MAJLIS ANUGERAH MPKK TERBAIK NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS ANUGERAH MPKK TERBAIK
NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2020
17 DISEMBER 2020
ROYALE CHULAN HOTEL PULAU PINANG
YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang merangkap EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti
YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang merangkap EXCO Pembangunan Modal Insan, Pendidikan, Sains dan Teknologi
YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri
Barisan EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)
Tuan Ahmad Rizal bin Mohd Hanapiah
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan)
Puan Marlia binti Mohd Belia
Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan
Tuan Kamarul Haizal bin Koderat
Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah
Tuan Mohd Hafiz Aswad bin Mohd Nadzri
Pegawai Daerah Barat Daya
Tuan Zulkifli bin Rashid
Pegawai Daerah Seberang Perai Utara
Tuan Rosli bin Halim
Pegawai Daerah Timur Laut
Barisan Panel Juri
Semua Pengerusi, Setiausaha & Ahli-Ahli MPKK Negeri Pulau Pinang
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penganjur dan urus setia dari Pejabat Timbalan Ketua Menteri (I) dan Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atas komitmen yang telah diberikan dalam memastikan Majlis Anugerah MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 pada hari ini dapat diadakan dengan jayanya.
Saya bersyukur malam ini kerana diberi peluang dan kesempatan untuk bertemu sebahagian besar jentera Kerajaan Negeri dari pelbagai peringkat dalam satu majlis yang sangat istimewa bagi meraikan 5 Johan MPKK Terbaik Peringkat Daerah yang akan diumumkan sebentar lagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
COVID-19, sepertimana kita semua ketahui telah merencatkan pelaksanaan banyak program dan agenda penting Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang tahun 2020 ini. Namun begitu, Kerajaan Negeri menyeru agar kita dapat bersama-sama menjiwai norma baharu dengan SOP yang telah digariskan oleh Kementerian KesihatanMalaysia (KKM) demi kelangsungan hidup pada hari ini dan hari-hari yang akan datang.
COVID-19 bukan alasan untuk kita berhenti daripada terus menyantuni rakyat. Ketika ini, rakyat amat memerlukan sokongan daripada kita semua dalam bersama-sama mengharungi dan berdepan situasi getir yang telah menjejaskan punca rezeki sebahagian daripada mereka.
Saya amat berbangga dengan komitmen dan kerjasama padu yang telah ditunjukkan oleh semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Pulau Pinang dalam membantu rakyat Negeri Pulau Pinang mendepani cabaran untuk meneruskan kehidupan dalam era COVID-19 ini.
Sebagai penghargaan kepada keanggotaan MPKK Negeri Pulau Pinang, Insentif Khas RM300 telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada 3,204 anggota MPKK melibatkan peruntukan berjumlah RM972,300.00 menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 Penang Lawan COVID-19.
Seperti yang sedia maklum, fungsi utama MPKK adalah untuk membuat perancangan dan pelaksanaan pelbagai projek dan program di kawasan masing-masing di samping menggerakkan penglibatan komuniti setempat. Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan semua MPKK bahawa jawatan yang disandang ini adalah disertai dengan tanggungjawab yang perlu digalas. Anda semua adalah mata dan telinga. Jadi, laksanakan amanah ini dengan penuh komited, berintegriti dan adil dalam menyantuni semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, keturunan dan pegangan agama.
Saya sedar bahawa MPKK juga merupakan “frontliner” bagi mewakili Kerajaan Negeri berhadapan dengan masalah rakyat. Oleh sebab itu Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk menyediakan peruntukan bayaran elaun MPKK setiap tahun. Malah, untuk tahun 2021, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM9 juta bagi pembayaran elaun kepada 375 MPKK untuk seluruh Negeri Pulau Pinang.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya kejayaan penganjuran Pertandingan MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2020 ini adalah berpaksikan kepada komitmen dan kesungguhan semua MPKK Negeri Pulau Pinang yang sanggup menyahut cabaran untuk menyertai pertandingan pada tahun ini.
Walaupun perancangan asal penganjuran pertandingan ini terjejas akibat pelaksanaan PKP, namun pihak penganjur tetap komited untuk memberikan yang terbaik sehingga dinobatkan selaku MPKK Terbaik Daerah masing-masing bagi tahun ini. Satu tepukan gemuruh untuk semua MPKK yang telah layak menyertai pertandingan MPKK Terbaik Negeri Pulau Pinang Tahun 2020. Syabas dan tahniah sekali lagi.
Akhir kata, semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk semua ahli MPKK dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Pulau Pinang selaras dengan tagline “Visi Penang2030, Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara”
Sekian terima kasih.