SIDANG MEDIA MENGUMUMKAN PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PENANG INFRASTRUCTURE CORPORATION SDN. BHD. (PIC)
SIDANG MEDIA MENGUMUMKAN PELANTIKAN KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PENANG INFRASTRUCTURE CORPORATION SDN. BHD. (PIC)
OLEH YAB TUAN CHOW KON YEOW KETUA MENTERI PULAU PINANG
TARIKH: 5 OGOS 2020 (RABU)
_________________________________________________
Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Lembaga Pengarah yang telah bersidang pada 15 Julai 2020 dengan sukacitanya telah bersetuju untuk melantik YBhg. Dato’ Seri Farizan Bin Darus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (Chief Executive Officer – CEO) bagi Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PIC) yang telah diperbadankan pada 9 Julai 2020.
Pelantikan ini adalah sebagai sebahagian usaha untuk memastikan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan – PTMP) dapat diterajui dengan jaya dan berkesan.
Kerajaan Negeri berpandangan bahawa YBhg. Dato’ Seri Farizan merupakan calon yang kompeten untuk memegang jawatan berkaitan berdasarkan kepada reputasi baik dan kejayaan beliau dalam aspek pengurusan serta pentadbiran.
YBhg. Dato’ Seri Farizan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah; Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Yang Dipertua bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Pegawai Kewangan Negeri di Jabatan Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yakin bahawa keputusan pelantikan berkaitan mampu memacu PIC sebagai penggerak PTMP ke arah kecemerlangan dan mencapai tahap pelaksanaan terbaik sebagai sebuah pentadbiran yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi masa depan negeri Pulau Pinang.
Dengan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada YBhg. Dato’ Seri Farizan Bin Darus sebagai CEO Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd..