PROGRAM CABUTAN KERJA UNDI JABATAN KERJA RAYA PULAU PINANG TAHUN 2020

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA PROGRAM CABUTAN KERJA UNDI

JABATAN KERJA RAYA PULAU PINANG TAHUN 2020

 19 MEI 2020 (8.30 PAGI)

BILIK MESYUARAT MUTIARA, IBU PEJABAT JKR

 

YB Zairil Khir Johari

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti & Tebatan Banjir

YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

 

YB Dato’ Sarul Bahiyah binti Haji Abu

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Ir. Roslan bin Ismail

Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang


Dato’ Seri Haji Fadzill Hassan

Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Program Cabutan Kerja Undi JKR Pulau Pinang Tahun 2020 yang diadakan secara live di Facebook pada pagi yang berbahagia ini.

Pelaksanaan proses kerja undi secara live streaming ini adalah julung kali diadakan sebagai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung kini. Saya difahamkan bahawa proses pendaftaran kontraktor yang ingin menyertai proses undi telah dilaksanakan secara online melalui Sistem ePerolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SysP).

Melalui Sistem SysP ini, kontraktor hanya perlu melengkapkan borang serta memuatnaik dokumen-dokumen yang diperlukan secara online tanpa perlu hadir ke pejabat JKR untuk mengemukakan dokumen yang berkaitan. Cabutan undi ini adalah dipelawa kepada kontraktor-kontraktor yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Sistem ePerolehan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SysP) serta memenuhi syarat-syarat pengkhususan kategori bidang yang telah ditetapkan oleh CIDB.

Kerajaan Negeri melalui YB Dato’ Pegawai Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan bagi JKR Pulau Pinang untuk melaksanakan secara cabutan kerja undi meliputi kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan negeri dengan kos sebanyak RM2,350,000.00. Sebanyak 51 kerja undi penyelenggaraan jalan akan dilaksanakan dengan anggaran kos bagi setiap satu (1) projek yang diluluskan ini adalah tidak melebihi RM50,000.00.

Selain itu juga, terdapat 2 kerja penyelenggaraan yang meliputi kerja-kerja elektrik turut sama diadakan cabutan undi pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan bilangan kerja cabutan undi pada hari ini adalah sebanyak 53 kerja.

Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi di Pulau Pinang terutama dalam sektor pembinaan pasca PKP. Kerajaan Negeri berharap dengan adanya sejumlah peruntukan ini, kualiti penyelenggaraan jalan di Pulau Pinang akan dapat terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan berharap pihak kontraktor yang berjaya kelak dapat merealisasikan hasrat untuk mencapai kualiti penyelenggaraan jalan yang terbaik ini.

Akhir kata, saya berharap proses pengundian yang akan berjalan sebentar nanti akan berjalan lancar dan kepada yang berjaya, Kerajaan Negeri berharap anda dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya dan kepada yang tidak berjaya, jangan putus ada kerana masa anda akan tiba jua nanti.

Dengan kata-kata itu, saya dengan ini merasmikan PROGRAM CABUTAN UNDI JABATAN KERJA RAYA PULAU PINANG TAHUN 2020.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang