MAJLIS MAKAN MALAM APRESIASI PERSATUAN BOLA SEPAK PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI MAJLIS MAKAN MALAM APRESIASI

PERSATUAN BOLA SEPAK PULAU PINANG

 

1 OGOS 2019

HOTEL ROYAL, JALAN LARUT

 

YB Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan Pulau Pinang

YB Dr. Amar Pritpal bin Abdullah

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang

Rakan -rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada badan pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang di bawah kepimpinan Presiden, YB Dr. Amar Pritpal atas kesudian untuk menjemput saya bagi bersama-sama memeriahkan Majlis Makan Malam Apresiasi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang pada malam yang berbahagia ini.

Sesungguhnya penganjuran majlis pada malam ini sedikit sebanyak dapat menyuntik kembali semangat para pemain kita yang mungkin sedikit terjejas berikutan kemelut yang melanda baru-baru ini. Saya amat berharap agar seluruh pegawai dan pemain dapat terus mengekalkan momentum kecemerlangan ini pada kejohanan-kejohanan yang akan datang.

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai dan pengurusan pasukan serta seluruh pemain Liga Premier 2019 di atas kejayaan pasukan bola sepak untuk melayakkan diri ke Piala Malaysia 2019. Meskipun terdapat masalah teknikal untuk melayakkan diri ke Liga Super 2020, saya berharap pegawai dan para pemain dapat terus melipatgandakan usaha dan mempersiapkan mental dan fizikal untuk terus meraih kejayaan dalam pertandingan bola sepak Piala Malaysia yang akan bermula pada 3 Ogos 2019 (Jumaat) ini menentang pasukan bola sepak dari Pahang Darul Makmur. 

Kerajaan Negeri berjanji untuk terus menjaga kebajikan para atlet sukan negeri ini dan memastikan segala usaha pembangunan dilaksanakan seiring dengan keperluan semasa. Lupakan segala kemelut yang melanda dan terus mencipta kejayaan. Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat negeri ini akan terus berada di belakang anda bagi memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi demi Negeri Pulau Pinang yang tercinta.

Tahniah dan syabas juga kepada badan pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang yang baharu yang telah mengambil langkah drastik serta pendekatan yang tepat dalam memulihkan prestasi pasukan bola sepak yang agak hambar pada peringkat awalnya dan kini, Pulau Pinang telah bangkit dengan mencipta kejayaan demi kejayaan dalam setiap perlawanan sebaris dengan pasukan-pasukan hebat yang lain.

Akhir kata, marilah kita semua bersama-sama berganding bahu dan meneruskan kejayaan dan kerjasama yang kukuh ini demi memajukan sukan bola sepak negeri yang kita cintai ini.

HARIA PENANG HARIA

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang