MAJLIS SIMBOLIK PENYERAHAN KUNCI KEDIAMAN DAN SURAT TAWARAN BAGI PROJEK CERIA RESIDENSI, BATU FERINGGHI

TEKS UCAPAN YAB KETUA MENTERI PULAU PINANG

MAJLIS SIMBOLIK PENYERAHAN KUNCI KEDIAMAN DAN SURAT TAWARAN BAGI PROJEK CERIA RESIDENSI, BATU FERINGGHI

SABTU, 24 OKTOBER 2020

 

 

Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berhormat Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan merangkap ADUN Tanjong Bunga

Yang Berhormat Wong Hon Wai

Ahli Parlimen Bukit Bendera

 

Yang Berbahagia Dato’ T. Puraharan a/l C.P. Ramakrishnan

Pengarah Orientside Development Sdn. Bhd.

Rakan-rakan media

 

Yang Berhormat, YBhg. Dato’, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

Selamat pagi dan Salam Sejahtera,

Saya berasa amat berbesar hati berada di sini bagi menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Kunci Kediaman dan Surat Tawaran Bagi Projek Ceria Residensi pada hari ini.

Sebagaimana maklum, lokasi projek ini adalah amat strategik kerana bagi sebuah bangunan berstrata, isu utama yang sering timbul adalah kepadatan penduduk yang bakal dihadapi penghuni. Namun di sini, ia merupakan kawasan peranginan terkenal bersertakan pemandangan indah yang secara tidak langsung memberikan nilai kehidupan yang lebih bermakna kepada para penghuni.

Berlandaskan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YB Exco, YB ADUN Tanjong Bunga serta YB Ahli Parlimen Bukit Bendera yang telah membantu menyelesaikan isu-isu penempatan semula penduduk yang terjejas ekoran pembangunan oleh pihak pemaju Orientside Development Sdn. Bhd. ini.

Saya dimaklumkan bahawa daripada 380 unit Rumah Mampu Milik (RMM) B yang dibina, seramai 280 penduduk asal di Kampung Chetty bakal mendiami skim ini. Manakala baki 100 unit akan ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada pemohon-pemohon yang telah berdaftar dengan Kerajaan Negeri untuk rumah mampu milik (RMM) bagi Daerah Timur Laut. Adalah ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk membekalkan kediaman selesa dan berkualiti kepada rakyat yang memerlukan di negeri ini.

Secara keseluruhan, projek ini bakal mengubah landskap di sekitar lokasi ini yang mana komponen seperti pangsapuri, lot komersial dan hotel juga bakal dibina sekitar lokasi ini kelak. Selain membantu merancakkan ekonomi setempat, pembangunan ini juga bakal menyediakan kepelbagaian peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk tempatan. Malah, pada kala negara dilanda pandemik COVID-19 yang turut merencatkan kemajuan industri pembinaan, saya berharap projek ini dapat terus diperluaskan dengan pembinaan komponen Rumah Mampu Milik (RMM) C. Saya percaya menerusi pelaksanaannya, Saudara Jagdeep selaku Exco Perumahan akan gembira dengan berita ini ke arah mencapai sasaran unit rumah mampu milik (RMM) yang dinyatakan sebelum ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Kerajaan Negeri sememangnya fokus dalam usaha penyediaan rumah mampu milik (RMM) ekoran kejayaan menyedia serta membina sejumlah 106,742 unit rumah mampu milik (RMM) tersedia pada pelbagai peringkat sehingga ini.  

Bahkan YB Jagdeep juga telah menetapkan sasaran baharu berhubung pembinaan rumah mampu milik (RMM) menjelang 2030 iaitu daripada 180,000 unit rumah sebelum ini kepada 220,00 unit rumah, dan saya berharap sasaran ini akan menjadi kenyataan sekaligus mengubah landskap pemilikan kediaman rakyat di Negeri Pulau Pinang.

Sebagai contoh, di Daerah Timur Laut, terdapat seramai 21,230 pemohon dalam senarai menunggu kini yang mana dalam komponen Rumah Mampu Milik (RMM) A, seramai 3,259 pemohon, RMM B (10,938 pemohon) dan RMM C (7,033 pemohon), menjadikan purata tempoh menunggu membabitkan pemohon di DTL mencecah enam (6) tahun khususnya untuk RMM A dan B.

Justeru, sekiranya lebih banyak lagi projek sebegini dapat dilaksanakan, maka tempoh menunggu bagi para pemohon adalah diharap dapat dikurangkan kepada dua (2) atau tiga (3) tahun berbanding kini.

Dalam pada itu, pasaran kediaman rumah mampu milik (RMM) juga akan lebih mampan kerana lebih ramai masyarakat umum mampu untuk membelinya berbanding kediaman mewah yang turut berdepan dengan isu overhang iaitu merujuk kepada kediaman-kediaman yang telah siap dan tidak terjual yang kini melebihi jangka masa sembilan (9) bulan.

Sebagai tambahan, berdasarkan maklumat Pusat Maklumat Hartanah Kebangsaan (NAPIC), terdapat 3,043 unit-unit kediaman overhang dengan nilai RM2.546 bilion di Pulau Pinang pada tempoh masa kini.

Sebagai penutup kata, adalah diharapkan tuan-tuan dan puan-puan dapat memanfaatkan peluang memiliki kediaman yang diberikan ini dan tidak sesekali menyewakan ia atau menjadikannya sebagai rumah inap (homestay).

Hargailah amanah serta ikhtiar Kerajaan Negeri dalam menyempurnakan hasrat Kerajaan Negeri ke arah meningkatkan taraf hidup penduduk rakyat Negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang