MAJLIS PELANCARAN PROJEK NAIK TARAF SWETTENHAM PIER CRUISE TERMINAL

TEKS UCAPAN YAB CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROJEK NAIK TARAF

SWETTENHAM PIER CRUISE TERMINAL  1 FEBRUARI 2020

Yang Berhormat Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan

Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan

Yang Berbahagia, Datuk Isham bin Ishak

Ketua Setiausaha, Kementerian Pengangkutan Malaysia

Yang Berusaha, Tuan Jeffrey Chew Gim Eam

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang

Yang Berusaha, Puan Monaliza binti Suhaimi

Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Syed Mohamad bin Syed Murtaza

Pengerusi Penang Port Sdn Bhd

Yang Berbahagia Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh

Pengarah Urusan Kumpulan MMC

Y. Bhg. Tan Sri, Dato’-Dato’, Para Pegawai, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta Rakan-rakan Media yang saya hormati sekalian,

Pertama sekali, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke Pulau Pinang.  Saya berasa amat berbesar hati untuk berada di sini pada pagi yang penuh makna ini untuk melancarkan Projek Naik Taraf Swettenham Pier Cruise Terminal.  Sesungguhnya, ini adalah satu berita gembira untuk sektor pelancongan di Pulau Pinang.  Projek ini juga adalah merupakan satu lagi pencapaian di dalam industri kruis di Pulau Pinang.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas komitmen mereka ke atas Projek Naik Taraf Swettenham Pier Cruise Terminal ini kerana ia adalah merupakan manifestasi betapa besarnya impak projek ini bukan sahaja kepada Pulau Pinang khususnya malah kepada Negara amnya.

Para hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri sentiasa mempunyai kerjasama yang erat dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Penang Port Sdn. Bhd. bagi mempromosikan pelancongan kruis di negeri ini.  Sokongan Kerajaan Negeri terhadap industri cruise telah diterjemahkan melalui kelulusan pemberimilikan tanah kepada SPPP yang diberikan oleh Kerajaan Negeri untuk SPCT selama 30 tahun. Melihatkan kesan gandaan kepada ekonomi negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri seterusnya meluluskan pemberimilikan tanah bagi projek naiktaraf SPCT.

Bertepatan dengan Visi Penang2030 yang menumpukan kepada kenaikan taraf ekonomi, Projek Naik Taraf SPCT yang akan dimulakan pada hari ini akan terus meningkatkan ekonomi Pulau Pinang serta peluang-peluang pekerjaan. Sektor-sektor perkhidmatan seperti bunkering, perkhidmatan penyelenggaraan kapal, pembekalan, keselamatan, perkhidmatan sokongan kepada kru kapal dan lain-lain akan melihatkan peningkatan yang memberangsangkan. Peluang-peluang pekerjaan di sektor pelancongan yang melibatkan pengendali bas pelancongan, teksi, beca dan produk pelancongan tempatan juga akan meningkat.

Para hadirin sekalian,

Kerajaan Negeri telah dimaklumkan oleh SPPP tentang perancangan pembangunan SPCT serta kawasan sekitarnya sehinggalah ke Tanjung City Marina. Kerajaan Negeri menyokong penuh akan perancangan yang dibuat oleh SPPP kerana ia membangunkan ekonomi setempat serta membolehkan orang awam serta pengguna SPCT akses di sepanjang east seafront melalui walkway promenade yang akan dibina. Pelaksanaan pembangunan keseluruhan kawasan tersebut dijangka siap pada tahun 2025. Apabila siap kelak, ia akan memberi satu nafas baru bagi keseluruhan waterfront ini.

Hadirin sekalian, projek ini merupakan fasa pertama dalam membangunkan Kawasan Pesisir Timur yang turut merangkumi sempadan Kawasan Klan Jeti. Selain itu, Kerajaan Negeri turut komited dalam usaha menaiktaraf pesisir laut melalui projek-projek Kawasan Pesisir Utara seperti Penambahbaikan Tembok Laut Esplanade dan Pemuliharaan Kota Cornwallis.

Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik pelaburan dalam menaiktaraf kawasan pelabuhan dan sentiasa bekerjasama dengan SPPP dalam merealisasikan projek besar ini yang turut berada dalam Kawasan “Penang Bay” yang turut menaiktaraf penaiktarafan infrastruktur pelabuhan di Butterworth dan pembangunan melibatkan aktiviti ekonomi di bawah “Butterworth Harbourfront” projek.

Kebanyakan idea pembangunan Penang Bay ini akan dibentangkan di World Urban Forum 10 di Abu Dhabi pada minggu hadapan di mana delegasi ini akan diketuai oleh YB Jagdeep Singh Deo. Mereka akan turut mengumumkan komitmen dari Kerajaan Negeri melalui pengumuman “Penang Bay Ideas Competition”.

Saya percaya, projek naik taraf SPCT yang bernilai RM155 juta ini yang akan dilaksanakan dengan kerjasama PPSB dan RCL Development Holdings (Penang) Sdn. Bhd. akan meningkatkan peranan SPCT sebagai ‘hub’ dan ‘homeport’ kepada syarikat-syarikat pengendali kapal kruis antarabangsa. Dengan usaha-usaha Kerajaan Negeri yang giat merancang, memulihara serta menaiktaraf kawasan di sepanjang pesisir laut, saya yakin melalui kerjasama ini, perancangan pembangunan secara keseluruhan dapat meningkatkan nilai warisan setempat dalam usaha mengekalkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Akhir kata, sukacita saya dengan rasminya melancarkan Projek Naik Taraf Swettenham Pier Cruise Terminal.

Terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang