SUMBANGAN ROUTER 4G DENGAN SIMKAD YES & 2 BULAN DATA DI BAWAH PROGRAM E-PEMBELAJARAN
UCAPAN YAB KETUA MENTERI SEMPENA
SUMBANGAN ROUTER 4G DENGAN SIMKAD YES & 2 BULAN DATA DI BAWAH PROGRAM E-PEMBELAJARAN
17 Jun 2020 (1:30 petang)
Bilik Gerakan, Komtar
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang
YB Puan Chong Eng
EXCO Kerajaan Negeri
Encik Ngoo Seong Boon
Perancang Task Force
Wing Lee
Ketua Pegawai Eksekutif, YTL Communications
KERAJAAN Negeri ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan kehadiran delegasi daripada YTL Communications bersama dengan YTL Foundation yang berbesar hati untuk menyumbangkan 350 buah router 4G dengan SIMkad YES beserta 2 bulan data percuma 40GB bagi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri di bawah ‘Program Komputer E-Pembelajaran’ dalam usaha untuk merealisasikan pelaksanaan pembelajaran dalam talian yang lebih lancar dan sempurna.
Secara keseluruhannya, sumbangan bernilai RM203,000 ini bertujuan untuk menyediakan platform e-pembelajaran yang menyeluruh kepada para pelajar daripada kelompok keluarga yang kurang berkemampuan yang menghadapi kesukaran penyambungan internet.
Ini bermaksud, di bawah task force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’, para pelajar yang terpilih nanti bukan sahaja dibekalkan dengan kemudahan komputer, malah turut dibekalkan dengan kemudahan penyambungan internet bagi memastikan proses e-pembelajaran berjalan dengan lancar. Para pelajar yang berminat boleh memohon pakej data dengan harga yang lebih rendah dari pasaran semasa selepas 2 bulan penggunaan data percuma yang diberikan.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut akan bekerjasama dengan YTL dengan mengesyorkan pelajar dari kelompok B40 yang berkelayakan untuk Program Telefon Bimbit Percuma yang dilancarkan oleh YTL Foundation.
Sebelum saya mengakhiri sesi pada petang ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada pihak korporat dan orang awam agar dapat menyumbangkan komputer yang lama dan tidak dipakai kepada Swisspac dan Macrovention untuk dibaiki agar lebih ramai pelajar dapat menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Sekian, terima kasih.