DI MAJLIS PERASMIAN PROGRAM CITY RIDE GOES ECO @ BALIK PULAU

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI MAJLIS PERASMIAN PROGRAM

CITY RIDE GOES ECO @ BALIK PULAU

5 JANUARI 2020

 KOMPLEKS SUKAN BALIK PULAU

 

 

Dato’ Ar. Yew Tung Seang

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

Dato’ Ir. Addnan bin Mohd. Razali

Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP)

YB Tuan Muhammad Bakhtiar bin Wan Chik

Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Pelancongan, Seni dan Budaya

YB. Haji Mohd. Tuah bin Ismail

ADUN Pulau Betong

Dato’ Noor- Ihsan bin Haji Che Mat

Ketua Pengarah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Rakan-rakan media dan para hadirin yang saya hormati sekalian;

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Jawatankuasa Pengelola iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang dengan kerjasama G-Club Penang Cyclists kerana berjaya menganjurkan majlis pada pagi ini.

Saya difahamkan bahawa tahun ini merupakan kali ke-5 program kayuhan basikal ini diadakan, dan ia sememangnya sangat dinanti-nantikan serta sentiasa mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada rakyat tempatan khususnya. Kayuhan sepanjang 30 kilometer ini akan bermula dan berakhir di perkarangan Kompleks Sukan Balik Pulau.

Sejak tahun 2008, pelbagai usaha diambil oleh Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam menggalakkan aktiviti berbasikal di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri dan MBPP sememangnya berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berbasikal. Sehubungan itu, Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri dan MBPP pada 2010. Dalam pelan induk itu, kira-kira 95 peratus atau 30.5 kilometer laluan basikal telah berjaya diselesaikan. Projek ini melibatkan kos sebanyak RM34.9 juta.

Selain itu, Konsep Green Connector yang bakal diperkenalkan dalam pembangunan Gurney Wharf juga adalah khas untuk para pengayuh basikal dengan laluan sepanjang 12.5 kilometer bermula dari Gurney Wharf ke Batu Ferringhi. Begitu juga Projek Ecodeck yang menjadi sebahagian konsep ini membolehkan para pengayuh menikmati pemandangan laut sejauh 6 kilometer dari Hotel Flamingo ke Shangri-La’s Rasa Sayang. Pengenalan konsep ini adalah sebagai galakan kepada rakyat Pulau Pinang untuk menggunakan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif untuk bergerak sama ada atas urusan kerja mahupun riadah.

Saya amat gembira dan bangga melihat penyertaan yang memberangsangkan membabitkan seramai 1,000 peserta tempatan serta antarabangsa iaitu peningkatan sebanyak 300 peserta berbanding dengan tahun lalu, yang mana menonjolkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan para peserta yang bersedia berkumpul dari awal pagi di sini untuk memulakan cabaran kayuhan basikal sambil menghayati keindahan Balik Pulau. Program seperti ini adalah selaras dengan pelaksanaan Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Berlandaskan itu, saya amat berharap acara tahunan ini akan dijadikan platform untuk menyatupadukan rakyat pelbagai lapisan masyarakat serta mengoptimumkan semangat silaturahim dan memulakan tahun baharu dengan jiwa perpaduan. Secara tidak langsung, program sebegini bakal mempromosikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi ekopelancongan.

Pada sudut sosial, ekopelancongan mempunyai elemen pelancongan yang memfokus dan menghidupkan sektor berkaitan berasaskan kepada sejarah, alam semula jadi sesebuah kawasan termasuk budaya aslinya. Kewujudan ekopelancongan membolehkan usaha pengekalan serta perkongsian mengenai budaya warisan tempatan bagi jangka masa panjang dalam kalangan pelancong.

Dalam pada itu, kepimpinan Kerajaan Negeri komited dalam terus menaik taraf dan menyediakan pelbagai kemudahan, perkhidmatan serta mempelbagaikan lagi program-program bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri ini.

Akhir kata, marilah kita semua berganding bahu dan bekerjasama bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bukan saja menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat dan selamat malah turut berganding bahu dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa selaras dengan harapan untuk merealisasi visi Penang 2030.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2020. Semoga Pulau Pinang terus maju dan mampan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang