MAJLIS PELANCARAN KEMPEN PELANCONGAN BERTANGGUNGJAWAB (RESPONSIBLE TOURISM) DI PULAU PINANG

UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG PADA

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN PELANCONGAN BERTANGGUNGJAWAB (RESPONSIBLE TOURISM) DI PULAU PINANG

&

UPACARA PENYAMPAIAN SIJIL UNTUK SISTEM AKREDITASI BAGI KESIAPSIAGAAN COVID-19 DI PULAU PINANG

PADA 30 JULAI 2020 (KHAMIS) JAM 3.30PETANG.

DI CENTRE ATRIUM, GROUND FLOOR, QUEENSBAY MALL

----------------------------------------------------------------------------

Selamat petang.

Pada petang ini, kita bakal melancarkan satu kempen pelancongan bertanggungjawab atau responsible tourism yang menjadi hala tuju Kerajaan Negeri ke arah mencegah penularan COVID-19 di Pulau Pinang.

Sektor pelancongan telah dibuka semula dan Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan usaha untuk membangunkan semula sektor ekonomi dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi Pulau Pinang daripada impak wabak ini.

Pandemik COVID-19 telah menggegarkan industri pelancongan dunia, mewujudkan situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini sehingga memaksa dunia berada dalam keadaan ‘terkunci’ dengan sekatan perjalanan yang dikuat kuasakan.

Dalam menghadapi pasca COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bertindak pantas dengan mengumumkan bantuan berjumlah RM75 juta untuk membantu pelbagai kumpulan termasuk sektor pelancongan yang paling teruk terjejas. Bagi fasa kedua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali lagi memperuntukkan RM76 juta untuk rebat cukai taksiran, insentif khas, pelbagai pengurangan dan pengecualian bayaran bagi meringankan beban kewangan golongan yang terjejas.

Salah satu daripada inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang ialah peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Skim Peka 2.0 yang juga dikenali sebagai Penang Business Continuity Zero Interest Loan. Lebih daripada 100 permohonan telah diterima untuk membantu penggiat-penggiat industri yang terjejas akibat daripada pandemik ini.

Selain pemberian insentif dan bantuan kewangan, Pulau Pinang juga terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan bagi memastikan kita bersiap sedia untuk berdepan normal baharu menjelang pembukaan semula industri ini. Garis panduan serta langkah-langkah keselamatan yang sesuai diambil untuk memastikan industri pelancongan dapat dibuka kembali dan beroperasi dengan lancar. Pendekatan ini adalah sangat penting dalam usaha memperoleh kembali kepercayaan para pelancong serta mempercepatkan pemulihan ekonomi pelancongan negeri Pulau Pinang.

Pada masa sama, Pulau Pinang juga telah melancarkan ‘Kempen Penang Lawan COVID-19’ yang mana orang ramai dapat mengikuti perkembangan berita dan bilangan kes COVID-19 terkini bagi negeri Pulau Pinang dan peringkat kebangsaan melalui pelbagai platform.

Sebagai tambahan, program Akreditasi Keselamatan COVID-19 Pulau Pinang turut diperkenalkan untuk meningkatkan kepatuhan dan memperkukuhkan industri pelancongan negeri dalam tempoh pemulihan berkaitan. Jabatan Kesihatan Negeri; Majlis Bandaraya Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Seberang Perai; Pejabat Exco Pelancongan, Seni, Budaya & Warisan (PETACH) serta Penang Global Tourism (PGT) merupakan pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab menetapkan dan menilai standard kebersihan serta keselamatan yang ketat bagi semua penggiat industri. Apabila semua standard tersebut telah dipenuhi, barulah pensijilan atau logo rasmi akan diberikan.

Selepas upacara hari ini, kita juga akan bersama-sama menyaksikan penyampaian sijil kepada penggiat-penggiat pelancong yang telah dinilai dan berjaya mendapatkan akreditasi ini.

Hadirin sekalian,

Perjuangan mengatasi wabak COVID-19 masih belum berakhir. Saya ingin mengingatkan semua pengusaha dan pihak berkepentingan sektor pelancongan untuk mempertingkatkan lagi usaha penjagaan keselamatan dan kebersihan agar dapat melindungi diri sendiri dan pengunjung dengan lebih baik.

Kita yakin bahawa industri pelancongan Pulau Pinang akan bangkit semula dengan lebih kukuh bagi membolehkan negeri kita terus muncul sebagai destinasi utama di rantau Asia. Tanggungjawab dan kesiapsiagaan kita ketika ini akan membantu industri pelancongan negeri kembali rancak sejajar dengan permintaan industri kelak.

Marilah kita bersatu padu untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang selamat untuk didiami dan dilawati, buat masa kini dan masa yang akan datang. Terus amalkan amalan 4P iaitu, Penjarakan Sosial; Pakai Pelitup Mula; Pencucian Tangan Menggunakan Sabun dan Perhatikan Gejala COVID-19.

Dengan ini, saya merasmikan Pelancaran Kempen Pelancongan Bertanggungjawab Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang