaran dan keprihatinan khususnya dalam usaha untuk mengurangkan stigma masyarakat awam ketika mendekati pengguna tongkat putih ini yang sinonim dikaitkan dengan golongan cacat penglihatan.

Untuk rekod, seramai 39,321 OKU cacat penglihatan telah berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan OKU di seluruh negara. Meskipun jumlah tersebut jauh lebih rendah berbanding anggaran yang telah dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia, namun trend dijangka meningkat berikutan pelbagai faktor yang mendorong seperti komplikasi kesihatan dan kes kemalangan yang memaksa semua pihak untuk bersedia dengan lebih awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam mendepani cabaran dunia yang penuh pantas ini, kekurangan fizikal golongan cacat penglihatan ini seharusnya tidak menjadi beban dan dinafikan hak mereka. Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang telah digubal merupakan instrumen yang cukup ampuh bertujuan bagi menjamin hak serta memenuhi keperluan komuniti OKU di negara ini.

Akta-akta ini dengan jelas telah menyatakan dan memperuntukkan hak-hak golongan OKU ini seperti kemudahan akses pengangkutan awam yang mesra OKU, akses mesra OKU untuk komunikasi dan teknologi serta pelbagai akses mesra OKU yang lain dapat membangun dan melahirkan modal insan yang mampu berdikari seperti mana masyarakat normal yang lain.

Akhir kata, semoga penganjuran majlis pada hari ini mampu mencapai sasaran dan objektifnya yang tersendiri. Kolaborasi yang wujud di antara semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan OKU penglihatan di seluruh negara dalam mewujudkan sinergi yang amat baik seharusnya tidak berhenti setakat di sini, tetapi diteruskan pada masa hadapan.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Edisi ke-10.

Sekian, terima kasih

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang