MAJLIS PERASMIAN PEJABAT CDERT MPKK KADUN SUNGAI PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEJABAT CDERT MPKK KADUN SUNGAI PINANG

4 OKTOBER 2020 (AHAD)

 

Y.B. Tuan R.S.N. Rayer

Ahli Parlimen Jelutong

Y.B. Puan Lim Siew Khim

ADUN Sungai Pinang merangkap

Penaung Pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang

Y.S. Lt. Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang

Y.S. Kapten (PA) Muhammad Aizat bin Abdul Ghani

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut, P.Pinang

Mejar Bersekutu (PA) Alan Cheah Teik Cheng

Pengerusi, Pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang

Y.Bhg Datuk- Datuk

 

Dif Dif jemputan yang dihormati

 

Ahli pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang

 

Para wakil Media

 

Tuan2 dan Puan2 yang dihormati sekalian

Salam Bahagia dan Selamat Pagi.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur majlis ini kerana menjemput saya untuk merasmikan pejabat Pasukan Tindakan Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) MPKK Kadun Sungai Pinang pada pagi yang meriah ini khususnya kepada Y.B. Lim Siew Khim, ADUN Sungai Pinang yang juga merupakan Penaung Pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang.

Saya dimaklumkan oleh Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang, Lt. Kolonel Cuthbert John Martin Quadra bahawa ini merupakan pasukan CDERT MPKK yang pertama ditubuhkan di Pulau Pinang. Syabas diucapkan kepada pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang!

Saya juga telah dimaklumkan bahawa sempena upacara perasmian Pejabat CDERT MPKK hari ini, turut diadakan program derma darah dan kesihatan anjuran bersama CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang dan JPWK Kadun Sungai Pinang. Program derma darah ini salah satu inisiatif murni bagi membantu unit tabung darah, hospital-hospital di Pulau Pinang untuk menambah kuantiti pint darah yang kini berada pada paras yang amat rendah.

Pasukan CDERT ini telah ditubuh secara rasminya pada 12 September 2019 oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Seramai 14 anggota pasukan ini telah berjaya menjalankan latihan asas pada Ogos 2019. Selain itu, pada bulan Ogos lalu, seramai 13 anggota telah melengkapkan kursus asas pertahanan awam daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Saya juga difahamkan bahawa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 sehingga kini, pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang telah memberi pelbagai sumbangan barangan keperluan yang berjumlah lebih kurang RM60,000.00 seperti Peralatan Perlindungan Persendirian (PPE) dan lain lain kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk membantu melawan Covid-19.

Selain dari sumbangan ini, Anggota CDERT MPKK ini juga telah keluar bertugas bersama anggota APM, ATM dan Rela untuk tugasan rondaan omnipresence, kawalan pasar dan juga membantu menjaga pusat gelandangan di Kompleks Masyarakat Penyayang.

Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada YB Lim Siew Khim dan Mejar Bersekutu Alan Cheah Teik Cheng atas dorongan dan pimpinan mereka serta semua anggota pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang atas penglibatan mereka dalam membantu Negeri dan Negara kita lawan Covid-19.

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya setiap MPKK menubuh pasukan CDERT dengan sokongan dan kerjasama pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan Lt. Kolonel Cuthbert John Martin Quadra. Dengan adanya pasukan CDERT MPKK ini, mereka secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada komuniti di kawasan masing-masing mengenai ilmu pengurusan bencana ketika kecemasan. Malah, kita juga mahu CDERT berupaya untuk membantu Kerajaan Negeri sekiranya berlaku bencana atau insiden kecemasan.

Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan syabas, tahniah dan terima kasih kepada pasukan CDERT MPKK Kadun Sungai Pinang atas kejayaan dan sumbangan mereka dalam membantu melawan pandemic Covid 19.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang